Rumah teres hangus dijilat api di Little India
Kebakaran besar berlaku di rumah teres berdekatan Little India malam tadi (6 Jul).
Kebakaran berlaku di rumah yang terletak 82 Sing Avenue pada Jumaat (6 Jul). (Gambar: SCDF)
SINGAPURA: Kebakaran besar berlaku di rumah teres berdekatan Little India malam tadi (6 Jul).
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan bahawa mereka bertindak untuk memadamkan kebakaran di rumah teres yang terletak di 82 Sing Avenue itu pada sekitar 8.55 malam.
"Setibanya SCDF di tempat kejadian, api marak menjilat seluruh rumah itu. Anggota bomba SCDF mengharungi bahang kebakaran dan mencegahnya daripada merebak kepada kediaman berdekatan," menurut SCDF dalam catatan Facebooknya.
SCDF menambah, para penghuni rumah tersebut sudah mengosongkan bangunan itu sebelum SCDF tiba di tempat kejadian.
Ia berjaya mengawal kebakaran tersebut dengan menggunakan tujuh jet air pada sekitar 10.00 malam. Tiada yang cedera dalam kebakaran tersebut, menurut SCDF.
Kebakaran berjaya dipadamkan pada sekitar 10.45 malam. Keseluruhannya 14 kenderaan dikerahkan dalam operasi tersebut, sementara polis membantu memindahkan para penduduk di Sing Avenue dan berdekatan Rangoon Lane.
Operasi melembapkan tapak kebakaran dijalankan bagi mencegah sebarang kebakaran berpunca daripada permukaan-permukaan yang terbakar.
Rumah tersebut sudah "hangus dijilat api" ketika SCDF tiba di tempat kejadian.
Dalam video yang dikirimkan Encik Eric Ong kepada Mediacorp, kelihatan api menjilat sebuah unit ketika para anggota bomba bertarung untuk memadamkan api. Bunyi alat penggera jelas kedengaran dalam video tersebut.
Video kedua yang dirakam Encik Ong, kedengaran seorang lelaki meminta mereka yang berada di tempat kejadian supaya "memberi kerjasama" sedang beliau cuba mengarahkan mereka supaya beralih daripada tempat itu.
Gambar-gambar yang dikongsi juga menunjukkan polis mengepung jalan raya. Sekurang-kurangnya satu kereta bomba kelihatan di tempat tersebut.
Pengguna Twitter Elizabeth Davis mengirimkan tweet yang menyatakan bahawa "terdapat banyak kenderaan kecemasan" di tempat kejadian. Beliau menyifatkan insiden itu sebagai "kebakaran besar".
"Masih ada para pegawai dan kenderaan kecemasan, tetapi kebakaran itu sudah berjaya dipadamkan. Hanya asap yang kelihatan," katanya kepada Mediacorp pada sekitar 10.30 malam.
Seorang lagi penduduk yang tinggal berdekatan memberitahu Mediacorp bahawa terdapat "bau asap" di udara.
"Ketika saya menjenguk ke luar tingkap 10 minit kemudian, saya melihat asap dan api yang besar," kata pembaca yang enggan dinamakan.
Anggota Parlimen Denise Phua (tengah) kelihatan di Sing Avenue. (Gambar: Pembaca Mediacorp)
Mediacorp juga diberitahu bahawa Anggota Parlimen GRC Jalan Besar juga turun ke tempat kejadian dan bertanya tentang penduduk yang terjejas yang terpaksa dipindahkan dari rumahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.