Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Rumah kecil' rendah karbon disediakan bagi penginapan jangka pendek di Pulau Sekijang Pelepah

Anggaran Waktu Membaca:
'Rumah kecil' rendah karbon disediakan bagi penginapan jangka pendek di Pulau Sekijang Pelepah

(Gambar: Perbadanan Pembangunan Sentosa)

Diterbitkan : 28 Feb 2023 10:05PM Dikemas Kini : 01 Mar 2023 10:46PM
SINGAPURA: Para pengunjung ke Pulau Sekijang Pelepah kini boleh menempah "rumah kecil" mesra alam bagi penginapan jangka pendek, di samping menikmati prasarana dan kegiatan riadah baru.

Demikian diumumkan oleh Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan Alvin Tan semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan pada Selasa (28 Feb).

"Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) akan menjadikan Pulau Sekijang Pelepah sebagai destinasi mesra alam sepanjang tiga tahun akan datang di mana pengunjung dapat menikmati daya tarikan semulajadinya tanpa menjejas biodiversiti dan persekitarannya," kata Encik Tan.

Penginapan tersebut, yang merupakan yang pertama seumpamanya dibina di Pulau Sekijang Pelepahbagi penginapan tempoh pendek, mempunyai lima unit berasingan seluas 150 kaki persegi dan 170 kaki persegi setiap satu, kata SDC dalam satu kenyataan media yang berasingan.

Dipanggil Tiny Away Escape @ Lazarus Island, unit-unit tersebut akan dikendalikan oleh firma tempatan Big Tiny, syarikat pertama di Singapura yang menyepadukan pelancongan mesra alam dengan konsep "rumah kecil" - sebuah gerakan antarabangsa yang menyokong penginapan dalam rumah kecil dan mesra alam.

Firma tersebut membawa gerakan itu ke tahap seterusnya dengan mereka bentuk rumah-rumah kecil beroda dan menempatkannya dalam kawasan luar bandar, berlatarbelakangkan pemandangan indah.

Rumah-rumah sewa sedemikian sudah terdapat di lapan negara setakat ini, termasuk di Australia dan Itali.

Unit di Pulau Sekijang Pelepah pula, merupakan penampilan pertama firma itu dalam pasaran di Singapura dan akan dibuka untuk tempahan dari April tahun ini.

PENGINAPAN MESRA ALAM

Ketua Pegawai Eksekutif SDC Thien Kwee Eng berkata penginapan baru di Pulau Sekijang Pelepah memanfaatkan idea-idea inovasi dan mampan bagi membenarkan tetamunya untuk mengurangkan jejak karbon.

Unit tersebut akan menggunakan bahan binaan yang mampan, dihasilkan daripada serat kayu dan plastik yang dikitar semula.

Rumah-rumah kecil itu dikuasai tenaga suria dan dilengkapi dengan sistem mengitar sisa makanan.

Menjawab pertanyaan media, SDC menyatakan setiap unit akan dilengkapi dengan bekalan air yang selamat diminum.

Tetamu boleh membuat tempahan bagi makanan tambahan sebaik saja tempahan mereka disahkan. Sebagai alternatif, mereka juga boleh memilih untuk menyediakan makanan di dapur kecil dalam setiap unit, menggunakan ketuhar gelombang mikro dan perkakas yang disediakan, jelas Pengarah Projek Khas SDC Tan Siok Kheng.

Pelancaran penginapan mesra alam itu adalah yang pertama dalam satu siri inisiatif baru yang diusahakan SDC bagi Pulau Sekijang Pelepah dan pulau-pulau selatan Singapura.

Kemudahan dan kegiatan lain yang disediakan termasuk kedai serbaneka, pengalaman glamping semalaman dan aktiviti air tidak bermotor, yang akan dilancarkan secara bertahap-tahap sekitar Jun.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan