Skip to main content

Singapura

Rumah jagaan gunakan inovasi baharu, jaga warga emas dengan lebih baik

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Aug 2023 07:55PM Dikemas Kini : 18 Aug 2023 10:20PM

SINGAPURA: Daripada robot yang menghantar cadar, kepada cermin mata canggih yang membolehkan jururawat menyampaikan apa yang dilihat.

Rumah-rumah jagaan warga tua di Singapura giat memanfaatkan teknologi baharu.

Inovasi baharu itu dapat menjimatkan masa penjaga, membolehkan mereka untuk memberi lebih tumpuan kepada warga emas di bawah jagaan mereka.

Penolong baharu itu sudah mula melakukan rondaan di rumah jagaan NTUC Health.

Ia tidak mudah penat dan boleh mengangkat barang seberat 180 kg.

Dirintiskan di cawangannya di Chai Chee, robot pandu sendiri ini mampu membantu rumah jagaan ini menjimatkan masa lebih 4,000 jam tahun lalu.

NTUC Health berharap dapat melancarkan robot-robot itu sepenuhnya di lebih banyak cawangan menjelang tahun 2024.

Tanpanya, jururawat perlu mengangkat lebih 70 beg berisi cadar kotor dan bersih ke lebih tujuh tingkat wad jagaan setiap hari.

Di Rumah Jagaan Ren Ci yang terletak di Ang Mo Kio pula, teknologi 'geofencing' dapat mengesan warga emas yang menghidap demensia sekiranya mereka sesat dalam bangunan sebesar sepuluh tingkat ini.

Menggunakan sistem yang sama, pekerja dapat mencari warga emas yang berkeliaran dalam masa 10 minit.

Ini dibandingkan dengan tempoh dua jam tanpa teknologi baharu itu.

Pembaharuan teknologi juga membolehkan jururawat untuk menyediakan jagaan perubatan yang lebih baik lagi.

Selain itu, rumah jagaan Ren Ci itu juga sedang merintiskan penggunaan cermin mata canggih bagi jururawat.

Apabila jururawat datang ke rumah warga emas, mereka kadang kala perlu menawarkan khidmat perubatan seperti membersihkan luka.

Kadang kala, mereka juga perlu berunding dengan jururawat yang lebih berpengalaman untuk mendapatkan bantuan.

Mereka melakukan ini dengan menghantar gambar menerusi aplikasi mesej.

Dengan menggunakan cermin mata canggih itu, jururawat dapat menyampaikan apa yang mereka lihat kepada pakar perubatan yang lebih berpengalaman.

Mereka juga boleh mendapatkan nasihat dalam masa sebenar mengenai apa yang perlu dilakukan.

Buat masa ini, kebanyakan teknologi yang dihasilkan untuk warga emas perlu diimport dari luar negara dan mahal harganya.

Namun, seorang pakar berpendapat, jumlah perniagaan tempatan yang menghasilkan teknologi untuk golongan warga emas akan berkembang.

Dr James Kah daripada Kolej Reka Bentuk & Kejuruteraan di NUS berkata: "dengan lebih ramai orang dilatih dan mereka lebih sedar tentang cabaran dan apabila saiz pasaran berkembang, mereka pasti boleh menjangkakan lebih banyak syarikat untuk masuk bidang ini. Lebih banyak syarikat akan mula meneroka pelbagai bidang perkembangan teknologi untuk menangani jurang dalam "ekonomi perak" ini."

Menurut Dr Kah, beberapa trend akan datang dalam teknologi jagaan warga emas termasuk aplikasi untuk menangani pengasingan sosial dan kemurungan, dan juga teknologi yang membolehkan senaman dilakukan.

Sumber : CNA/IA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita