Skip to main content

Singapura

Rumah terbuka Syawal kini lebih ringkas, tempahan katering disesuaikan ikut citarasa

Anggaran Waktu Membaca:
Rumah terbuka Syawal kini lebih ringkas, tempahan katering disesuaikan ikut citarasa

Hidangan bufet yang sebelum ini menjadi kebiasaan di rumah terbuka kini semakin digantikan dengan set makanan yang lebih ringkas. (Gambar: Hardy Hazman)

SINGAPURA: Hidangan bufet yang sebelum ini menjadi kebiasaan di rumah terbuka pada bulan Syawal kini semakin digantikan dengan set makanan yang lebih ringkas dengan jumlah hidangan yang berkurang serta mudah untuk disiapkan.

Menurut para pengusaha katering yang ditemui, perubahan ini turut didorong oleh kekangan ruang di kediaman serta perubahan gaya penganjuran rumah terbuka dalam kalangan tuan rumah masa kini.

Mereka kini lebih cenderung mengadakan majlis secara kecil-kecilan tetapi lebih kerap, berbanding satu majlis besar seperti sebelum ini.

Keadaan ini sekali gus meningkatkan permintaan bagi pakej yang lebih ringkas.

Bagi pemilik Pondok Selera, Hardy Hazman, beliau mengongsikan bahawa terdapat kenaikan permintaan dari pelanggan beliau dalam memilih kemudahan, dan permintaan ini akan hanya meningkat.

"Pada pendapat saya, permintaan ini dijangka akan meningkat kerana, khususnya dalam aspek katering, ia lebih memudahkan. Sebagai tuan rumah, mereka hanya perlu memastikan tetamu menikmati hidangan sambil melayan mereka. Selepas itu, pihak katering akan datang untuk mengemas, dan semuanya selesai — semua pihak berpuas hati," kata Encik Hardy.

"Dahulu, orang ramai memasak sendiri dan kadangkala makanan tidak mencukupi. Kini, bagi rumah terbuka, tuan rumah biasanya akan membuat anggaran jumlah tetamu dan memaklumkan kepada kami. Dari pihak kami pula, kami akan menyediakan lebihan sekitar 10 peratus sebagai penampan. Ini bagi memastikan hidangan mencukupi untuk tetamu, dan mereka dapat menikmati makanan dengan selesa. Apabila tetamu gembira, tuan rumah juga tidak perlu pening kepala," tambahnya lagi.

Perkara tersebut turut diakui oleh pemilik Rumah Makan Minang, Muhammad Hazmi Zin, yang mengatakan bahawa terdapat peningkatan dalam pelanggannya yang memilih untuk mendapatkan set ekspres.

"Tahun ini, berdasarkan data kami, terdapat peningkatan dalam permintaan bagi pakej bufet ekspres kerana pelanggan mahukan sesuatu yang lebih ringkas dan praktikal. Mereka ingin memastikan rumah terbuka dapat diurus dengan baik memandangkan kebanyakan ruang rumah agak terhad dan mereka lebih cenderung mengadakan majlis secara kecil-kecilan. Oleh itu, ada yang membuat tempahan secara mingguan supaya mereka boleh terus menyambut tetamu setiap minggu," kata Encik Hazmi.
Related article image
Pemilik generasi kedua Rumah Makan Minang, Encik Muhammad Hazmi Zin. (Gambar: Hidir Ezat)
Berbeza dengan dahulu, di mana kebiasaannya tuan rumah membuat tempahan dalam jumlah yang besar untuk rumah terbuka dari pagi hingga malam.

Namun, disebabkan keperluan Agensi Makanan Singapura (SFA), makanan tidak boleh dibiarkan melebihi empat jam.

Ini juga menjadi satu batasan apabila pelanggan meminta tempoh dilanjutkan.

Sekiranya tempoh itu dilanjutkan, ia merupakan satu risiko bagi pihak kami kerana peraturan menetapkan makanan hanya boleh disajikan dalam tempoh empat jam," tambahnya lagi.

Menurut beliau lagi, ramai pelanggan kini lebih memilih tempahan dalam jumlah kecil supaya lebih mudah diurus dan memastikan setiap hidangan berada dalam tempoh empat jam yang ditetapkan.

LEBIH BANYAK TEMPAHAN BERBANDING BEBERAPA TAHUN LALU MESKIPUN EKONOMI TIDAK MENENTU

Menurut Encik Hazmi, beliau mendapati bahawa terdapat peningkatan dari segi permintaan berbanding dari sebelum berlakunya pandemik Covid-19.

Beliau juga mengongsikan bahawa mereka telah mendapat pertanyaan tentang tempahan seawal hujung tahun 2025.

"Jika dibandingkan dengan tempoh sebelum COVID-19 dan sekarang, berdasarkan pengalaman saya serta data yang kami lihat, terdapat perubahan yang ketara. Semasa tempoh COVID-19, hampir tiada tempahan dan kami hanya menyediakan makanan dalam bentuk pek vakum dalam jumlah yang kecil," kata Encik Hazmi.

"Malah, pada tahun lalu juga jumlah tempahan tidak sebanyak tahun ini. Saya melihat pelanggan kini lebih terbuka untuk membuat tempahan bagi menyambut tetamu sempena rumah terbuka. Perkara yang sama turut dilihat dalam kalangan pelanggan korporat, di mana pejabat-pejabat juga mula membuat pertanyaan dan tempahan dengan kami. Secara keseluruhan, jumlah tempahan tahun ini adalah lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya," katanya lagi.
Related article image
Terdapat peningkatan dari segi penempahan jika dibandingkan dengan tahun-tahun yang lalu. (Gambar: Hardy Hazman)
Bagi tempahan Pondok Selera pula, Encik Hardy mengatakan ia tidak kurang hebatnya.

"Dari segi tempahan korporat, terdapat peningkatan yang ketara. Namun, bagi rumah terbuka, jumlah tempahan masih lebih rendah, walaupun pertanyaan daripada pelanggan tetap ada," kata Encik Hardy.

"Tempahan terbesar yang kami terima adalah sekitar 300 orang bagi satu majlis rumah terbuka, manakala tempahan paling kecil adalah sekitar 20 hingga 30 orang. Bagi majlis berskala kecil, ada pelanggan yang memilih pakej bufet mini pakai buang, yang tidak memerlukan sebarang persiapan atau pemasangan," tambahnya lagi.

MENU BERBEZA BAGI MEMENUHI KEPERLUAN YANG PELBAGAI

Dengan lebih ramai pelanggan terdiri daripada keluarga muda, para penyedia perkhidmatan perlu mengubah menu mereka bagi memenuhi permintaan mereka.

Seperti contoh, Encik Hazmi telah menyediakan makanan yang tidak pedas bagi keperluan kanak-kanak yang datang untuk rumah terbuka.

"Permintaan bagi menu khas ini banyak dipengaruhi oleh generasi sekarang yang mahukan pilihan makanan untuk kanak-kanak, supaya mereka dapat menghidangkan juadah yang sesuai kepada tetamu yang membawa anak-anak, termasuk saudara-mara," kata Encik Hazmi.

"Oleh itu, menu-menu seperti ini biasanya disediakan atas permintaan khas sahaja, dan kami akan memasaknya sekiranya diperlukan oleh pelanggan.," katanya lagi.

Selain permintaan makanan khas bagi kanak-kanak, terdapat juga pelanggan yang menginginkan makanan yang luar dari menu yang disediakan.
Related article image
Dengan ramai pelanggan yang terdiri daripada keluarga muda, para penyedia perkhidmatan perlu menyesuaikan menu mereka bagi memenuhi permintaan mereka. (Gambar: Hardy Hazman)
Bagi Pondok Selera, Encik Hardy mengongsikan ada juga pelanggan yang meminta lauk-pauk dari negeri jiran.

"Terdapat juga permintaan daripada pelanggan yang mahukan hidangan tertentu, termasuk masakan dari Indonesia atau Malaysia. Dalam keadaan sedemikian, kami akan mendapatkan maklumat lanjut mengenai keperluan mereka, termasuk sebarang keperluan lain," kata Encik Hardy.

"Kami akan cuba memenuhi permintaan tersebut sekiranya tukang masak kami mampu menyediakannya, dan seterusnya menyesuaikan perkhidmatan katering mengikut kehendak pelanggan," katanya lagi.

Menurutnya lagi, pelanggan korporatnya terdiri daripada kumpulan yang lebih pelbagai dari segi budaya, justeru permintaan cenderung kepada hidangan fusion, hidangan vegetarian serta masakan berunsur oriental.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita