Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ruang solat Jumaat dianggar meningkat sekitar 60% dengan pelonggaran langkah pengurusan selamat kelak

Ruang bagi solat Jumaat dianggarkan akan meningkat sekitar 60 peratus apabila langkah-langkah pengurusan selamat dilonggarkan kelak.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ruang bagi solat Jumaat dianggarkan akan meningkat sekitar 60 peratus apabila langkah-langkah pengurusan selamat dilonggarkan kelak.

Meskipun belum ada tarikh yang ditetapkan, pelonggaran itu akan membolehkan sekitar 100,000 jemaah menunaikan ibadah dan turut serta dalam kegiatan di masjid setiap minggu.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen hari ini (1 Mac).

Encik Masagos menjawab soalan yang dibangkitkan Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang Zhulkarnain Abdul Rahim tentang bagaimana langkah-langkah pengurusan selamat yang dikemas kini akan memberi kesan kepada kegiatan keagamaan menjelang bulan Ramadan yang bakal menjelang.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), kata Encik Masagos, sedang bekerja rapat dengan masjid-masjid untuk membuat persiapan bagi melaksanakan langkah-langkah pengurusan selamat yang bakal dilonggarkan itu.

HARAPAN KELONGGARAN DAPAT DILAKSANAKAN JELANG RAMADAN

MUIS juga melahirkan harapan agar keadaan COVID-19 akan bertambah baik supaya pelonggaran langkah-langkah pengurusan selamat itu dapat dilaksanakan menjelang bulan Ramadan, yang dijangka bermula 3 April ini.

MUIS turut berterima kasih kepada masyarakat atas kerjasama dan kesabaran mereka.

Namun, masyarakat juga digesa supaya terus kekal berwaspada sedang masyarakat kini beralih ke fasa selanjutnya dalam menangani pandemik COVID-19.

Sebelum ini, para jemaah dijangkakan sudah boleh merapatkan saf-saf solat berjemaah bermula 25 Februari lalu.

Namun pelaksanaan itu terpaksa ditarik balik sehari sebelum pelonggaran itu dijadual dilaksanakan selepas Kementerian Kesihatan (MOH) mengeluarkan satu kenyataan bahawa pelaksanaan langkah-langkah pengurusan selamat yang dilonggarkan perlu ditangguhkan dahulu.

Ini memandangkan "bilangan kes harian COVID-19 melonjak tinggi sekarang ini".

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan