Rusa sambar, babi liar antara spesies dilihat guna, lintas Jambatan Hidupan Liar Mandai
Babi liar dilihat melintasi Jambatan Hidupan Liar Mandai. (Gambar: Mandai Wildlife Group)
SINGAPORE: Kelibat rusa sambar jantan yang mempertahankan kumpulannya dari sebarang lawan dan ayam hutan mengambil kesempatan menggali mencari makanan.
Dua jenis haiwan itu antara beberapa interaksi hidupan liar yang dirakamkan di Jambatan Hidupan Liar Mandai sepanjang 18 bulan lalu.
Hampir 70 spesies hidupan liar dilihat menggunakan dan berlegar-legar di sekitar lintasan haiwan dikhususkan itu sejak ia dibuka pada Disember 2019, menurut Mandai Wildlife Group pada Khamis (3 Feb).
Jambatan itu membolehkan haiwan melintas Mandai Lake Road dengan selamat, yang pernah menyaksikan tenggiling dan kucing batu mati dilanggar pada masa lalu.
Sepanjang 140 meter (m) dengan lebarnya antara 35 meter (m) hingga 44 di beberapa bahagian berbeza, jambatan itu dipasang enam kamera untuk mengesan penggunaan haiwan.
Sejak dibuka, rusa sambar, kera berekor panjang dan babi liar dilihat kerap berada di sana. Adakalanya, ia sedang menyusukan dan mengasuh anak-anaknya secara bebas, menurut Mandai Wildlife Group.
Rusa sambar, spesies yang diancam pupus di seluruh dunia, dilihat menggunakan jambatan itu pada sebelah malam pada hampir setiap hari, tambah kumpulan tersebut.
Burung serta kelawar diketahui menggunakan jambatan itu sebagai tempat melintas dan kadangkala diperhatikan sedang mencari makanan serta membuat sarang.
Burung helang dan biawak benggala juga dilihat bertenggek dan berjemur di bawah mentari.
Selain itu, burung hantu Sunda scops, musang sawit, burung tukang berekor besar dan kelawar buah berhidung pendek juga dilihat menggunakan lintasan tersebut.
Jambatan Hidupan Liar Mandai menghubunkan dua kawasan dilindungi di Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah (CCNR), setiap satu di satu bahagian Mandai Lake Road.
"Apabila tanaman tumbuh matang, kami menjangkakan spesies yang sukar ditemui manusia seperti pelanduk dan tenggiling Sunda akan menggunakan jambatan itu untuk bergerak antara kawasan hutan," kata Cik Chua Yen Kheng, penolong naib presiden huraian mampan Mandai Wildlife Group.
Kegiatan mencari makanan oleh kedua-dua spesies itu sudahpun dirakamkan berhampiran jambatan tersebut di zon penimbal projek pembangunan Mandai. Projek itu direka bentuk bagi mengurangkan gangguan dan meningkatkan kemungkinan spesies yang jenis pemalu untuk menggunakan jambatan tersebut, terang kumpulan berkenaan.
Tumbuh-tumbuhan di sana ditanam berbentuk seakan bumbung kanopi berterusan menjelang 2025, menurut Mandai Wildlife Group.
Anak pokok spesies pokok tempatan yang terancam - Glochidion obscurum - juga ditemui tumbuh di atas jambatan itu hasil daripada benih dibawa haiwan. Ini sekali gus menunjukkan penumbuhan semula secara semula jadi flora pada strukturnya, tambah kumpulan itu.
Selain kamera untuk mengesan penggunaan haiwan, tinjauan fauna juga membentuk sebahagian daripada program pemantauan ekologi jangka panjang di Mandai Wildlife Reserve, menurut kumpulan itu lagi.
Pengetahuan yang dikumpulkan itu digunakan untuk melakar rancangan pengurusan persekitaran dan membantu dalam rancangan jangka panjang bagi "pemulihan ekologi, peningkatan ketersambungan hidupan liar dan kajian haiwan" yang terdapat di kawasan tersebut, tambahnya.
Jambatan Hidupan Liar adalah sebahagian daripada usaha menyegarkan semula kawasan Mandai.
Kawasan itu akan akhirnya menempatkan lima daya tarikan hidupan liar - Taman Haiwan Singapura, Night Safari, River Wonders dan Bird Paradise serta Rainforest Wild yang baru - di samping sebuah resort eko baru.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.