Skip to main content

Singapura

Rumah api SG berdepan masa depan tidak menentu dek pembangunan pantai

Anggaran Waktu Membaca:
Rumah api SG berdepan masa depan tidak menentu dek pembangunan pantai

Eksekutif teknikal Sahroni Omar dan penjaga rumah api Ithnin Atan di Rumah Api Sultan Shoal 18 Mei 2026. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)

Diterbitkan : 02 Jun 2026 08:18AM Dikemas Kini : 02 Jun 2026 09:13AM
SINGAPURA: Setiap kali Encik Ithnin Atan memanjat ke bilik lantera di Rumah Api Sultan Shoal, beliau akan memeriksa perkara yang sama: kanta, bateri, dan panel kaca yang menghadap ke Selat Singapura.

Ia adalah rutin yang diulanginya selama bertahun-tahun. Namun, rumah api yang dijaganya itu mungkin tidak akan berdiri di lokasi tersebut untuk tempoh yang lama lagi.

Apabila siap kelak, Pelabuhan Tuas dijangka akan menghadang pandangan Rumah Api Sultan Shoal dari arah laut. Di hujung timur Singapura pula, pembangunan Long Island akan menolak garis pantai menjauhi Rumah Api Bedok, sekali gus menyebabkannya tidak lagi berada di pinggir laut.

Selain Sultan Shoal dan Bedok, Singapura mempunyai tiga lagi rumah api: Rumah Api Pulau Pisang di luar hujung barat daya semenanjung Johor, Rumah Api Horsburgh di Pedra Branca, dan Rumah Api Raffles di Pulau Satumu, iaitu pulau paling selatan di Singapura.

Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) menyatakan bahawa ia tiada rancangan untuk memindahkan Rumah Api Sultan Shoal mahupun Bedok. Sekalipun demikian, pakar maritim memberitahu Mediacorp bahawa skala pembangunan yang besar berkemungkinan membawa beberapa perubahan – terutamanya bagi Sultan Shoal.

"Sultan Shoal secara tradisinya mengawal hujung barat Singapura dan memberi amaran kepada kapal-kapal tentang kawasan beting pasir di mana ia dibina," kata Encik Robert Spearing, pengurus kanan dan nakhoda kapal di firma undang-undang maritim global HFW.

Memandangkan kerja penambakan tanah secara langsung telah mengambil alih fungsi asal rumah api tersebut, ia berkemungkinan besar perlu dipindahkan ke kedudukan baru, katanya.

Rumah Api Sultan Shoal kini diapit oleh fasa kedua dan ketiga Pelabuhan Tuas, manakala fasa keempat - yang kini sedang ditambak - dijangka akan menceroboh lebih jauh ke dalam kawasannya.
Related article image
Grafik CNA. (Sumber: Google Maps)
Walaupun pemindahan rumah api tidak sentiasa diperlukan jika bantuan navigasi masih boleh dikekalkan, ia mungkin perlu dilakukan sekiranya infrastruktur baru menyekat jarak penglihatan secara ketara atau menjejaskan keselamatan trafik maritim, kata Encik Daniel Tan, pengurus di firma kejuruteraan marin BroadTech Engineering.

"Sebaik sahaja Pelabuhan Tuas beroperasi sepenuhnya, kaitan operasi dan kejelasan visual Rumah Api Sultan Shoal dari laluan pendekatan laut boleh berubah dengan ketara," katanya.

Rumah Api Sultan Shoal juga menempatkan salah satu stesen radar Sistem Maklumat Trafik Kapal (VTIS) milik MPA, yang memantau trafik di Selat Singapura, kata Encik Spearing. Penambakan tanah di sekelilingnya boleh menyebabkan radar tersebut kurang cekap sebaik sahaja infrastruktur baharu dibina di atas tanah tambak itu, tambahnya.

"Memindahkan kedudukan lampu ke sudut barat daya tanah tambak adalah langkah yang sangat masuk akal, kerana ia akan kembali menjadi pelindung bagi laluan Selat tersebut, memberikan pelaut pandangan yang jelas terhadap lampu dan memberikan radar VTIS imbasan yang lancar tanpa halangan," kata Encik Spearing.

Sempena menyambut ulang tahunnya yang ke-30, MPA telah melancarkan satu lawatan baharu untuk orang awam dan sekolah-sekolah ke Rumah Api Sultan Shoal, yang dibina pada tahun 1895.

RUMAH API DI ATAS KONDOMINIUM

Di seberang pulau, Rumah Api Bedok turut berdepan dengan ketidakpastian tersendiri.

Lokasinya yang unik di atas sebuah blok 25 tingkat – iaitu kondominium Lagoon View di sepanjang Marine Parade Road – bermakna ada kemungkinan ia tidak akan terjejas oleh projek Long Island, kata para pakar.
Related article image
Pemandangan dari Rumah Api Sultan Shoal, menunjukkan fasa ketiga Pelabuhan Tuas yang sedang dibangunkan di sebelah kiri dan fasa kedua yang sedang beroperasi di sebelah kanan. (Gambar: CNA/Fabian Koh)
"Saya faham ketinggian lampu itu adalah 76 meter," kata Encik Spearing, sambil menambah bahawa ia akan terus berfungsi dengan baik melainkan jika ada bangunan yang lebih tinggi dirancang di atas tapak tanah tambak tersebut.

Diumumkan pada tahun 2023, projek Long Island akan menyediakan ruang tambahan untuk keperluan pembangunan masa hadapan, dengan potensi kawasan seluas lebih 800 hektar tanah untuk ditambak – kira-kira dua kali ganda saiz Marina Bay.

Projek Long Island secara langsung akan beralih garis pantai lebih jauh ke arah laut dari Rumah Api Bedok, kata Encik Tan.

"Ini bermakna rumah api tersebut akhirnya mungkin menjadi sebuah rumah api di kawasan pedalaman, dan bukannya struktur di pinggir pantai dalam erti kata tradisional," kata beliau.

Pemindahannya akan bergantung kepada sama ada kapal-kapal yang menghampiri masih boleh melihat lampu tersebut dari jauh dan juga pada pembangunan sekunder masa hadapan di atas tanah berkenaan, tambahnya.

"Walaupun penambakan awal tidak menghalang rumah api itu, infrastruktur tinggi, jambatan, struktur perlindungan pantai, atau kemudahan berkaitan pelabuhan pada masa hadapan boleh menjejaskan sektor penglihatan secara beransur-ansur dari semasa ke semasa," kata Encik Tan.
Related article image
Waktu malam menjelang di Rumah Api Bedok, sebuah tanda tempat navigasi yang boleh dilihat dari East Coast Park pada 29 Mei 2026. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
PASTIKAN LAMPU TERUS MENYALA

Walau apa pun lokasi masa depan mereka, rumah-rumah api di Singapura ini masih perlu dijaga – dan tugas itu digalas oleh empat orang penjaga yang menyelenggara kesemua lima rumah api tersebut.

Di sebalik kemajuan dalam sistem satelit navigasi global dan carta elektronik, rumah api tetap relevan sebagai "titik rujukan yang dipercayai, boleh dilihat, dan bebas", kata timbalan pengarah MPA untuk bantuan navigasi, Aw Eng Soon.

"Sistem moden ini tidak kalis daripada kesilapan. Ia boleh dipintas atau diganggu. Oleh itu, rumah api menawarkan sumber yang dipercayai dan boleh disahkan kepada pelaut, iaitu titik rujukan untuk mereka menandakan kedudukan mereka," katanya.

Sesetengah kapal juga kekurangan teknologi baharu dan bergantung kepada rumah api sebagai titik rujukan utama di laut, tambah Encik Aw.

Rumah api hari ini adalah lebih maju – dikuasakan oleh tenaga suria dan dilengkapi dengan lampu LED, dengan fungsi automasi serta dipantau dari jauh. Namun, kerja-kerja penyenggaraan fizikal tidak boleh digantikan dengan automasi.

"Kami masih memerlukan tenaga kerja manusia untuk pergi dan melakukan pemeriksaan fizikal, penyelenggaraan, dan juga kerja mengecat serta membaiki rumah api atau termasuk juga kerja-kerja landskap tumbuhan," kata Encik Aw.
Related article image
Grafik kawasan tanah tambak seluas 800 hektar Long Island di luar East Coast boleh dibahagikan kepada tiga segmen untuk kegunaan komersial dan kediaman; aktiviti rekreasi; dan cita-cita hab Changi, menurut seorang pakar. (Gambar: CNA/Rafa Estrada)
Bagi Encik Ithnin, 60 tahun, tugas tersebut memerlukan kekuatan fizikal dan tiada henti – memeriksa kanta, bateri dan panel kaca, menyelenggara peralatan elektrik, memotong rumput serta mencantas pokok, semuanya sambil mengharungi ribut petir atau bahang panas seperti rumah hijau di dalam bilik lantera.

Bagi Encik Sahroni Omar, salah seorang penjaga yang paling lama berkhidmat sebelum berpindah ke jawatan eksekutif teknikal tahun lalu, perkara yang paling sukar adalah hidup dalam keadaan terasing.

"Merindui keluarga saya, itulah cabaran terbesar," kata lelaki berusia 45 tahun itu, yang meluangkan masa sedekad dalam jawatan berkenaan.

Tugasan ke Rumah Api Pulau Pisang biasanya berlangsung selama 10 hari bagi setiap giliran. Selepas itu, melalui jadual penggiliran, penjaga akan menghabiskan masa 10 hari kembali di tanah besar, di mana mereka akan memeriksa rumah-rumah api yang lebih dekat.
Related article image
Eksekutif teknikal Sahroni Omar dan penjaga rumah api Ithnin Atan di Rumah Api Sultan Shoal pada 18 Mei 2026. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)
Proses pembelajaran berlaku semasa bertugas. "Kali pertama saya ditugaskan ke rumah api, saya belajar di bawah bimbingan salah seorang senior saya," kata Encik Sahroni. "Di situlah saya belajar apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan, serta semua kerja amali. Dari situ, saya berkongsi dengan orang baru apa yang telah saya pelajari."

Berada jauh dari tanah besar, rumah-rumah api ini telah memberikan detik-detik berharga kepada kedua-dua lelaki ini. Encik Sahroni pernah melihat ikan lumba-lumba dan penyu laut. Encik Ithnin pula sentiasa kagum dengan keindahan langit malam semasa bertugas.

"Saya tidak pernah melihat begitu banyak bintang dalam hidup saya," katanya.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita