Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rumah Makanan Minang, restoran nasi padang pertama tawar makanan sihat

5 restoran Nasi Padang suarakan minat tawar hidangan lebih sihat, dengan Rumah Makan Minang jadi yang pertama sahut program HPB

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jumlah hidangan lebih sihat yang dijual di bawah Program Pilihan Makanan Lebih Sihat oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) meningkat dari 26 juta pada 2016 kepada 50 juta, sehingga Mac tahun ini.

Rumah Makan Minang kini menjadi restoran nasi padang pertama yang menyahut cabaran itu dan mulai hari ini (31 Jul), menyajikan lima lauk versi yang lebih sihat.

Malah, HPB memberitahu pihak BERITAMediacorp bahawa lagi empat restoran nasi padang lain juga dijangka ikut serta dalam masa dua hingga tiga bulan ini, iaitu restoran Hajjah Maimunah, Sinar Pagi, Mamanda dan Padi@Bussorah.

YANG MANA ANTARA SAJIAN 'LEBIH SIHAT' RUMAH MAKAN MINANG?

Ayam gulai padang, rendang, asam pedas, sotong hitam dan sup bola ikan - inilah lima sajian tradisional Melayu 'versi lebih sihat' yang menanti anda di Rumah Makan Minang.

Lauk-pauk itu biasanya dihidangkan dengan nasi putih. Namun kini ia dilengkapi dengan nasi dari beras merah dan pucuk ubi, menjadikannya lebih berkhasiat.

Nasi dari beras merah adalah sejenis beras bijiran, yang mengandungi nilai pemakanan yang lebih tinggi berbanding nasi putih. Ia juga kaya dengan serat, vitamin B1 dan B2, zat besi dan kalsium.

Dengan menggunakan kurang santan dan garam serta jenis minyak yang lebih sihat, lauk-pauk tersebut kini hanya mengandungi 400 kalori sahaja berbanding antara 700 hingga 900 kalori sebelum ini.

KOS NASI MERAH LEBIH MAHAL

Meskipun lebih sihat dan kelazatan sajian-sajian baru itu dijamin tidak terjejas, Rumah Makan Minang masih mendapati sukar memujuk para pelanggan untuk mencuba menu alternatif ini.

Salah satu sebab ialah kos nasi merah sebenarnya seganda lebih mahal berbanding nasi putih.

"Waktu saya kasi nasi merah percuma kepada pelanggan kita, mereka rasa nasinya ok dan mereka rasa yang nasinya rasa sesuai untuk makanan kita. Tapi kerana harganya, mereka tidak begitu minat kerana harga nasi merah dengan nasi putih ada perbezaan," kata Pengarah Rumah Makan Minang, Hazmi Zin.

Rumah Makan Minang menjadi restoran nasi padang pertama di negara ini untuk menyertai Program Pilihan Makanan Lebih Sihat HPB, atas galakan Setiausaha Parlimen Kanan Kementerian Kesihatan (MOH), Amrin Amin.

Encik Amrin menekankan peri pentingnya untuk memahami bahawa usaha ke arah gaya makanan lebih sihat ini bukan hanya tanggungjawab para penjual sahaja.

"Masyarakat juga memainkan peranan yang penting. Saya akur yang menukar tabiat itu bukan satu perkara yang mudah. Jadi, kita harus membuat langkah ini secara bertahap-tahap. Walaupun kalau ada yang tidak suka nasi merah atau nasi perang, pastikan nasi putih itu yang kita makan dikurangkan dan juga pastikan ada lebih banyak sayur-sayuran dan sebagainya, dan kurangkan yang tidak sihat itu," jelas Encik Amrin.

SAMBUTAN BAIK OLEH PENGENDALI F&B LAIN

Lebih 1,140 pengendali makanan dan minuman dengan 8,700 cawangan sudah menyertai program HPB itu, dengan 680 cawangan yang menawarkan makanan halal.

MOH, tambah Encik Amrin, mahu menggalak lebih banyak pengendali untuk menyertai program itu sebagai sebahagian daripada kempennya untuk memerangi kencing manis.

Ini lebih penting lagi menurut Tinjauan Pemakanan Kebangsaan 2010, yang mendapati 60 peratus rakyat Singapura makan luar sekurang-kurangnya empat kali seminggu.

Menariknya, jika anda seorang penggemar nasi padang, akan ada lebih banyak restoran nasi padang menyediakan lauk-lauk dan nasi lebih sihat.

HPB menyatakan, ia kini sudahpun berunding dengan restoran-restoran nasi padang lain seperti Hajjah Maimunah, Sinar Pagi, Padi@Bussorah dan Mamanda yang kesemuanya melahirkan minat untuk mengikut jejak Rumah Makan Minang.

Penyertaan restoran-restoran itu bergantung kepada secepat mana masing-masing dapat mengubah menu masakan kepada yang lebih sihat tanpa berkompromi dengan mutu rasanya.

Ini menurut pihak HPB kepada BERITAMediacorp, mungkin mengambil masa antara dua hingga tiga bulan.

Antara langkah yang perlu diambil restoran-restoran untuk disertakan di bawah Program Pilihan Makanan Lebih Sihat HPB ialah seperti mencampurkan 20 peratus beras perang kepada beras biasa.

Namun bagi restoran yang berani seperti Rumah Makan Minang, ia menggunakan 100 peratus beras merah, sebagai antara pilihannya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/AI/hs
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan