Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ruang solat Aidilfitri ditambah, VDS ditiadakan di 16 masjid

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih banyak ruang solat bagi solat Hari Raya Aidilfitri akan disediakan dengan pelonggaran tambahan pada langkah-langkah pengurusan selamat yang baru diumumkan. 

Sebanyak 206,000 ruang solat akan disediakan. 

Jumlah itu kira-kira 30 peratus lebih tinggi berbanding jumlah asal yang diumumkan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sebelum ini. 

Pada Jumaat lalu (22 April), MUIS mengumumkan bahawa 153,250 ruang solat disediakan. 

TIADA VDS DI 16 MASJID 

Penambahan jumlah itu disebabkan oleh pemansuhan langkah-langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi (VDS) di 16 masjid berkuat kuasa hari ini (26 April). Ini bagi solat-solat jemaah termasuk solat fardu, solat tarawih, solat Jumaat dan solat Hari Raya. 

Langkah tersebut sejajar dengan pelonggaran tambahan bagi langkah-langkah pengurusan selamat bagi Kegiatan Keagamaan. 

Enam belas masjid itu adalah: 

Kelompok Timur
1.   Masjid Abdul Aleem Siddique
2.   Masjid Sallim Mattar
3.   Masjid Wak Tanjong
Kelompok Utara 
4.   Masjid Abdul Hamid (Kg Pasiran)
5.   Masjid Haji Yusoff 
Kelompok Selatan 
6.   Masjid Al-Abrar
7.   Masjid Haji Muhammad Salleh (Palmer)
8.   Masjid Hajjah Fatimah
9.   Masjid Jamek Queenstown
10. Masjid Kampong Delta
11. Masjid Moulana Mohd Ali
12. Masjid Omar Kampong Melaka
13. Masjid Tasek Utara
14. Masjid Temenggong
Kelompok Barat
15. Masjid Al-Huda 
16. Masjid Hussein Sulaiman

Bagi masjid-masjid lain yang tidak tertera dalam senarai di atas, VDS masih dilaksanakan bagi solat Isyak dan Tarawih, solat Jumaat dan solat Hari Raya. 

Pelaksanaan VDS bagaimanapun dikecualikan bagi solat jemaah untuk solat fardu yang lain di masjid-masjid itu. 

Bagi mereka yang belum divaksin, mereka dikecualikan daripada VDS jika mereka mempunyai alasan perubatan (dokumen diperlukan), pulih daripada COVID-19 dalam tempoh 180 hari dan berusia 12 tahun dan ke bawah. 

Orang ramai boleh mula menempah slot bagi solat Hari Raya Aidilfitri pada Khamis, 28 April jam 10.00 pagi menerusi aplikasi Muslim.sg atau lelaman ourmosque.sg/commonspaces.

MASJID BUAT PERSIAPAN, JEMAAH BOLEH JANGKAKAN KEADAAN LEBIH TERATUR 

Dalam pada itu, pihak masjid kini sibuk membuat persiapan bagi menyambut lebih ramai jemaah pada pagi Syawal nanti. 

"Kami pastikan ruang solat akan dibersihkan, akan dijamin berkenaan tentang untuk menyahkan kuman-kuman tersebut dan juga supaya para Jemaah akan merasakan keselesaan, ketenangan dan akan dapat khusyuk dalam beribadah di masjid kita dan apabila mereka sudah membuat tempahan ini, mereka akan dapat kepastian bahawa ruang atau tempat solat mereka terjamin dan mereka akan berasa tenang dan lapang," kata Pengerusi Eksekutif Masjid Yusof Ishak, Khalid Shukur. 

Meskipun tiada lagi VDS dikenakan di 16 masjid, tempahan masih dikenakan demi kemaslahatan para jemaah. 

Menurut Encik Khalid, pihak masjid boleh menyediakan khidmat yang lebih baik lagi buat para jemaah pada pagi Aidilfitri nanti dengan sistem tempahan dilaksanakan. 

"Pengalaman sebelum COVID, masjid-masjid biasanya sesak dengan para Jemaah kerana mereka inginkan solat pada waktu tertentu, pada waktu yang mereka inginkan dan oleh kerana keterbatasan ruang inilah kita hadapi di masjid-masjid di mana kita harus menanggung dan menangani masalah 'overcrowding' dan kesesakan di masjid pada waktu itu dan saya rasa dengan pengalaman COVID, mereka sudah terbiasa,"

"Mereka sudah tahu amalan, sudah tahu untuk menempah supaya mereka dapat tempahan untuk solat di masjid, jadi ini satu rahmah saya lihat , sebagai satu perkara di mana kita sama-sama menunjukkan bersama untuk mendirikan solat pertama ataupun solat kedua. Jadi ini akan melicinkan lagi operasi dan pergerakan para Jemaah di masjid," jelas Encik Khalid. 

Di samping itu, Timbalan Mufti Ustaz Mohd Murat Md Aris mengingatkan para jemaah yang akan melaksanakan solat Aidilfitri secara berjemaah di masjid kelak supaya mengekalkan tahap disiplin yang mereka pamerkan sepanjang pandemik ini demi kemaslahatan semua. 

"Kita juga tidak seharusnya lupa disiplin kita datang ke masjid dalam keadaan bersih, dah ada wuduk, bawa sejadah masing-masing untuk jaga keselamatan kita dan kita tahu bahawa adalah penting untuk kita sedar untuk kita rasa selamat, semua mesti rasa selamat. Kalau kita mahu sihat, semua mesti sihat. Ia bukan sahaja menjadi bekalan untuk kita hadapi ujian-ujian di hari muka bahkan sebahagiannya adalah baik bagi kita kerana ia adalah perubahan yang kita buat untuk memperbaiki sikap-sikap buruk kita lakukan hatta sebelum pandemik," tegas Ustaz Mohd Murat.  

Bagi mereka yang tidak berjaya mendapat slot dalam tempahan bagi solat Hari Raya Aidilfitri, beliau juga menasihatkan mereka agar jangan bersusah hati. 

"Mereka tidak perlu berasa bimbang, tidak perlu berasa kurang selesa dan sebagainya kerana solat hari raya boleh sahaja dilakukan sendiri di rumah ataupun berjemaah dengan keluarga, pahalanya sama sahaja. Dalam keadaan situasi tersebut, pengorbanan mereka adalah sesuatu yang diambil kira dalam agama. Mereka mendapat ganjaran pahalanya insya-Allah dan mereka lakukan ibadah, ganjaran mereka sama sahaja dengan mereka yang laksanakan di masjid insya-Allah," terang Ustaz Mohd Aris. 

Dengan langkah-langkah demikian, para jemaah boleh menjangkakan keadaan yang lebih teratur apabila menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri di masjid kelak. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan