Skip to main content

Singapura

Ruang solat Aidiladha di lokasi selain masjid naik 10 peratus berbanding tahun lalu

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 May 2026 07:36PM Dikemas Kini : 31 May 2026 03:03PM
  • MUIS dan kumpulan Qaryah menyediakan 20,300 ruang solat di 44 lokasi untuk Aidiladha, meningkat hampir 10 peratus berbanding tahun lalu.
  • Langkah ini bertujuan memudahkan jemaah, khususnya warga emas dan mereka yang memerlukan akses lebih dekat ke ruang solat.
  • Selain itu, sekitar 240,000 ruang solat disediakan di masjid seluruh Singapura pada 27 Mei, termasuk untuk Muslimah.
  • Tempahan hanya diperlukan untuk sesi pertama di Masjid Darul Ghufran, manakala sesi lain terbuka tanpa tempahan dan maklumat lanjut boleh didapati di laman rasmi MUIS.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Sebanyak 20,300 ruang solat akan disediakan di 44 lokasi oleh kumpulan Qaryah bagi solat Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Jumlah itu hampir 10 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu.

Demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada Rabu (20 Mei).

"Lokasi-lokasi tambahan ini akan memberi kemudahan khususnya kepada jemaah warga emas dan mereka yang mempunyai keperluan pergerakan, dengan menyediakan akses lebih mudah kepada ruang solat yang lebih dekat dengan tempat tinggal mereka," nyata MUIS dalam kenyataannya.

Tahun lalu, hanya 36 lokasi yang dikendalikan oleh kumpulan-kumpulan Qaryah menyediakan ruang solat tambahan.

240,000 RUANG SOLAT DI MASJID-MASJID, HANYA SESI PERTAMA DI MASJID DARUL GHUFRAN PERLU TEMPAHAN

Selain daripada lokasi-lokasi tersebut, umat Islam tempatan boleh menunaikan solat Aidiladha di masjid-masjid merata negara yang menyediakan sekitar 240,000 ruang solat pada 27 Mei ini.

Ruang solat untuk para jemaah Muslimah juga disediakan.

Sehingga tiga sesi solat sunat Aidiladha akan diadakan di masjid-masjid merata negara.

Tempahan tidak diperlukan kecuali bagi sesi pertama di Masjid Darul Ghufran.

Para jemaah yang ingin menunaikan solat pada sesi itu boleh membuat tempahan menerusi laman ini mulai 10 pagi pada Jumaat (22 Mei).

Dalam kenyataannya, MUIS menggalak para jemaah yang ingin menunaikan solat di Masjid Darul Ghufran untuk mempertimbangkan sesi kedua bagi pengalaman yang lebih selesa.

Maklumat lanjut tentang solat Hari Raya Aidiladha 2026 termasuk ruang solat bagi Muslimah boleh didapatkan di go.gov.sg/rayaprayer dan go.gov.sg/rayaprayersupp.
Sumber : BERITA Mediacorp/bk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita