Skip to main content

Singapura

Rundingan ASEAN mengenai simpanan bahan api serantau masih peringkat awal: PM Wong

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 09 May 2026 03:16PM Dikemas Kini : 24 May 2026 10:53PM
CEBU: Perbincangan mengenai simpanan bahan api serantau ASEAN masih di peringkat awal dan akan diteruskan jika idea itu didapati berbaloi untuk dilaksanakan, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Sabtu (9 Mei).

Bercakap kepada para wartawan Singapura di Cebu, di mana beliau menghadiri Sidang Puncak Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) ke-48, PM Wong berkata simpanan bahan api serantau merupakan antara idea baharu yang dibangkitkan dalam mesyuarat itu.

PM Wong berkata ASEAN mempunyai simpanan beras, yang melibatkan negara anggota bersama China, Jepun dan Korea Selatan.

Di bawah Rizab Beras Kecemasan ASEAN Campur Tiga, beras disimpan untuk dikeluarkan dengan segera semasa bencana tanpa mengganggu harga pasaran.

“Jadi persoalannya ialah sama ada kita boleh melakukan sesuatu yang serupa untuk tenaga, sama ada dalam ASEAN atau bersama rakan-rakan luar,” tambahnya.

“Ia adalah idea yang dibincangkan secara ringkas dalam kalangan pemimpin, tetapi belum diperincikan sepenuhnya.”

Menteri-menteri dari rantau ini memerlukan lebih banyak perbincangan, dan rundingan mungkin diteruskan jika negara-negara anggota menunjukkan minat, kata PM Wong.

Perbincangan ini akan diteruskan semasa Sidang Puncak ASEAN seterusnya yang dijangka diadakan pada November di Manila, dan mungkin di Singapura tahun depan apabila negara ini mengambil alih peranan sebagai pengerusi ASEAN, tambah PM Wong.

Mengenai simpanan bahan api serantau, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr memberitahu media selepas sidang puncak tersebut bahawa pemimpin ASEAN sudah membincangkan satu “mekanisme” untuk mempunyai “simpanan” pelbagai produk bahan api yang boleh dikongsi antara negara anggota.

“Keadaan sekarang sangat berbeza bagi setiap negara. Ada negara yang mempunyai lebihan jenis bahan api tertentu. Negara lain pula mengalami kekurangan, dan kami cuba mengimbangkannya,” katanya dalam sidang media pada Jumaat malam ( 8 Mei).

“Dan apabila perkara seperti ini berlaku - perang berlaku dan laluan perdagangan seperti Selat Hormuz ditutup dengan segala kesannya - kita mempunyai sumber yang boleh segera digunakan untuk bekalan kecemasan.”

Apabila ditanya sama ada pemimpin ASEAN sudah menetapkan garis masa konkrit untuk memuktamadkan perjanjian berkaitan keselamatan petroleum, rantaian bekalan dalam ASEAN dan percepatan pelaksanaan grid tenaga serantau, PM Wong berkata terdapat kesepakatan yang jelas dalam mesyuarat bahawa perjanjian-perjanjian ini perlu dimeterai dengan segera.

“Sudah tentu, setiap negara mempunyai garis masa domestik masing-masing, tetapi kami berharap setiap negara akan melaksanakannya secepat mungkin,” tambahnya.

Dalam sesi pleno sidang puncak itu, PM Wong telah menggesa ratifikasi segera perjanjian yang membolehkan negara-negara anggota saling menyokong keperluan minyak dan gas ketika berlaku gangguan bekalan, yang kali terakhir diperbaharui pada 2025.

Beliau juga menggesa pemeteraian segera Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN yang dinaik taraf, yang ditandatangani pada Oktober 2025, supaya ia dapat dikuatkuasakan seawal tahun ini.

Perjanjian itu merangkumi peruntukan krisis dan komitmen berkaitan perdagangan barangan penting, serta mengurangkan halangan bukan tarif terhadap perdagangan makanan sambil menggalakkan perkongsian maklumat keselamatan makanan.

Menjawab soalan mengenai bagaimana ASEAN boleh memastikan situasi di Myanmar tidak menjadi halangan kepada perpaduan serantau, PM Wong menegaskan bahawa isu tersebut kompleks dan sangat mencabar.

Dalam sidang media pada Jumaat malam, Presiden Filipina berkata bahawa dalam sesi tertutup para pemimpin yang diadakan lebih awal pada hari itu, banyak negara ASEAN meluahkan kekecewaan terhadap kekurangan kemajuan dalam menormalkan keadaan di Myanmar.

Apabila diminta mengulas tengang kenyataan Presiden Filipina yang menyifatkan situasi itu sebagai “terbantut”, PM Wong berkata walaupun terdapat perkembangan terkini, masih banyak yang perlu dilakukan.

ASEAN perlu melihat lebih banyak kemajuan dalam Konsensus Lima Perkara - yang kali terakhir disemak pada Oktober 2025 - untuk ia dilaksanakan sepenuhnya, tambahnya.

Konsensus Lima Perkara ialah pelan yang diterima ASEAN untuk menangani krisis politik dan kemanusiaan di Myanmar selepas berlaku rampasan kuasa tentera pada 2021.

Perkara ini memerlukan masa dan dialog yang inklusif serta membina dengan semua pihak berkepentingan utama di Myanmar, kata PM Wong.

“Ia tidak boleh dipaksakan oleh mana-mana pihak luar, jadi kita perlu bersabar,” katanya, sambil menambah ASEAN akan menggalakkan langkah-langkah konkrit secara berperingkat.

“Namun pada masa yang sama, ASEAN tidak akan berdiam diri. Kami akan terus berinteraksi dengan pihak berkuasa Myanmar.”
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita