Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rusa sambar mati dalam kemalangan di BKE

Anggaran Waktu Membaca:
Rusa sambar mati dalam kemalangan di BKE

Petikan gambar dari video yang dikirimkan oleh pembaca Mediacorp. (Image: Watson Wong)

SINGAPURA: Seekor rusa mati dalam satu kemalangan jalan raya di Ekspreswe Bukit Timah (BKE) pada Khamis malam (25 Ogos).

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Persatuan Kajian dan Pendidikan Keprihatinan Haiwan (Acres) menyatakan ia menerima panggilan mengenai rusa itu sekitar pukul 10.00 malam dan pihaknya difahamkan bahawa haiwan tersebut telah dilanggar.

"Malangnya, pasukan kami ketika itu sedang mengendalikan beberapa kes lain. Kami juga difahamkan bahawa orang awam sudah menghubungi NParks (Lembaga Taman Negara) sebagai alternatif dan NParks sudah menguruskan kes tersebut," menurut seorang jurucakap ACRES.

ACRES turut menarik perhatian bahawa kawasan itu terkenal dengan kehadiran rusa sambar.

"Malangnya haiwan itu mungkin berlegar-legar terlalu dekat dengan kawasan kediaman, kemudian menjadi cemas dan cuba menyeberangi ekspreswe," tambahnya.

"Kami berharap pemandu yang terlibat dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan."

Satu rakaman video oleh pembaca Mediacorp, Watson Wong, menunjukkan pergerakan lalu lintas menjadi perlahan disebabkan oleh kenderaan-kenderaan yang cuba mengelak rusa tersebut yang terbaring di jalan raya itu.

Mediacorp difahamkan bahawa rusa itu kemudian dipindahkan dari tempat kejadian.

Pengarah Kumpulan NParks bagi pengurusan hidupan liar, Adrian Loo, berkata bahawa pihaknya sedia maklum tentang insiden tersebut.

"Ini satu-satunya insiden melibatkan Rusa Sambar yang kami sedia maklum berlaku di ekspreswe pada tahun ini," kata Encik Loo.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menasihatkan para pemandu supaya tidak menggunakan dua lorong sebelum jalan susur keluar Ekspreswe Kranji di lebuh raya itu pada Khamis.

Rusa sambar dikategorikan sebagai spesies mudah terdedah kepada bahaya di peringkat global. Ia merupakan salah satu spesies rusa paling besar di dunia selepas jenis 'moose' dan 'elk' iaitu sejenis rusa besar yang terdapat di Eropah Utara dan Amerika Utara. Ia paling aktif pada waktu senja dan berehat pada siang hari di celah-celah tumbuh-tumbuhan yang tebal, menurut laman NParks.

Ia sebelum ini didapati menggunakan Jambatan Hidupan Liar Mandai yang terletak berdekatan, iaitu lintasan khas yang disediakan untuk haiwan menyeberangi dengan selamat ke Mandai Lake Road.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan