Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rumusan Parlimen: 4 perkara anda perlu tahu

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jumlah pelajar yang mendaftar ke dalam program kejururawatan sepanjang lima tahun lalu kekal stabil, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung semasa menjawab satu soalan parlimen. 

Menjawab satu lagi soalan parlimen, Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng berkata purata kira-kira 180 aduan berhubung diskriminasi di tempat kerja berdasarkan kewarganegaraan difailkan setiap tahun antara 2017 hingga 2021. 

Perkara lain yang dibangkitan oleh para Anggota Parlimen (AP) termasuk jumlah guru yang meletak jawatan disebabkan tekanan dan juga jumlah kes pelanggan yang mengelak daripada membuat pembayaran tambang teksi atau kereta sewa privet. 

1. Pendaftaran ke dalam program kejururawatan 

Soalan oleh Encik Louis Ng, AP GRC Nee Soon

- Berapa jumlah pelajar yang mendaftar ke dalam program kejururawatan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti setiap tahun dalam tempoh lima tahun yang lalu? 

- Berapa jumlah dan peratusan pelajar yang mengamalkan kejururawatan setelah tamat pengajian?

Menteri Kesihatan Encik Ong berkata perangkaan pendaftaran bagi bidang kejururawatan di semua Institut Pengajian Tinggi (IHL) kekal "agak stabil" antara tahun 2017 hingga 2021. Ini setelah jumlah tersebut meningkat sekitar 20 peratus sepanjang lima tahun sebelum tempoh tersebut.

Sekitar 2,100 pelajar diterima masuk ke dalam kursus-kursus kejururawatan sebelum pendaftaran di ITE, Politeknik Nanyang dan Universiti Nasional Singapura (NUS). 

Encik Ong berkata hasil pengambilan pekerja bagi lulusan kejururawatan juga kukuh antara 2017 hingga tahun lalu. 

Berdasarkan Tinjauan Pengambilan Kerja Graduan yang dijalankan IHL setiap tahun, 83 peratus graduan berjaya mendapat pekerjaan tetap sepenuh masa dalam tempoh enam bulan setelah tamat pengajian. Daripada jumlah itu, 90 peratus bekerja sebagai jururawat. 

Cik Rahayu Mahzam, Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan, pada 2 Ogos berkata di Parlimen bahawa dalam kalangan jururawat tempatan yang bekerja dalam sektor awam, kadar berhenti kerja pada 2021 naik kepada 7.4 peratus berbanding 5.4 peratus setahun sebelumnya. 

Bagi jururawat asing yang bekerja dalam sektor awam pula, kadar berhenti kerja naik lebih seganda kepada 14.8 peratus pada 2021 berbanding 2020.

2. Aduan rakyat Singapura tentang digantikan oleh pekerja asing

Soalan oleh Encik Leong Mun Wai, Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) daripada Parti Kemajuan Singapura (PSP)

- Berapa jumlah aduan yang diterima daripada rakyat Singapura tentang digantikan oleh tenaga kerja asing bagi setiap tahun dalam tempoh lima tahun lalu? 

- Berapa peratusan aduan seumpama itu, daripada jumlah aduan yang diterima Kementerian Tenaga Manusia (MOM)?

Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan, berkata bahawa Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (TAFEP) menerima purata kira-kira 180 aduan setiap tahun melibatkan diskriminasi berdasarkan kewarganegaraan, termasuk aduan mengenai iklan pekerjaan, antara 2017 hingga 2021. 

Aduan mengenai pekera Singapura digantikan oleh pekerja asing membentuk "bahagian lebih kecil" aduan yang diterima, tambah Dr Tan. Namun, TAFP tidak menjejaki aduan atas dasar sedemikian.

Aduan berhubung diskriminasi kewarganegaraan membentuk kurang 5 peratus daripada aduan berkaitan pengambilan pekerja yang difailkan oleh pekerja tempatan. Ini termasuk aduan tentang tunggakan gaji. 

"MOM mengambil serius setiap aduan diskriminasi dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya terhadap majikan yang ingkar," kata Dr Tan. 

Tahun lalu, Dr Tan memberitahu Parlimen bahawa purata 379 aduan mengenai diskriminasi di tempat kerja terhadap majikan difailkan kepada pihak berkuasa setiap tahun antara 2014 hingga separuh pertama 2021. Sepertiga daripada aduan itu melibatkan amalan bersifat diskriminasi.  

Dasar bakat asing Singapura meraih tumpuan baru-baru ini dan isu berkenaan dibahaskan di Parlimen tahun lalu serta baru-baru ini apabila Pemerintah melancarkan satu skim baru untuk menarik bakat global terbaik. 

3. Guru yang meletak jawatan akibat tekanan emosi atau mental

Soalan oleh Encik Darryl David, AP GRC Ang Mo Kio 

- Berapa ramai pendidik menyatakan tekanan mental atau emosi sebagai alasan untuk meninggalkan sektor perkhidmatan pendidikan sepanjang tempoh lima tahun lalu? 

Menteri Pendidikan Chan Chun Sing berkata kurang daripada 5 peratus guru yang meletak jawatan dalam tempoh lima tahun lalu menyatakan tekanan atau beban kerja sebagai alasan untuk meninggalkan pekerjaan mereka.

"Kementerian Pendidikan (MOE) menghargai guru-guru kami dan akan terus bekerjasama dengan pemimpin sekolah serta pihak berkepentingan untuk menyokong kesejahteraan para guru supaya mereka boleh terus memberikan yang terbaik kepada pendidikan para pelajar kita," kata Encik Tan. 

Mediacorp sebelum ini melaporkan bahawa para guru bekerja terlalu kuat disebabkan harapan tinggi masyarakat awam terhadap peranan yang dimainkan oleh sekolah-sekolah serta guru-gutu dalam kehidupan seorang kanak-kanak. 

Bulan lalu, Encik Chan berkata di Parlimen bahawa walaupun MOE sudah mengambil langkah untuk mengurangkan tugas pentadbiran guru dan menyediakan lebih banyak sumber untuk membantu mereka menguruskan masa, ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam menyokong kesejahteraan para guru. 

4. Isu penumpang kereta sewa privet yang elak membayar tambang

Soalan oleh Encik Melvin Yong, AP Radin Mas

- Sejauh mana kerapnya penumpang kereta sewa privet elak daripada membayar tambang dalam tempoh lima tahun lalu? 
- Adakah terdapat trend peningkatan pada kes penumpang mengelak daripada membayar tambang?
- Betapa mudahnya untuk pemandu kereta sewa privet membuat aduan dan mendapatkan pampasan bagi kes seumpama tu? 

Terdapat "trend merosot" kes penumpang yang mengelak daripada membayar tambang yang disiasat Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) antara 2017 hingga 2021, kata Menteri Pengangkutan S Iswaran. 

Terdapat 233 kes pada 2017, 269 kes pada 2018 dan 164 kes pada 2019. Jumlah itu terus merosot kepada 104 kes pada 2020 dan 96 kes tahun lalu.

Dengan jumlah harian perjalanan teksi dan kereta sewa privet mencatatkan sekitar 600,000, perangkaan tersebut bermakna 0.00005 peratus daripada semua perjalanan, atau satu daripada setiap dua juta perjalanan, melaporkan kes penumpang yang mengelak daripada membayar tambang. 

Kes mengelak daripada membayar tambang melibatkan kereta sewa privet disertakan ke dalam perangkaan hanya mulai Oktober 2020 apabila rangka kerja kawal selia bermula bagi kereta sewa privet, jelas Encik Iswaran. 

Tiada kes seumpama itu disiasat pada 2020 dan 21 kes disiasat tahun lalu.

Antara 2017 hingga 2021, duit tambang diperolehi semula daripada sekitar 60 peratus kes yang disiasat. 

Tambah Encik Iswaran, kementeriannya memandang serius kes mengelak daripada membayar tambang dan bahawa ada beberapa cara boleh dilakukan para pemandu untuk mendapatkan pampasan. 

Mereka boleh melakukan sedemikian dengan melaporkan insiden kepada pengendali teksi atau kereta sewa privet yang kemudian akan cuba untuk memperoleh semula duit tambang bagi pihak pemandu berkenaan. 

Jika pengendali tersebut tidak berjaya mendapatkannya, pemandu boleh merujukkan kes mereka kepada LTA atau menghubungi polis untuk bantuan, tambah Encik Iswaran.

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan