Skip to main content

Singapura

Rumah SG 'bukti' visi Liu Thai Ker: PM Wong

Anggaran Waktu Membaca:
Rumah SG 'bukti' visi Liu Thai Ker: PM Wong
Arkitek dan perancang bandar tersohor, Liu Thai Ker, merupakan ketua perancang Singapura antara tahun 1989 dan 1992. (Gambar: Liu Thai Ker)
Diterbitkan : 18 Jan 2026 10:37PM Dikemas Kini : 18 Jan 2026 10:38PM
SINGAPURA: Penghormatan datang mencurah-curah untuk mantan ketua perancang Singapura, Liu Thai Ker, yang meninggal dunia pada Ahad (18 Jan) pada usia 87 tahun.

Dalam catatan di Facebook, Perdana Menteri Lawrence Wong berkata bahawa beliau amat berdukacita dengan pemergian Dr Liu, sambil mengimbas kembali perbualan "berharga" semasa beliau di Kementerian Pembangunan Negara (MND).

"Beliau sering berkata bahawa untuk membina sebuah bandar, seseorang mesti mempunyai jiwa kemanusiaan, minda seorang saintis, dan mata seorang seniman," kata PM Wong, yang merupakan Menteri Pembangunan Negara dari tahun 2015 hingga 2020.

"Cita-cita ini terpahat dalam karyanya sepanjang hayat. Bangunan, rumah dan ruang awam yang digunakan oleh rakyat Singapura setiap hari menjadi bukti senyap dedikasi dan visinya. Singapura menjadi lebih baik kerana khidmat Thai Ker."

PM Wong juga menyatakan bagaimana Dr Liu, yang dianggap secara meluas sebagai "Bapa Perancangan Bandar di Singapura", memainkan peranan penting dalam membentuk Pelan Konsep 1991 dan memajukan usaha pemuliharaan, "menubuhkan asas struktur yang terus membimbing cara kita merancang dan membina bandar kita hari ini".

Pelan itu menghidupkan "wawasan berani" sebuah bandar pulau, di mana alam semula jadi, badan air dan pembangunan bandar disepadukan dengan lancar.

Presiden Tharman Shanmugaratnam, dalam catatan Facebook juga, mengucapkan penghargaan kepada mantan ketua arkitek dan ketua eksekutif Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) itu atas sumbangan mendalam dan berkekalan beliau kepada negara, sambil memuji bagaimana beliau "membantu menjadikan Singapura sebuah bandar yang sesuai didiami di kawasan tropika".

Menceritakan permulaan sederhana Dr Liu, Presiden Tharman berkata bahawa hidupnya "mungkin boleh melalui perjalanan yang sangat berbeza".

"Dilahirkan pada tahun 1938 di Muar, Johor, 'katil' Thai Ker terdiri daripada kayu yang diikat oleh jalur besi dan paku yang diselaputi lapisan zink yang goyah. Beliau ingin mengikuti jejak langkah bapanya, seniman perintis Liu Kang. Disebabkan oleh bantahan ibunya, beliau mempelajari seni bina sebagai gantinya," katanya.

Presiden Tharman melahirkan rasa kagum terhadap bagaimana Dr Liu kekal aktif sepanjang tahun 70-an dan 80-an, menyumbang kepada perancangan bandar di lebih 50 bandar di luar negara, dari Chengdu dan Ningbo di China hingga Al Qadimah di Arab Saudi dan Kazan di Rusia.

"Sehingga akhirnya, beliau tetap yakin bahawa menjadikan bandar ini lebih baik akan meningkatkan mutu hidup dan semangat rakyat. Itu akan kekal sebagai legasi Dr Liu Thai Ker," tambah Presiden Tharman.

Menyifatkan Dr Liu sebagai tokoh perintis dalam perjalanan pembangunan perumahan dan bandar Singapura, Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat menulis dalam catatan Facebook bahawa beliau amat berdukacita dengan pemergiannya.

Encik Chee berkata bahawa semasa tempoh Dr Liu di HDB dan kemudian sebagai ketua eksekutif Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), beliau memainkan peranan penting dalam membentuk program perumahan awam Singapura dan rangka kerja perancangan bandar jangka panjang.

Di HDB, Dr Liu menerajui pembangunan 20 bandar baharu dan menyelia pelaksanaan lebih setengah juta unit perumahan awam.

"Dr Liu mendedikasikan hidupnya untuk membina negara kita, dengan rumah yang bermutu, masyarakat yang teguh dan ruang tamu yang indah," kata Encik Chee.

"Di luar Singapura, pengaruh Dr Liu meluas ke seluruh rantau dan dunia. Melalui kerjanya di banyak bandar di luar negara, beliau berkongsi pengalaman Singapura dalam perancangan bandar, kemampanan dan kesesuaiannya untuk didiami, membantu banyak bandar yang pesat membangun merancang masa depan mereka."

Encik Chee juga mengimbas kembali bagaimana Dr Liu berucap dengan "jelas dan yakin" tentang masa depan bandar Singapura semasa pertemuan mereka kira-kira dua minggu lalu, berkongsi idea dan renungannya tentang cara membina bandar dengan lebih baik.

"Ini bukti dedikasi sepanjang hayatnya kepada perkhidmatan awam dan negara ini yang sangat beliau sayangi," kata menteri itu.

"Legasi Dr Liu Thai Ker akan terus hidup di kawasan kejiranan indah yang kami panggil rumah, bandar taman dinamik yang kami banggakan ini, dan berbilang generasi yang telah beliau inspirasikan selama ini."

"LAKAR PELAN INDUK"

Menteri Negara bagi Pembangunan Negara Alvin Tan berkata pemergian Dr Liu menandakan kehilangan "yang sangat besar" untuk Singapura.

“Berdiri di sisinya, anda pasti akan merasai warisan sejarah yang mengagumkan. Inilah orang yang melihat perjuangan awal kita dan melihat potensi Singapura yang kita kenali hari ini,” kata Encik Tan di Facebook.

“Beliau melakar pelan tindakan untuk perumahan dan pusat bandar kita, didorong oleh kepercayaan bahawa rakyat Singapura berhak mendapat persekitaran hidup yang terbaik.”

Encik Tan menambah bahawa meskipun meraih pencapaian sebagai arkitek landskap moden Singapura, Dr Liu tetap bersemangat dan berwawasan tinggi, dan kerendahan hati beliau "menjadi contoh dan inspirasi" untuknya.

Anggota Parlimen Nadia Ahmad Samdin, ahli Jawatankuasa Parlimen Pemerintah MND, menceritakan kembali daya tarikan dan "alunan suara yang tenang dan sopan" Dr Liu semasa temu bual yang dijalankannya dengan mendiang pada tahun 2016, ketika beliau bertugas sebagai seorang penerbit.

Mantan Menteri Ehwal Luar George Yeo juga menyifatkan Dr Liu sebagai "seorang tokoh hebat dengan sentuhannya yang terserlah di seluruh Singapura, China dan sekitarnya", manakala maestro jazz Jeremy Monteiro mengenang bagaimana Dr Liu "sentiasa baik" kepadanya dan sering hadir di persembahannya, baik konsert besar mahupun persembahan di kelab yang lebih kecil.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita