Rumah terbuka pertama Istana sejak COVID-19 raikan serentak Aidilfitri dan Hari Buruh
Istana akan membuka semula pekarangannya kepada orang awam pada 13 Mei, iaitu rumah terbuka pertamanya sejak ditutup kerana pandemik COVID-19 pada Februari tahun lalu.

(Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Istana akan membuka semula pekarangannya kepada orang awam pada 13 Mei, iaitu rumah terbuka pertamanya sejak ditutup kerana pandemik COVID-19 pada Februari tahun lalu.
Ia merupakan rumah terbuka gabungan untuk merayakan Hari Buruh dan Hari Raya Puasa, umum Pejabat Presiden pada Rabu (28 Apr).
"Dengan pelonggaran lanjut langkah-langkah masyarakat dalam Fasa 3 pembukaan semula, Istana akan membuka semula pekarangannya untuk rumah terbuka Istana secara bertahap-tahap dengan langkah-langkah pengurusan selamat dilaksanakan," tambahnya.
Orang ramai boleh mengunjungi kebun-kebun dan ruang-ruang terbuka di pekarangan Istana, termasuk sebuah kebun inklusif baru yang dilancarkan oleh Presiden Halimah Yacob pada Februari.
Namun, tidak seperti rumah terbuka sebelumnya, tiada persembahan, lawatan berpandu, gerai atau trak makanan bagi mengelakkan kumpulan besar daripada berhimpun. Bangunan utama juga tidak akan dibuka kepada umum.
Duta jarak selamat juga akan dikerahkan.
Untuk menguruskan jumlah pengunjung, mereka yang berminat mesti mendaftar untuk tiket-tiket terlebih dahulu. Tiket adalah percuma dan akan diperuntukkan berdasarkan tempoh waktu dua jam dan sistem dahulu didahulukan.
Pendaftaran untuk tiket bermula pada Khamis, 10.00 pagi.
"Istana meminta kerjasama dan pemahaman pengunjung agar rumah terbuka Istana menjadi pengalaman yang menyenangkan bagi semua orang," kata Pejabat Presiden.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.