Rumah Terbuka Istana diadakan pada 19 Apr sempena sambutan Hari Raya, Hari Buruh
Sempena sambutan Hari Raya dan Hari Buruh, pekarangan Istana akan dibuka kepada orang ramai pada Ahad (19 Apr), menurut Pejabat Presiden Istana dalam satu kenyataan media pada Isnin (13 Apr).
Para pengunjung di Rumah Terbuka Istana. (Gambar fail: Nadia Jansen Hassan)
Rumah Terbuka Istana itu akan bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 6.00 petang dan ia menampilkan pelbagai persembahan yang mencerminkan warisan berbilang budaya Singapura, seperti persembahan dikir barat, tarian Melayu, Bharatanatyam iaitu sejenis tarian klasik India dan tarian tradisional India.
Selain itu, beberapa kumpulan turut akan membuat persembahan seperti Orkestra Philharmonic MacPherson, Koir Kanak-Kanak Sekolah Rendah Punggol View, Indian Cultural Society Politeknik Singapura, Malay Language Society Politeknik Singapura dan Koir Voices of Singapore Children.
Para pengunjung juga boleh mengambil bahagian dalam beberapa aktiviti seperti permainan boling di laman, mengecat bangku 'Singa the Kindness Lion' dan membuat kraf menggunakan bahan-bahan dikitar semula.
Satu permainan 'scavenger hunt' akan diadakan di pekarangan Istana, yang dihasilkan bersama para pelajar Politeknik Singapura.
Para pengunjung juga dijemput untuk meninjau pekarangan Istana, termasuk seni binanya dan flora dan faunanya.
Lawatan berpandu sendiri di Istana Villa, iaitu salah satu bangunan di pekarangan Istana akan dibuka sepanjang hari, menawarkan para pengunjung peluang untuk melihat hadiah-hadiah negara yang diberikan kepada para pemimpin Singapura.
Mereka yang sudah membuat pendaftaran awal bagi lawatan berpandu warisan Istana boleh mengunjungi pekarangan Istana semasa slot masa yang dipilih antara pukul 9.00 pagi dengan 4.00 petang.
Gerai makanan dan minuman akan disediakan, dengan hanya pembayaran tanpa tunai diterima.
Kenyataan media itu juga menyatakan bangunan utama Istana ditutup bagi kerja-kerja pemulihan.
Kemasukan ke pekarangan Istana adalah percuma bagi rakyat Singapura, penduduk tetap Singapura dan pekerja hijrahan yang mengikuti keluarga majikan masing-masing.
Pengunjung lain perlu membayar yuran kemasukan sebanyak S$20 bagi setiap orang dewasa dan S$10 bagi setiap kanak-kanak (berusia antara 4 hingga 12 tahun).
Yuran tambahan tertakluk bagi aktiviti terpilih, seperti lawatan berpandu sejarah Istana dan kemasukan ke Istana Villa.
Kesemua hasil daripada yuran kemasukan dan lawatan berpandu akan disalurkan kepada program-program yang disokong oleh Cabaran Presiden.
Para pengunjung boleh memasuki pintu pagar utama di Orchard Road, dengan Dhoby Ghaut sebagai stesen MRT berhampiran.
Kemasukan ke Istana mungkin dihadkan bergantung pada kapasiti pengunjung atau keadaan cuaca.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.