Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rumah peralihan 'Rise Above' kendalian PPIS bagi bekas pesalah wanita dijangka beroperasi jelang 2023

Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) memeterai perjanjian bersama Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) bagi Model Perkhidmatan Rumah Peralihan secara maya pada Selasa (25 Mei). 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) memeterai perjanjian bersama Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) bagi Model Perkhidmatan Rumah Peralihan secara maya pada Selasa (25 Mei).

Ini sekali gus menandakan pertubuhan Melayu/Islam itu selangkah lebih dekat lagi untuk membuka dan mengendalikan sebuah rumah peralihan sekular yang pertama seumpamanya, khusus untuk bekas pesalah wanita, setelah perbincangan dengan SPS bermula sejak awal 2019.

Dijangka siap menjelang 2023, rumah peralihan yang dinamakan 'Rise Above' itu akan menerima bekas pesalah wanita tanpa mengira kaum dan agama.

Dalam ucapannya, Presiden PPIS Hazlina Halim menekankan bahawa usaha mengintegrasikan semula bekas pesalah masih satu cabaran yang bukan sahaja rumit bahkan juga berbilang dimensi terutama sekali bagi wanita kerana mereka menggalas pelbagai peranan penting sebagai seorang anak, isteri dan ibu.

"Namun, kami yakin dengan ekosistem yang kami ada, merangkumi perkhidmatan sedia ada, kami akan dapat memberikan pendekatan menyeluruh untuk membantu kaum Hawa berhubungan kembali dengan orang tersayang mereka, keluarga mereka, komuniti mereka dan masyarakat," dedah Cik Hazlina kepada BERITAmediacorp.

"Kami percaya usaha mengintegrasikan semula bekas pesalah seharusnya bermula dengan membayangkan apakah jenis masyarakat yang kita inginkan - sebuah masyarakat yang inklusif dan penyayang. Kerjasama ini adalah selangkah menuju ke arah itu."

'RISE ABOVE' BANTU WANITA BANGKIT LEBIH TINGGI

Dalam wawancara eksklusif bersama BERITAmediacorp, Cik Hazlina berkata rumah peralihan 'Rise Above' masih dalam perancangan.

"Rundingan masih kami jalankan untuk melakarkan program yang menyeluruh bagi membantu wanita bangkit tinggi, sama seperti maksud namanya. Pasukan kami kini juga sedang giat mengenal pasti rakan-rakan kebajikan dan juga pertubuhan-pertubuhan korporat yang boleh menyertai usaha kami ini. Kami mengalu-alukan kerjasama," ujar beliau.

(Gambar: PPIS/Facebook)

(Gambar: PPIS/Facebook)

Acara maya pemeteraian perjanjian itu dihadiri oleh para anggota kakitangan utama SPS termasuk Pesuruhjaya Penjara, Cik Shie Yong Lee, TImbalan Pesuruhjaya, Encik Terrence Goh, dan Pengarah Caroline Lim.

Para ahli Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Penasihat PPIS turut menyerikan acara bersama dengan kakitangan pengurusan kanan pertubuhan itu.

Pada Oktober lalu, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Dr Muhammad Faishal Ibrahim mendedahkan PPIS dilantik untuk bekerjasama dengan SPS untuk mengendalikan sebuah rumah peralihan bagi bekas penagih dan pesalah wanita menjelang 2023.

Pelantikan PPIS itu atas kepakarannya dalam isu keluarga dan wanita termasuk rangkaian sokongan yang luas dan menyeluruh dalam mendampingi keluarga berisiko dan memerlukan.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa