Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rumah peralihan PPIS siap pada separuh kedua 2022 - lebih awal dari tarikh asal

Rumah peralihan bagi pesalah wanita kendalian Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) akan siap dan beroperasi lebih awal daripada jangkaan - iaitu pada separuh kedua tahun depan. Ini berbanding tarikh 2023 yang diumumkan sebelum ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Rumah peralihan bagi pesalah wanita kendalian Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) akan siap dan beroperasi lebih awal daripada jangkaan - iaitu pada separuh kedua tahun depan.

Ini berbanding tarikh 2023 yang diumumkan sebelum ini.

PPIS hari ini (6 Dis) juga mendedahkan lokasi rumah peralihan Rumah Peralihan Rise Above - di St. George's Lane di kawasan Bendemeer. Menurut badan itu, tapak itu sudahpun mempunyai sebuah bangunan dua tingkat yang kini akan dimanfaatkannya untuk tujuan tersebut.

Bangunan tersebut sebelum ini juga pernah digunakan sebagai rumah peralihan untuk belia perempuan dan juga rumah tumpangan warga emas.

KERJA-KERJA UBAH ELOK BERMULA JAN 2022

Bagi menandakan bermulanya kerja-kerja ubah elok dan peningkatan untuk menyiapkan rumah peralihan itu, satu majlis simbolik diadakan di tapak tersebut hari ini oleh PPIS, Jabatan Penjara Singapura (SPS) dan juga Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Dr Faishal Ibrahim.

Apabila siap nanti, Rumah Peralihan Rise Above akan dapat menampung sehingga 30 pesalah wanita, pada satu-satu masa.

"Saya gembira kerana PPIS telah diberikan bangunan ini untuk mengendalikan operasi Rumah Peralihan Rise Above. Dan juga ia akan bermula membuat kerja kerja pembaikan pada Januari dan akan bermula operasi pada separuh kedua pada tahun hadapan," kata Dr Faishal.

SEDIAKAN RUANG HOLISTIK, SELAMAT

Ini juga merupakan rumah peralihan wanita pertama yang bersifat sekular, bermakna ia mengendalikan tahanan wanita dari pelbagai kaum dan agama dalam usaha mempersiap mereka untuk diintegrasikan semula kepada masyarakat.

Ruang-ruang untuk menjalankan kelas-kelas dan bengkel-bengkel kerohanian pelbagai agama adalah antara ciri menarik rumah peralihan ini.

Antara kemudahan lainnya termasuklah pelbagai ruang menimba kemahiran memasak dan menjahit dan juga kaunseling. Terdapat juga bilik-bilik rekreasi untuk para penghuni berhibur dan juga dewan luar untuk beriadah.

Ia juga bakal mempunyai program-program intervensi lebih khusus bagi pesalah wanita dan pesalah dadah wanita untuk membantu mereka membina kehidupan, serta membina modal insan dan sosial dalam masyarakat selepas dibebaskan nanti.

"Ruang yang kami sediakan ini adalah ruang yang holistik, yang selamat, dilengkapi struktur supaya wanita-wanita yang menetap di sini dapat membina diri mereka sendiri, membangkitkan kebolehan mereka dan dengan mempertingkatkan diri mereka, mereka juga dapat membina keluarga mereka.

"Dan dengan membina keluarga mereka ini, mereka akan dapat lebih yakin untuk menjalinkan hubungan semula dengan keluarga dan kemudian dengan masyarakat," kata Presiden PPIS, Cik Hazlina Abdul Halim.

(Gambar: SPS)

Meskipun belum pernah mengendalikan sebuah rumah peralihan sebelum ini, Cik Hazlina percaya, PPIS dapat menjalankan tugas itu dengan sempurna. Ini berkat sokongan kakitangan, sukarelawan dan rakan kerja, serta pengalaman PPIS sendiri membantu kanak-kanak, keluarga dan wanita sejak hampir 70 tahun lalu, ujar beliau.

PPIS juga punya pengalaman mengendalikan 16 pusat khidmat masyarakat di merata negara termasuk pusat keluarga, penjagaan pelajar dan pendidikan awal kanak-kanak.

"Kemahiran yang dapat diraih selama tujuh dekad itu semestinya menjadi landasan yang kukuh buat kami (PPIS). Dan dengan adanya rakan sekerja seperti SPS, kami lebih yakin kerana mereka juga berpengalaman dan mereka juga sama-sama dapat membentuk idea-idea yang kita cuba, yang kita debatkan, yang kita bincangkan untuk memastikan rumah peralihan ini mempunyai visi yang sama," jelas Cik Hazlina.

KADAR KEBENTANAN TURUN BAGI YANG JALANI PROGRAM RUMAH PERALIHAN

Kerjasama di antara PPIS dan SPS dalam program kemasyarakatan seperti itu juga adalah antara usaha untuk membantu mengurangkan kadar kebentanan dalam kalangan bekas pesalah wanita.

Dr Faishal berkata kadar kebentanan bagi kohort yang bebas penjara antara tahun 2016 hingga 2018 dan menjalani program-program rumah peralihan seperti itu adalah sekitar 16 peratus.

Ini berbanding kadar kebentanan 26 peratus di kalangan mereka yang tidak menjalaninya.

(Gambar: SPS)

"Kajian kita dapati bahawa kalau kita memberikan ruang pemulihan yang baik kepada pesalah wanita ini, mungkin ia boleh memberikan satu proses pemulihan bukan sahaja yang baik tapi menghentikan keluarga itu ditarik ataupun libatkan dalam kanca jenayah kepada satu generasi ke satu generasi lain," kata Dr Faishal.

Rumah Peralihan Rise Above yang baru itu bakal menjadi rumah peralihan sembilan di Singapura yang mengikuti Model Perkhidmatan Rumah Peralihan SPS yang bertujuan membantu bekas pesalah menjalani gaya hidup bebas jenayah dan lebih berdikari.

Tujuh daripadanya merupakan rumah peralihan untuk kaum lelaki manakala dua adalah untuk kaum wanita. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sy

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa