Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rumah rekaan SG antara bantuan dihantar ke Ukraine

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Untuk membantu penduduk Ukraine yang berdepan dengan musim sejuk dahsyat, Persatuan Palang Merah Singapura (SRC) sedang menyokong pembinaan 10 rumah modular yang direka di Singapura dan boleh menahan keadaan amat sejuk dan perlindungan daripada bencana alam lain, menurut SRC pada Isnin (12 Dis). 

Pertubuhan kemanusiaan tempatan itu juga menyediakan penjana elektrik, peralatan perubatan, serta sistem air dan sanitasi untuk membantu golongan yang memerlukan di Ukraine. 

"Sedang konflik berlarutan masuk musim sejuk, ramai penduduk Ukraine menghadapi masalah terputus bekalan elektrik atau tenaga," kata Encik Benjamin William, CEO SRC. 

"Kami sedang bekerja rapat dengan penderma dan rakan kerja di Ukraine untuk menyokong projek-projek bermakna yang akan membawa kelegaan, serta kesan yang berpanjangan." 

Selain rumah-rumah yang direka di Singapura, SRC akan menyokong pembelian enam penjana elektrik dan kos bahan pembakar untuk memastikan penjana elektrik tersebut boleh beroperasi. 

Penjana elektrik tersebut boleh membekalkan tenaga dan kuasa elektrik kepada 750 orang setiap hari dan akan digunakan untuk menghidupkan "rumah api", di mana orang ramai berteduh dan mengecas peralatan komunikasi dan perubatan mereka. 

"Rumah api" juga berfungsi sebagai pusat jagaan bagi golongan yang memerlukan, untuk mendapatkan air bersih, agihan makanan dan keperluan asas yang lain. 

Tambah SRC, ia juga akan terus menyokong golongan yang memerlukan di Ukraine dengan bekalan keperluan harian, seperti makanan dan lampin. 

BANTUAN PERUBATAN 

(Gambar: SRC)

SRC turut menyatakan, ia menyediakan peralatan dan bekalan perubatan, seperti meja X-ray, peralatan fisioterapi dan pelbagai bekalan perubatan ke kemudahan-kemudahan perubatan di Odesa, Kyiv dan Uzhhorod. 

"Hospital di Ukraine kekal aktif dalam menyediakan perkhidmatan perubatan kepada masyarakat. Namun, sebilangan besar musnah teruk dan memerlukan bantuan untuk meneruskan perkhidmatan mereka," tambah SRC. 

Untuk membantu dengan penghantaran perkhidmatan perubatan kepada masyarakat yang tidak mempunyai akses kepada kemudahan jagaan kesihatan, SRC menyatakan, ia sudah mendapatkan sebuah unit klinik perubatan bergerak yang dilengkapi dengan tiga bilik untuk  Persatuan Palang Merah Ukraine, cawangan wilayah Mykolaiv. 

Unit tersebut merangkumi bilik pemeriksaan, farmasi, makmal, bilik kecemasan di mana pembedahan kecil boleh dilakukan, dan dilengkapi dengan mesin X-ray yang boleh dialih. 

Sejak Julai 2022, klinik tersebut dikerahkan setiap hari di bandar Mykolaiv dan Mykolaiv Oblast, menyediakan rawatan perubatan asas kepada antara 300 hingga 400 penduduk atau individu yang kehilangan tempat tinggal.

Sebanyak 10 ambulans juga diperolehi untuk membantu Persatuan Palang Merah Ukraine menyediakan khidmat jagaan kesihatan bergerak, tambah SRC.

SRC juga menyokong kumpulan kesihatan bergerak dengan menyediakan peralatan seperti mesin diagnostik ultrasoundi dan mesin bantuan pernafasan.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan