Skip to main content

Singapura

Ruang solat sementara dekat Masjid Al-Istighfar; program pembangunan baharu untuk asatizah

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Apr 2026 08:20PM Dikemas Kini : 26 Apr 2026 07:02PM
SINGAPURA: Sebuah tapak ruang solat sementara akan dibangunkan dekat Masjid Al-Istighfar di Pasir Ris untuk memenuhi keperluan ibadah para penduduk.

Ia akan menyediakan sekitar 500 ruang solat tambahan bagi menampung permintaan yang bertambah daripada para penduduk Pasir Ris dan pekerja di sekitar kawasan Perindustrian Changi dan Loyang.
Ini diumumkan Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim di Majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri 2026 pada Jumaat (10 Apr).

Tapak sementara itu menurutnya dijangka siap pada suku keempat tahun ini.

Tapak itu juga akan terus beroperasi sehingga masjid baharu di Tampines North dijangka siap pada 2029.

"Sedang kita menunggu masjid baharu untuk dibina, saya gembira untuk mengumumkan bahawa kita akan membangunkan satu tapak solat sementara baharu berdekatan Masjid Al-Istighfar. Permintaan itu diutarakan semasa lawatan saya ke masjid itu. Kami akan menyokong permintaan masyarakat dan memastikan bahawa semua orang mempunyai ruang yang selamat dan selesa untuk menunaikan solat," ujar Dr Faishal.

Pembinaan masjid itu pula dijangka bermula pada tahun depan.
Dr Faishal juga mendedahkan bahawa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Masjid Darul Ghufran telah melakukan beberapa sesi pendampingan masyarakat untuk mendapatkan idea rekaan bagi masjid baharu di Tampines North.

"Ramai antara anda telah membangkitkan keperluan agar kemudahan masjid dapat memenuhi segmen utama masyarakat, seperti keluarga muda dan penduduk warga emas. Kami akan memasukkan cadangan-cadangan ini dalam pembangunan masjid baharu, dan akan mendedahkan reka bentuk masjid tersebut dalam satu pameran reka bentuk pada akhir tahun ini," ujar beliau.

Selain masjid di Tampines North, Dr Faishal turut berkongsi rancangan untuk masjid baharu di Tengah yang dijangka siap pada awal 2030-an.

Dr Faishal berkata: "Kami juga sedang membuat kemajuan dalam pembangunan masjid baharu di Tengah. MUIS dan jawatankuasa masjid akan memulakan sesi libat urus bersama masyarakat dalam beberapa bulan akan datang, dan akan turut diadakan pertandingan reka bentuk bagi masjid baharu tersebut. Saya mengalu-alukan anggota masyarakat untuk berkongsi idea tentang bagaimana masjid ini dapat memenuhi keperluan anda dengan lebih baik, termasuk cara untuk memelihara warisan yang kaya Masjid Al-Firdaus."

MASJID AR-RAUDHAH AKAN JALANI KERJA PENINGKATAN

Dalam ucapannya di Majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri 2026, Dr Faishal juga mendedahkan bahawa Masjid Ar-Raudhah di Bukit Batok, yang dibangunkan pada 1993, akan menjalani kerja-kerja naik taraf.
 
Related article image
(Gambar: Facebook/Masjid Ar-Raudhah)
Dr Faishal berkata: "Masjid Ar-Raudhah akan menjalani kerja-kerja naik taraf sepanjang dua tahun akan datang untuk memperbaharui masjid tersebut, mengoptimumkan ruang solat sedia ada, serta menambah baik kemudahan dan ciri akses bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat."

"Kerja-kerja pembinaan akan bermula pada suku ketiga 2026, dan kami sedang berusaha untuk mendapatkan tapak solat sementara bagi mengurangkan gangguan kepada jemaah. Saya merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan kami di MUIS atas kerja keras dan pencapaian mereka," tambah beliau.

Kerja-kerja naik taraf Masjid Ar-Raudhah dijangka selesai pada 2028. MUIS juga meneroka kemungkinan mengadakan tapak ruang solat sementara bagi memenuhi keperluan ibadah jemaah.

PROGRAM PEMBANGUNAN BAHARU UNTUK GOLONGAN ASATIZAH

Dr Faishal turut mengumumkan satu program pembangunan kepimpinan yang baharu sebagai usaha menyokong golongan asatizah.

Menurut beliau, selain membangunkan masjid-masjid baharu dan menyediakan kawasan sementara untuk para jemaah, memupuk generasi pemimpin agama seterusnya juga merupakan langkah untuk memperkukuh kehidupan keagamaan masyarakat

Program tersebut dibangunkan khas untuk golongan asatizah Tahap 1 di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) iaitu mereka yang mempunyai ijazah dalam pengajian Islam.

"Inisiatif ini akan membolehkan para asatizah kita bukan sahaja membina keilmuan agama yang mendalam, tetapi juga membangunkan kemahiran organisasi yang kukuh, keupayaan penglibatan masyarakat serta kualiti kepimpinan yang adaptif untuk menangani cabaran semasa," ujar Dr Faishal.

Beliau menambah: "Saya menggalak para pelajar madrasah kita dan para asatizah untuk mengejar aspirasi anda dengan yakin, meraih manfaat daripada peluang-peluang yang ada untuk memperluaskan pandangan anda, dan menyumbang kepada masyarakat dalam pelbagai cara."

Semasa berucap di hadapan lebih 500 hadirin di Majlis Perjumpaan Hari Raya bersama Menteri, Dr Faishal menukil kisah seorang asatizah muda, Ustaz Muhammad Zulkarnain Azman yang menggunakan kemahirannya di dalam sektor-sektor berlainan, termasuk khidmat awam.

Menurut Dr Faishal, Ustaz Zulkarnain kini menyandang jawatan di Kementerian Budaya, Masyarakat & Belia (MCCY) untuk melakarkan dasar-dasar yang menyokong masyarakat Islam.

Latar belakang beliau dalam pengajian Islam membolehkan beliau memberikan pandangan bernilai tentang kehidupan keagamaan masyarakat Islam tempatan.

Dr Faishal berkata: "Kita ingin terus membangunkan keupayaan para asatizah seperti Ustaz Zulkarnain sepanjang kerjaya mereka, menyediakan mereka dengan kemahiran dan pendedahan untuk menyumbang merentasi sektor keagamaan. Ini bukan sahaja akan mewujudkan peluang pekerjaan lebih luas untuk para asatizah kita, bahkan membawa kesan lebih besar kepada masyarakat lebih luas."

MUIS akan berkongsi lebih banyak maklumat mengenai inisiatif itu dalam masa terdekat.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita