Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Rumah Terbuka' Hari Raya Hab Sukan SG semarakkan sambutan lebaran

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAMediacorp: Buat julung-julung kalinya, Hab Sukan Singapura menganjurkan "rumah terbuka" buat masyarakat di Singapura untuk meraikan Aidilfitri bersama-sama.

Acara 'Celebrate Hari Raya @ Stadium Roar' itu berkonsepkan suasana kampung dan semangat gotong-royong.

"Hari Raya atau perayaan lain adalah tentang kekeluargaan. Keluarga akan berhimpun untuk melakukan sesuatu bersama. Apa yang kami ingin lakukan adalah untuk membuat "rumah terbuka" di Hab Sukan Singapura untuk keluarga dan rakan untuk meraikan bersama kami. Jadi mereka akan seronok melakukan sesuatu bersama seperti kesenian, ataupun bertanding dengan satu sama lain dalam permainan batu seremban atau chapteh seperti zaman dahulu yang mengimbau kembali kenangan lama buat semua orang," kata jurucakap Hab Sukan Singapura, Low Pui Ling.
BOLEH CUBA PERMAINAN TRADISIONAL MELAYU

Untuk menyemarakkan lagi semangat kampung dalam acara tersebut, pelbagai gerai turut menyediakan permainan tradisional.

Antaranya termasuk permainan gasing, sepak takraw, lawan pemadam dan batu seremban.
 
Selain itu, seni moden "Playnting" juga tersedia, namun dengan suntikan elemen Hari Raya yang khas.

"Saya akan membuat lukisan dengan pemukul dram bersama mereka yang hadir hari ini. Keluarga, kanak-kanak, orang tua semua akan bersama melukis sambil mendengar lagu Hari Raya. Macam suasana kampung tapi kampung moden." kata Pengasas Playnting Pte. Ltd, Khairul Anwar Fazlur Rahman.
ADA GERAI MAKANAN & MINUMAN

Mereka yang datang juga tidak perlu khuatir untuk datang ke acara itu dengan perut kosong.

Ini kerana terdapat tujuh gerai makanan dan minuman yang menghidangkan makanan Melayu tradisional seperti sate, roti jala, mi soto dan tahu goreng.

Sambil menjamu selera, para pengunjung juga akan dihiburkan dengan pelbagai persembahan menarik oleh para atlit negara dan pelajar.
 
PERSEMBAHAN LAGU RAYA & SENI MELAYU

Penari daripada Sekolah Menengah Changkat Changi dan Politeknik Republik menghiburkan penonton dengan tarian tradisional Melayu manakala pelajar Politeknik Singapura dan Universiti Teknologi Nanyang akan pamerkan kehebatan mereka dalam persembahan dikir barat.

Kugiran tempatan seperti Jive Talkin’, O.M.A dan SHAGIES juga tampil untuk mendendangkan lagu-lagu raya.

"Saya rasa acara ini membolehkan masyarakat Singapura mengenali lebih tentang bahasa dan budaya Melayu. Saya harap acara ini dapat diadakan lagi kerana kita dapat peluang untuk berinteraksi bersama warga-warga Singapura dan bersama menyambut Hari Raya," kata Penari Tradisional Melayu Sekolah Menengah Changkat Changi, Nur Sarah Mohamed Shafie.

Ada juga yang mengalu-alukan acara ini untuk diadakan sekali lagi pada masa hadapan.

"Harapan saya adalah semoga Hab Sukan akan menganjurkan acara ini tiap-tiap tahun dan juga menjemput lagi ramai lagi masyarakat di Singapura untuk hadiri majlis ini kerana pada saya majlis ini adalah satu acara yang baik dan menyeronokkan!" kata jurucakap Dikir Barat Politeknik Singapura, Asyraf Sazali.

Mereka yang hadir juga cukup teruja dapat meraikan lebaran dalam suasana yang lebih meriah di situ.

"Saya sebenarnya datang ke acara ini kerana saya ingin raikan Hari Raya dengan kawan-kawan dan lihat makanan-makanan dan semua gerai di sini. Memang gerek acara ini, saya pun tak sangka pemerintah juga ada acara seronok, khas Hari Raya di Stadium, jadi Alhamdulillah saya sangat terhibur," kata pengunjung, Sultan Ismail M Dini.

Malah mereka yang berlainan agama dan kaum juga gembira dapat berkongsi dengan generasi seterusnya mengenai budaya Melayu di Singapura.

"Suami saya berbangsa India dan saya berbangsa Cina, jadi saya ingin anak lelaki saya didedahkan kepada kaum lain dan apa yang mereka nikmati. Saya rasa ia baik kerana ada banyak permainan tradisional jadi kanak-kanak kami tahu apa yang kami lalui semasa kecil," kata pengunjung, Casiopia Low.

SESI KUNJUNG MENGUNJUNG DI HAB SUKAN

Para pengunjung juga boleh mengikuti sesi "kunjung mengunjung" dalam sebuah lawatan yang dikendalikan oleh Hab Sukan Singapura.

Dalam lawatan selama satu setengah jam itu, pengunjung boleh melawat kemudahan-kemudahan bertaraf dunia yang disediakan di Hab Sukan Singapura termasuk Muzium Sukan Singapura.

Acara itu berlangsung selama tiga hari di Hab Sukan Singapura mulai Sabtu (29 Apr) hingga Isnin (1 Mei) depan.

Bagi menyemarakkan lagi acara itu, bumbung Stadium Negara dinyalakan dengan cahaya berwarna-warni dengan ucapan 'Selamat Hari Raya' mulai pukul 7.30 malam hingga 10.00 malam.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan