Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rumah Terbuka Istana kembali terima kunjungan tetamu setelah setahun

Setelah setahun diadakan secara maya kerana pandemik COVID-19, Rumah Terbuka Istana kembali menerima kunjungan para tetamu hari ini (13 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Feb 2021 06:46PM Dikemas Kini : 13 Feb 2021 10:56PM

SINGAPURA: Setelah setahun diadakan secara maya kerana pandemik COVID-19, Rumah Terbuka Istana kembali menerima kunjungan para tetamu hari ini (13 Feb).

Mereka terdiri daripada penerima bantuan dan penjaga mereka yang diundang ke Istana sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Kumpulan dari Cerebral Palsy Alliance Singapore dan St Luke’s ElderCare dihiburkan dengan persembahan muzik oleh Orkestra Cina Sekolah Rendah Nanyang.

Mereka juga di antara yang pertama berpeluang mengunjungi Taman Inklusif yang dilancarkan oleh Presiden Halimah Yacob. Taman Inklusif seluas lebih 800 meter persegi itu dibangunkan dalam kawasan pekarangan Istana.

Sesuai dengan namanya, taman itu direka khas supaya dapat diakses semua pengunjung.

"Kami sering menerima tetamu daripada pelbagai segmen masyarakat kita. Kerana mereka tidak boleh begitu bergerak dengan baik jadi mengadakan taman yang inklusif ini amat penting.

"Jadi kita telah menentukan bahawa mereka yang menggunakan kerusi roda dapat bergerak sama dan mereka juga dapat melihat banyak tanam-tanaman dan buah-buahan.

"Jadi ini satu cara kita menentukan bahawa apa yang ada di Istana ini lebih dapat dibukakan kepada semua anggota masyarakat," kata Presiden Halimah.

Laluan-laluan di seluruh taman itu seluas 1.5 meter supaya para pengunjung yang berkerusi roda dapat bergerak dengan lebih mudah dan selesa.

Selain itu, terdapat pasu-pasu bunga yang membolehkan para pengunjung warga emas melihat tanaman dari dekat tanpa perlu membongkok ke bawah.

Lebih 100 jenis tumbuh-tumbuhan di taman itu juga dipilih khas untuk merangsang pancaindera para pelawat. Ia termasuk pokok-pokok herba dan rempah seperti pokok ajaib atau 'miracle berry' dan juga limau.

"Kami sengaja memilih tumbuh-tumbuhan yang dapat mendidik orang awam mengenai rempah ratus dan herba-herba tempatan serta tumbuh-tumbuhan yang akan merangsang pancaindera para pelawat.

"Jadi misalnya, kami mempunyai tumbuh-tumbuhan yang mempunyai bau yang kuat dan (kami mempunyai) tumbuhan yang boleh anda rasa," kata Pengarah Kumpulan, Fort Canning & Istana, Lembaga Taman Negara Ryan Lee.

Selain itu, taman tersebut juga membawa para pengunjung menelusuri kenangan lama. Misalnya, ia mempunyai pancutan air berbentuk batu lesung lama yang digunakan kaum ibu untuk mengisar rempah mereka. 

Sumber : CNA/RR/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan