Skip to main content

Singapura

Rumah Makan Minang Kandahar Street ditutup sebulan bagi kerja elektrik, pembaharuan

Anggaran Waktu Membaca:
Rumah Makan Minang Kandahar Street ditutup sebulan bagi kerja elektrik, pembaharuan

Rumah Makan Minang di Kandahar Street. (Gambar: Instagram/minang.sg)

Diterbitkan : 23 Apr 2026 12:26AM
SINGAPURA: Cawangan Rumah Makan Minang di Kandahar Street akan ditutup sekitar sebulan sehingga 21 Mei.

Ini bagi membolehkan kerja-kerja elektrik dan pembaharuan dijalankan di cawangan yang sudah beroperasi di tapak itu sejak 30 tahun lalu.
Semasa dihubungi BERITA Mediacorp, Pengarah Urusan Rumah Makan Minang Hazmi Zin berkata: "Tahap beban elektrik kami pada 60 ampere sekarang, berdasarkan keperluan lama bangunan ini, tidak cukup untuk kami beroperasi dengan semua peralatan yang sedia ada.

"Bekalan elektrik selalu 'trip'. Mesin dan barang kami juga mudah rosak sebab sering 'on off'.

"Dengan semua peralatan dan teknologi sekarang, kami memerlukan lebih banyak tenaga untuk menampung operasi harian."

"Baru-baru ini, SP Group sudah memberikan kelulusan untuk beban elektrik dinaikkan ke 100 ampere dan ia akan mengambil masa untuk melakukannya.

"Oleh itu, dengan rasa berat hati, kami terpaksa tutup kedai buat masa ini," kata pemilik kedai nasi padang popular itu.

Meskipun ibarat mengambil cuti sebulan, Encik Hazmi akur bahawa tempoh ini amat mencabar kerana pihaknya masih perlu terus memikirkan tentang kos sewa, gaji pekerja dan kos naik taraf, antara lain.

Sungguhpun demikian, Encik Hazmi tetap mengambil peluang ini untuk menjalankan pembaharuan konsep secara serentak bagi turut memberi nafas baharu kepada cawangan di Kandahar Street itu.

"Ia akan dijadikan seperti konsep di cawangan lain (di Hab Tampines Kita dan Kelab Masyarakat The Frontier). Konsep baharu ini juga sempena pembukaan semula Taman Warisan Melayu, yang diharapkan dapat saling melengkapi reka bentuknya.

"Kalau kita tak jaga, ia akan nampak agak usang dan kami juga terletak di sebelah Masjid Sultan, di mana ramai pelancong datang berkunjung," jelas pemilik generasi ketiga Rumah Makan Minang itu.

Walau demikian, Encik Hazmi melahirkan harapan kerja-kerja naik taraf di cawangannya itu bakal menjadikan kedai tersebut lebih selesa bagi pengunjung.

"Kita berharap tiada lagi masalah 'trip' dan semuanya dapat berjalan dengan lancar.

"Dengan pembaharuan konsep, kami juga berharap pelanggan akan suka dengan tempat yang bersih dan konsep yang baharu bagi keselesaan mereka," ujarnya.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita