Skip to main content

Singapura

Runtuhan struktur bangunan Tanjong Pagar: Tembok penahan konkrit runtuh semasa kerja perobohan

Anggaran Waktu Membaca:
Runtuhan struktur bangunan Tanjong Pagar: Tembok penahan konkrit runtuh semasa kerja perobohan

Pasukan Pertahanan Awam Singapura di Tanjong Pagar. (Gambar: Syamil Sapari/CNA)

Diterbitkan : 15 Jun 2023 10:33PM
SINGAPURA: Tembok penahan konkrit bertetulang dari tingkat dua sebuah bangunan di tapak binaan Tanjong Pagar runtuh semasa kerja-kerja perobohan pada Khamis (15 Jun), menurut Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Dalam satu kenyataan bersama, pihak berkuasa menyatakan bahawa tembok konkrit tersebut, yang setinggi 3.8 meter dan lebar 10 meter, runtuh di Bernam Street pada petang Khamis.

BCA dan MOM menyatakan operasi mencari pekerja warga India yang dilapor hilang, masih dijalankan.
 
(Gambar-gambar: Syamil Sapari/CNA)

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan pihaknya dimaklumkan tentang insiden di Bernam Street itu pada pukul 2.00 petang, di mana Fuji Xerox Towers sedang dirobohkan bagi menbuka laluan kepada kerja-kerja pembangunan semula.

Ia mengerahkan 11 kenderaan kecemasan dan sekitar 70 pegawai, termasuk para anggota Pasukan Bantuan dan Penyelamat Bencana (DART). Dua anjing penghidu turut dilibatkan dalam usaha mengesan pekerja yang hilang.


Tapak berdirinya Fuji Xerox Towes dahulu, dijangka akan dibangunkan semula sebagai Newport Residences, satu projek pegangan kekal dengan 246 unit kondominium oleh City Developments Limited (CDL).

BAKI BANGUNAN "STABIL"

MOM dan BCA menambah, seorang jurutera sudah menjalankan pemeriksaan dan mendapati baki bangunan "stabil", tanpa sebarang "masalah struktur".

BCA juga sudah mengarahkan pihak-pihak berkaitan supaya menghentikan semua kerja binaan, dan akan membatalkan permit bagi semua kerja-kerja tersebut sedang siasatan dijalankan.


Menurut pihak berkuasa lagi, penghuni tapak binaan itu adalah Woh Hup dan majikan kepada pekerja yang hilang adalah Aik Sun Demolition and Engineering.

MOM sudah mengarahkan Aik Sun Demolition and Engineering supaya menghentikan semua kegiatan di tapak itu.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, kerja-kerja perobohan harus dirancang dengan teliti di mana struktur-struktur dapat dirobohkan dengan teratur," menurut BCA dan MOM.

Ini termasuk melakar pelan yang membutirkan struktur yang mana harus dirobohkan dahulu demi mengurangkan risiko berlaku runtuhan yang tidak diingini.

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita