Skip to main content

Singapura

Rumah lebih kecil, tempoh pajakan lebih singkat: Bagaimana landskap perumahan S'pura berubah ikut peralihan demografi

Rumah flat lebih kecil dan unit dengan tempoh pajakan lebih pendek mungkin membentuk sebahagian besar landskap perumahan Singapura pada masa akan datang, sedang ia menyesuaikan diri dengan peralihan demografi, menurut para pakar. 

Anggaran Waktu Membaca:
Rumah lebih kecil, tempoh pajakan lebih singkat: Bagaimana landskap perumahan S'pura berubah ikut peralihan demografi

Pemandangan kawasan perumahan di Singapura. (Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 08 Jul 2021 12:53PM Dikemas Kini : 08 Jul 2021 12:55PM

SINGAPURA: Rumah flat lebih kecil dan unit dengan tempoh pajakan lebih pendek mungkin membentuk sebahagian besar landskap perumahan Singapura pada masa akan datang, sedang ia menyesuaikan diri dengan peralihan demografi, menurut para pakar.

Berdasarkan data daripada banci penduduk terkini, jumlah anggota keluarga dalam setiap isi rumah secara purata berkurangan meskipun jumlah keluarga meningkat sepanjang sedekad lalu.

Terdapat 1.37 juta keluarga penduduk pada 2020, meningkat dari 1.15 juta sedekad lalu. Dalam tempoh yang sama, saiz purata keluarga penduduk jatuh kepada 3.2 orang, turun daripada 3.5.

Selain daripada unit keluarga lebih kecil, kenaikan pada jumlah orang bujang dan penduduk kian menua akan mempunyai kesan ke atas perancangan bandar serta dasar perumahan. Demikian menurut para pakar yang ditemui Mediacorp.

RUMAH LEBIH KECIL

Sebagai permulaan, Singapura mungkin perlu menyediakan lebih banyak rumah lebih kecil dalam pasaran awam dan privet di tengah-tengah pertumbuhan dalam unit keluarga lebih kecil. Ini menurut Dr Woo Jun Jie, zamil penyelidik kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS).

Ini termasuk nukleus keluarga lebih kecil atau orang bujang dan warga tua yang tinggal bersendirian.

Pada 2020, isi rumah satu anggota membentuk 16 peratus daripada keseluruhan isi rumah manakala isi rumah dua anggota membentuk 22.6 peratus daripadanya. Kedua-dua kategori ini masing-masing tumbuh sebanyak 3.8 peratusan mata sepanjang sedekad lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif PropNex, Encik Ismail Gafoor, menarik perhatian bahawa pertumbuhan isi rumah satu anggota boleh menyokong permintaan bagi rumah lebih kecil dalam pasaran kediaman privet.

Satu lagi faktor, menurut beliau, adalah sama ada keperluan untuk menjaga orang tua akan "mengurangkan simpanan orang muda".

Ini akhirnya mungkin memberi kesan terhadap keputusan pembelian mereka, kata beliau. "Akankah mereka membeli rumah lebih kecil kerana ini lebih dimampui berbanding unit lebih besar?"

Namun, seperti para pakar lain, beliau akur bahawa permintaan sedemikian mungkin dihambat oleh keinginan untuk memiliki rumah lebih lapang kerana "aturan pekerjaan yang berubah dan aspirasi gaya hidup".

Ini dibuktikan oleh trend pembelian baru-baru ini, kata Encik Ismail. "Berdasarkan data penjualan semula perumahan awam selama 10 tahun lalu, kami melihat peningkatan pada permintaan untuk flat empat dan lima bilik, lebih daripada flat tiga bilik, terutama pada 2020."

Cik Catherine He, pengarah kajian bagi Asia Tenggara di CBRE, berkata walaupun lebih banyak rumah lebih kecil diperlukan, masih perlu ada "taburan baik bagi saiz rumah" untuk memenuhi pilihan lain.

DASAR YANG BERUBAH BAGI GOLONGAN BUJANG

Dr Woo dari IPS juga percaya perlu untuk memikirkan semula peruntukan perumahan dan geran flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) - terutama syarat usia dan had ke atas saiz flat bagi golongan bujang.

Sepanjang sedekad lalu, jumlah orang bujang meningkat dalam kalangan semua kumpulan usia antara 20 hingga 49 tahun.

Buat masa ini, bujang berusia 35 tahun dan ke atas boleh memohon flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dua bilik, tertakluk kepada pelbagai kriteria kelayakan.

Encik Ismail dari PropNex berkata dasar perumahan bagi kumpulan tersebut sudah menjadi lebih inklusif sepanjang 10 tahun lalu tetapi menambah bahawa pihak berkuasa boleh menimbangkan untuk membenarkan golongan bujung membeli flat BTO tiga bilik pada masa hadapan.

“Sesetengah orang bujang mungkin memerlukan lebih banyak ruang, misalnya, orang tua bujang dengan seorang penjaga atau orang bujang yang ada perancangan untuk akhirnya mendirikan rumah tangga dan memulakan sebuah keluarga," kata beliau.

Namun, Cik He menarik perhatian bahawa dasar perumahan Singapura cenderung ke arah keluarga dan lantas, "berpandu ke arah sebuah matlamat yang berbeza".

“Sudah ada dasar-dasar yang dilaksanakan untuk membantu warga tua dan golongan bujang mendapatkan perumahan awam. Isu keprihatinannya mungkin lebih terletak pada bekalan unit-unit perumahan ini," kata Cik He.

Beliau juga menarik perhatian bahawa rakyat Singapura cenderung berpaling ke pasaran privet apabila keperluan mereka tidak dapat dipenuhi oleh pasaran perumahan awam.

PERUMAHAN WARGA EMAS

Satu lagi isu mendesak bagi dasar perumahan berpunca daripada penduduk Singapura yang semakin menua. Mereka yang berumur 65 tahun dan ke atas membentuk 15.2 peratus populasi penduduk pada 2020, meningkat dari 9 peratus pada tahun 2010, menurut banci penduduk.

"(Pihak berkuasa boleh mengkaji semula) apakah model perumahan sekarang cukup untuk memenuhi keperluan penduduk yang kian menua dan sama ada terdapat bekalan mencukupi untuk perumahan seperti itu bagi memenuhi permintaan masa depan daripada warga emas," kata Encik Ismail.

Buat masa ini, terdapat pelbagai pilihan yang tersedia di pasaran perumahan awam untuk warga tua seperti flat Flexi dua bilik dan flat dengan kemudahan bantuan.

Namun, kata Encik Ismail, pihak berkuasa boleh meninjau sama ada lebih banyak pilihan perumahan warga tua boleh disediakan dalam sektor kediaman privet.

Cik He menambah: "Dengan penduduk yang semakin menua, kita mungkin melihat lebih banyak projek dengan tempoh pajakan lebih pendek untuk menjadikannya lebih dimampui buat warga emas.

"Kita mungkin juga melihat lebih banyak tapak diperuntukkan buat jagaan warga tua, seperti konsep masyarakat bagi penjagaan di rumah untuk orang yang menghidap demensia di Sembawang atau yang ada di Kampung Admiralty, sebuah projek perumahan bersepadu untuk warga emas."

ANTARA PERUMAHAN AWAM DENGAN PRIVET

Data banci juga menunjukkan bahawa lebih ramai penduduk menetap di kondominium dan apartmen pada 2020 berbanding 10 tahun lalu.

Jumlah isi rumah penduduk yang tinggal di unit privet meningkat dari 11.5 peratus kepada 16 peratus sepanjang tempoh tersebut manakala jumlah mereka yang menetap di flat HDB merosot dari 82.4 peratus kepada 78.7 peratus.

“Peralihan ke arah apartmen privet sangat didorong faktor peningkatan pada kemewahan dan aspirasi dalam kalangan penduduk Singapura. Ini adalah trend yang kemungkinan akan berterusan," kata Dr Woo.

Namun beliau menambah bahawa kuasa pasaran akan akhirnya menyebabkan satu "keseimbangan mampan jangka panjang antara perumahan awam dengan privet".

Encik Ismail bersetuju sambil berkata bahawa sebarang peralihan lanjut dalam taburan akan "diukur".

"Akhirnya, flat HDB dianggap sebagai bentuk perumahan paling dimampui di Singapura dan ia akan terus menarik kumpulan pembeli yang besar," ujarnya.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita