Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rumusan Parlimen: 4 perkara ini anda perlu tahu

Anggaran Waktu Membaca:
Rumusan Parlimen: 4 perkara ini anda perlu tahu

Gambar fail Bangunan Parlimen di Singapura. (Gambar: Ngau Kai Yan)

SINGAPURA: Perbelanjaan sepanjang tiga Pilihan Raya Umum (GE) yang lalu sudah meningkat seganda dalam tempoh sedekad yang lalu. Dari S$13.5 juta bagi GE 2011 kepada S$30.3 juta bagi GE pada 2020. Ini sebahagiannya disebabkan oleh perbelanjaan bagi melaksanakan langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19.

Perangkaan tersebut didedahkan dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan yang diajukan oleh Anggota Parlimen (AP) pada Isnin (9 Mei) mengenai kos yang perlu ditampung bagi tiga pilihan raya umum yang lalu.

Soalan-soalan lain yang turut diajukan oleh para AP termasuk topik berkaitan dengan kesalahan serangan seksual dan serangan siber terhadap syarikat-syarikat tempatan.

Berikut adalah beberapa petikan jawapan bertulis untuk soalan-soalan yang diajukan:

1. PERBELANJAAN PEMERINTAH BAGI GE

Soalan yang diajukan oleh Encik Gerald Giam, AP Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Aljunied:

Berapakah perbelanjaan Pemerintah untuk mengadakan dan menguruskan GE pada 2011, 2015 dan 2020 termasuk kos tenaga manusia, keselamatan, bahan dan publisiti?

Ini jawapan Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing:

Perbelanjaan yang ditanggung oleh Jabatan Pilihan Raya untuk GE 2011, 2015 dan 2020 masing-masing adalah S$13.5 juta, S$23.2 juta dan S$30.3 juta.

Turun naik perbelanjaan akan bergantung kepada tenaga manusia, teknologi infokom, pengangkutan dan keperluan logistik yang lain.

Bagi GE2020 yang diadakan semasa pandemik COVID-19, hampir S$8 juta dibelanjakan untuk melaksanakan langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19.

2. JUMLAH PESALAH SEKSUAL YANG DIPENJARAKAN

Soalan ini diajukan oleh AP GRC Aljunied, Pritam Singh:

Berapa ramai individu yang kini dipenjarakan atas kesalahan seksual dengan hukuman penjara yang melebihi sepuluh tahun sebelum dibebaskan?

Daripada jumlah tersebut, berapa ramai adalah pesalah berulang ?

Berapa ramai warga Singapura dihukum penjara atas serangan seksual sekurang-kurangnya tiga kali atau lebih sepanjang hayat mereka, terbahagi kepada mereka yang kini dalam penjara dan mereka yang telah dibebaskan?

Ini jawapan oleh Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam:

Setakat 31 Mac 2022, seramai 195 banduan dipenjarakan atas kesalahan serangan seksual dengan hukuman penjara sepuluh tahun atau lebih.

Daripada 195 pesalah ini, 95 pernah dipenjarakan sebelum ini. Daripada 95 banduan ini, 22 mempunyai sekurang-kurangnya satu sabitan atas kesalahan serangan seksuali.

3. GANGGUAN TERHADAP KAKITANGAN AWAM

Soalan ini dikemukakan oleh AP GRC Bishan-Toa Payoh, Saktiandi Supaat:

Berapa banyak kes gangguan terhadap kakitangan awam atau pekerja perkhidmatan awam yang semasa dalam melaksanakan tugas mereka didakwa pada tahun 2019, 2020 dan 2021?

Apakah hukuman purata bagi kes-kes yang didapati bersalah?

Bolehkah kesalahan jenayah di bawah Akta Perlindungan Daripada Gangguan (POHA) 2014 diperluaskan untuk melindungi petugas barisan hadapan yang lain seperti pekerja jagaan kesihatan?

Ini jawapan Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam:

Sebanyak 175 kes pada 2019, 185 kes pada 2020 dan 114 kes pada 2021 adalah kes-kes gangguan terhadap kakitangan awam atau pekerja perkhidmatan awam yang didakwa atas kesalahan di bawah Akta Perlindungan Daripada Gangguan (POHA).

Kami tidak menjejaki purata hukuman bagi kes-kes sedemikian.

Tahun lalu, senarai kakitangan awam bagi tujuan perlindungan tambahan di bawah POHA diperluaskan untuk merangkumi pekerja jagaan kesihatan privet yang terlibat secara langsung dengan operasi COVID-19.

4. SERANGAN SIBER TERHADAP SYARIKAT TEMPATAN

Soalan diajukan oleh AP GRC Tampines, Cheng Li Hui:

Adakah pemerintah memantau jumlah syarikat tempatan yang mengalami serangan siber dalam masa dua tahun yang lalu?

Jika sesebuah syarikat pernah mengalami serangan siber, adakah mereka dikehendaki melaporkannya kepada pihak berkuasa?

Apakah langkah-langkah yang dilaksanakan sekarang untuk melengkapi syarikat-syarikat tempatan dengan keupayaan bagi mempertingkatkan daya bingkas terhadap serangan siber dan bagaimana untuk menanganinya?

Ini jawapan Menteri Perhubungan dan Penerangan, Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Inisiatif Negara Bijak dan Keselamatan Siber (CSA) Josephine Teo:

Tahun lalu, CSA menerima 1,238 aduan mengenai kejadian keselamatan siber daripada syarikat-syarikat perniagaan dan pertubuhan-pertubuhan lain, manakala pada 2020, CSA menerima 972 aduan.

Akta Keselamatan Siber mewajibkan pemilik komputer ataupun sistem komputer yang ditetapkan sebagai Prasarana Maklumat Penting (CII) untuk melaporkan sebarang kejadian keselamatan siber yang berkaitan dengan CII kepada CSA.

CSA menasihatkan syarikat-syarikat supaya melaporkan kejadian keselamatan siber kepada SingCERT di laman www.csa.gov.sg/singcert/reporting sekalipun sistem yang terjejas tidak diperuntukkan sebagai CII.

Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan