Skip to main content

Singapura

Rumah Terbuka Istana sempena NDP2026 akan tampilkan konsert buat julung-julung kalinya

Anggaran Waktu Membaca:
Rumah Terbuka Istana sempena NDP2026  akan tampilkan konsert buat julung-julung kalinya

Presiden Tharman Shanmugaratnam dan isterinya, Puan Jane Ittogi, bergambar bersama pengunjung semasa Rumah Terbuka Hari Kebangsaan Istana 2025. (Gambar: Kementerian Pembangunan Digital dan Penerangan/Sean Koh)

Diterbitkan : 22 Jul 2026 11:06PM Dikemas Kini : 22 Jul 2026 11:50PM
  • Pejabat Presiden Singapura menganjurkan Rumah Terbuka Hari Kebangsaan di Istana pada 26 Julai, menampilkan konsert petang buat pertama kali.
  • Acara ini menawarkan pelbagai aktiviti seperti sukan inklusif, bengkel, persembahan seni, dan lawatan berpandu, dengan penyertaan artis tempatan dan atlet Team Singapore.
  • Kemasukan adalah percuma untuk warga Singapura, PR dan pembantu rumah asing, manakala pengunjung lain dikenakan bayaran tertentu; hasil kutipan disalurkan kepada Cabaran Presiden.
  • Bangunan utama Istana masih ditutup untuk pemuliharaan, dan kapasiti pengunjung mungkin dihadkan bergantung kepada keadaan cuaca.
  • Pejabat Presiden Singapura menganjurkan Rumah Terbuka Hari Kebangsaan di Istana pada 26 Julai, menampilkan konsert petang buat pertama kali di padang Istana.
  • Acara ini menawarkan pelbagai aktiviti seperti sukan inklusif, bengkel, instalasi interaktif, serta persembahan oleh artis tempatan, pelajar seni dan atlet Team Singapore.
  • Kemasukan adalah percuma untuk warga Singapura, PR dan pembantu rumah asing, manakala pengunjung lain dikenakan bayaran; hasil kutipan disalurkan kepada program Cabaran Presiden.
  • Bangunan utama Istana masih ditutup untuk pemuliharaan, dan kapasiti masuk mungkin dihadkan mengikut keadaan cuaca dan jumlah pengunjung.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Rumah Terbuka Hari Kebangsaan Istana tahun ini bakal mencipta sejarah apabila buat pertama kali menganjurkan konsert pada sebelah petang di kawasan padang Istana.

Istana, yang merupakan pejabat rasmi Presiden Singapura, akan dibuka kepada orang ramai dari pukul 9.30 pagi hingga 8.00 malam pada Ahad (26 Jul).

Konsert itu akan berlangsung dari pukul 5.00 petang hingga 7.30 malam, dengan orang ramai dibenarkan masuk selewat-lewatnya pada pukul 6.45 petang.

Pejabat Presiden menggalakkan para pengunjung membawa tikar atau kerusi lipat sendiri untuk menikmati persembahan artis tempatan.

Antara yang bakal membuat persembahan ialah penyanyi Amsden Huang dan Shazza, selain kumpulan Fourteen Aces dan Soft Boiled Eggs daripada Project #JalanJalan, sebuah inisiatif masyarakat yang diterajui golongan belia bagi menyediakan platform kepada pemuzik muda.

PELBAGAI AKTIVITI

Konsert tersebut melengkapkan pelbagai aktiviti yang meraikan Sejarah dan masa depan Singapura menerusi acara sukan, warisan, masyarakat serta persembahan kebudayaan.

Pengunjung boleh mencuba sukan inklusif seperti boccia, floorball duduk, memanah secara maya dan bola sepak dron, selain menyertai cabaran kecergasan anjuran Active Health di bawah Sport Singapore (SportSG).

Beberapa atlet Team Singapore, termasuk bekas pemain bola sepak Lim Tong Hai, pemain badminton Derek Wong dan atlet gimnastik Lim Heem Wei, turut akan hadir sebagai sebahagian daripada kempen One Team, One Dream.

Orang ramai juga boleh berkongsi harapan mereka untuk negara menerusi instalasi interaktif seperti National Pledge Digital Wall, Our Sporting Dreams Wall dan kapsul masa Towards SG70, yang akan dibuka sempena ulang tahun ke-70 Singapura pada 2035.

Bengkel-bengkel daripada percetakan timbul hinggalah pembuatan uncang wangi juga akan disediakan.

Turut diperkenalkan tahun ini ialah Istana Stamp Rally, yang dibangunkan bersama Politeknik Singapura, bagi menggalakkan pengunjung meneroka kawasan Istana sambil mengumpul cop khas untuk menebus cenderamata eksklusif.

Mulai 10.00 pagi, pelbagai persembahan turut disajikan oleh artis tempatan, penghibur muda, pelajar Kolej Seni LASALLE, Akademi Seni Halus Nanyang serta beberapa madrasah.
Related article image
Presiden Tharman Shanmugaratnam dan isterinya, Puan Jane Ittogi, bergambar bersama para guru dan pelajar Madrasah Alsagoff Al-Arabiah semasa Rumah Terbuka Hari Kebangsaan Istana 2025. (Gambar: Kementerian Pembangunan Digital dan Penerangan/Sean Koh
Gerai makanan dan minuman akan beroperasi sepanjang hari dengan pembayaran tanpa tunai.

Tiada bayaran masuk bagi warga Singapura, Penduduk Tetap (PR) dan pembantu rumah asing yang ikut bersama keluarga.

Pengunjung lain dikenakan bayaran S$20 bagi dewasa dan S$10 bagi kanak-kanak berusia antara empat hingga 12 tahun.

Bayaran tambahan dikenakan bagi beberapa aktiviti tertentu, termasuk lawatan berpandu dan lawatan ke Istana Villa.

Pengunjung yang telah membuat pendaftaran awal bagi Lawatan Warisan Istana boleh mengikuti lawatan mengikut slot yang dipilih.

Bangunan Utama Istana masih ditutup bagi kerja-kerja pemuliharaan.

Masuk ke Istana adalah melalui pintu utama di Orchard Road, dengan Stesen MRT Dhoby Ghaut merupakan stesen terdekat.

Pejabat Presiden memaklumkan masuk ke Istana mungkin dihadkan bergantung kepada kapasiti dan keadaan cuaca.

Semua hasil kutipan daripada yuran masuk dan lawatan akan disalurkan kepada program-program di bawah Cabaran Presiden.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita