Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) pindah ke Pasir Ris pada Jun 2020

Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) bakal berpindah ke sebuah premis baru di kawasan Pasir Ris pada Jun 2020.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) bakal berpindah ke sebuah premis baru di kawasan Pasir Ris pada Jun 2020.

Pengumuman itu dibuat semasa satu jamuan tengahari yang dianjurkan bersempena sambutan ulang tahun RKM ke-30 pada Sabtu (23 Nov) yang dihadiri Presiden Halimah Yacob.

Ini menjadikannya kali kedua dalam tempoh 30 tahun RKM 'berpindah rumah'. Tempoh pajakan bagi bangunannya di Bedok North St 3 sekarangini akan tamat, setelah bertempat di situ selama 10 tahun. Sebelum itu, RKM bertapak selama 21 tahun di Mountbatten Road.

'RUMAH BARU' BERTUJUAN MEMUPUK SEMANGAT KEKELUARGAAN SESAMA PENGHUNI

RKM akan menggunakan sebuah bangunan sedia ada di 101 Elias Road sebagai premis barunya nanti. Ia boleh menempatkan sekitar 70 penghuni.
Meskipun bangunan baru itu memuatkan jumlah penghuni yang kecil sedikit, ia lengkap dengan pelbagai kemudahan riadah seperti gelanggang futsal, ruang kaunseling, galeri seni, taman terapi dan hab-hab pembelajaran.

(Gambar: RKM)

Mengalu-alukan pemindahan RKM ke premis barunya itu, Presiden Halimah menekankan bahawa ia merupakan satu peluang untuk badan itu membina asas-asasnya agar menjadi lebih besar.

Beliau gembira bahawa bangunan baru RKM juga bakal dilengkapi dengan teknologi baru yang boleh meningkatkan kecekapan operasi, keselamatan serta khidmat yang lebih bermutu.

Dalam ulasannya, Presiden Muhammadiyah, Ustaz Muhd Azri Azman, akur bahawa pemindahan RKM ke tapak baru itu juga memberi peluang untuknya menerapkan elemen-elemen baru dalam model penjagaan penghuninya.

"Salah satu perubahan yang akan berlaku adalah cara pengendalian penghuni. Iaitu mereka dahulunya tinggal secara berkelompok. Tapi kali ini mereka akan tinggal seunit sebagai sebuah keluarga. Jadi saya lihat satu peningkatan dan perubahan yang baik buat operasi dan pembaikan RKM," kata Ustaz Azri, yang mula memimpin Muhammadiyah Singapura sejak awal tahun ini.

MELIHAT BEKAS PENGHUNI BERJAYA DALAM HIDUP, ADALAH PENGIKTIRAFAN TERTINGGI BUAT USTAZ HUSSAIN

Atas jasanya yang tidak pernah kenal erti penat, satu pengiktirafan khas dipanggil Anugerah Penghormatan Penghargaan Sepanjang Hayat turut diberikan kepada mantan Presiden Persatuan Muhammadiyah Singapura iaitu Ustaz Shaik Hussain Shaik Yacob.

Pelancaran logo ulang tahun ke-30 Rumah Kebajikan Muhammadiyah. (Gambar: Fyrol/MCI) 

Pelopor RKM sejak dari hari pertama lagi ia dimulakan pada tahun 1989, Ustaz Hussain banyak berjasa dalam dalam membantu belia-belia berisiko.

Bagi beliau sendiri, 'pengiktirafan' yang cukup mendalam bagi dirinya adalah apabila melihat anak-anak bekas jagaannya, berjaya dalam hidup.

"Ada yang dah kahwin, sudah dapat cahaya mata. Mereka jumpa saya di tengah jalan, mereka tegur sapa, kenalkan anak mereka, isteri mereka. Ada sebagai pegawai di luar, layan saya dengan sebaik-baiknya.

"Jadi bila saya tanya, mereka semua bekas penghuni RKM. Jadi ini yang betul-betul terkesan dalam hati saya," jelas Ustaz Hussain, tokoh veteran dalam landskap pertubuhan Melayu/Islam tempatan.

RKM menyatakan, ia akan melakukan lebih banyak lagi usaha untuk mendekati masyarakat agar lebih mengenali pelbagai usaha rumah kebajikan itu, selain mengalu-alukan "segala macam sumbangan" dari masyarakat.

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan