Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rundingan dan dialog cara terbaik selesaikan konflik, pertikaian: Tharman

Anggaran Waktu Membaca:
Rundingan dan dialog cara terbaik selesaikan konflik, pertikaian: Tharman

(Gambar: Nurfazirah Azman)

SINGAPURA: Cabaran keselamatan yang dihadapi Singapura rumit dan cara terbaik untuk menanganinya ialah dengan memperkukuh jalinan pertahanan dan kerjasama.

Demikian ditekankan Presiden Tharman Shanmugaratnam dalam ucapannya di majlis pentauliahan Pegawai Kadet yang berlangsung di Institut Ketenteraan SAFTI pada Sabtu (9 Dis).

"Singapura kekal komited dalam membangunkan dunia di mana undang-undang dipatuhi, di mana dialog dan rundingan adalah cara yang dipilih untuk menyelesaikan konflik dan pertikaian," kata Encik Tharman.

"Kita juga menyokong kerjasama antarabangsa yang diperkukuh untuk elak krisis berlaku dan bersedia dari awal bagi sebarang kejutan pada sistem apabila ia berlaku, ini bagi mengurangkan kesan pada manusia dan ekonomi," tambah beliau.

Encik Tharman menarik perhatian kepada usaha Angkatan Bersenjata Singapura yang terlibat dalam latihan-latihan ketenteraan dengan negara-negara lain bagi memperkukuh kerjasama dan memperdalamkan jalinan ketenteraan.

Beliau juga mengingatkan para pegawai kadet yang baru sahaja menerima pentauliahan mereka betapa pentingnya tanggungjawab yang digalas mereka.

Secara keseluruhan, 460 pegawai kadet daripada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) dan Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) menerima pentauliahan mereka hari ini (9 Dis).

Ini setelah mengharungi kursus dan latihan mencabar selama 38 minggu di Sekolah Pegawai Kadet (OCS).

MESKI CEDERA, TEKAD UNTUK KEMBALI KE OCS

Antara yang berjaya melaluinya ialah Leftenan Muda (2LT) Muhammad Shafiq Haikal Mohd Karimin, 21 tahun.

Meskipun beliau mengalami kecederaan pada urat saraf di lehernya sewaktu latihan, ia membulatkan tekadnya untuk kembali menyertai OCS tiga bulan kemudian setelah pulih sepenuhnya.

Beliau akur menghadapi tekanan mental dan fizikal semasa fasa pemulihan kerana tidak dapat ikut serta dengan rakan-rakannya, namun beliau mencari ikhtiar lain untuk mengatasi perasaan ini.

"Saya menulis untuk melepaskan tekanan itu. Menulis memberi saya peluang untuk memahami emosi saya dan jika saya memahami emosi saya, saya boleh buat keputusan dengan jelas dan memahami apa yang saya akan lakukan. Kedua, saya selalu berlari dan berbasikal selalunya dengan adik saya dan itu membuat saya lebih tenang dan yakin untuk memahami apa yang harus saya lakukan," katanya.
Antara pembakar semangatnya untuk terus melakukan terbaik adalah ahli keluarga, rakan-rakan dan para pegawai di SAF lain.

"Ramai orang yang memberi saya motivasi. Keluarga saya, dan yang paling penting ialah bapa saya. Beliau seorang pegawai polis jadi dia memberi saya inspirasi untuk mengikut arahnya untuk menyumbang kepada negara," kata 2LT Shafiq.

Berkat kegigihan dan dedikasinya, 2LT Shafiq berjaya mengatasi cabarannya dan akan berkhidmat sebagai pegawai di Rejimen Infantri Singapura (ASIR).
(Gambar: Nurfazirah Azman) Leftenan Muda (2LT) Muhammad Shafiq Haikal Mohd Karimin, 21 tahun.
"Saya harap untuk selalu memberi inspirasi kepada generasi-generasi muda untuk sentiasa memahami kepentingan perkhidmatan negara dan kenapa kita harus mempertahankan Singapura," ujarnya.

Selain ibu bapa dan rakan-rakan para kadet, majlis itu turut dihadiri Menteri Negara Kanan bagi Pertahanan, Zaqy Mohamad dan Vice Admiral (VADM), Aaron Beng. 
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan