Skip to main content

Singapura

Ruang seni eksperimen baharu dibuka di Kampong Jawa

Anggaran Waktu Membaca:
Ruang seni eksperimen baharu dibuka di Kampong Jawa
Persembahan di Flock. Penggiat seni berkata lokasi baharu ini memberi mereka kebebasan untuk bereksperimen dan membentuk bagaimana ia berkembang. (Gambar: CNA)
SINGAPURA: Sebuah ruang seni eksperimen baharu dibuka di Kampong Jawa selepas setahun menjalani pembangunan semula. Ia menawarkan penggiat seni ruang yang dimampui serta peluang untuk bereksperimen.

Dinamakan Flock, lokasi di 52–56 Kampong Java Road itu merangkumi lima bangunan warisan dua tingkat yang dipulihkan, meliputi tanah seluas 2,659 meter persegi, lengkap dengan sebuah laman terbuka.

Sekitar 40 penggiat seni, pereka dan kumpulan kreatif sudah mula berkarya di ruang tersebut sejak November lalu.

Pameran juga sudah pun berlangsung, memaparkan karya yang menggabungkan ciri-ciri seperti kecerdasan buatan (AI) dan media interaktif.

Agensi kreatif 19SixtyFive, yang menguruskan premis tersebut, menyatakan eksperimen teknologi sedemikian mencerminkan matlamat Flock untuk berfungsi sebagai sebuah “medan uji” kreatif bagi masyarakat seni.

“Kampong Jawa akan berkembang maju jika orang ramai berkumpul dan berfikiran terbuka,” kata Encik Desmond Goh, pengasas bersama jenama tersebut.

“Kami membayangkan ruang ini bukan sekadar tempat penggiat seni datang untuk mengembangkan bakat. Mereka berada di sini untuk berkomunikasi, untuk saling bertukar buah fikiran merentasi pelbagai disiplin seni.”

PEMBANGUNAN SEMULA DAN SEWA

Tender bagi tapak tersebut diberikan kepada 19SixtyFive pada Disember 2024 di bawah pendekatan baharu pemerintah yang memberi penekanan lebih besar kepada mutu konsep yang dicadangkan, dan bukan harga semata-mata.

Agensi itu mereka bentuk ruang berkenaan bagi menggalak kerjasama rentas disiplin, termasuk seni persembahan, sastera dan visual, serta media baharu.

Bagi mengekalkan persekitaran yang mesra untuk penggiat seni dan pengunjung, beberapa dinding dalaman dirobohkan untuk mewujudkan ruang persembahan dan pameran yang lebih luas, manakala unit alat hawa dingin dialihkan semula bagi meningkatkan aliran udara dan pergerakan dalam ruang tersebut.

Beberapa bilik juga menjalani kerja-kerja ubah elok untuk memasang semula wayar elektrik, manakala dindingnya dipasang pelapis kalis bunyi untuk memenuhi keperluan pelbagai bentuk seni.

Sebuah dewan khas untuk audio spatial dan media campuran dijadualkan siap menjelang akhir tahun ini.

Pembangunan semula Flock menelan kos melebihi S$1 juta, kira-kira satu pertiga lebih tinggi daripada unjuran awal.

Beberapa firma menyokong projek tersebut dengan menaja barangan seperti cat, sistem bunyi dan kerja landskap.

Walaupun kosnya tinggi, 19SixtyFive menyatakan penggiat seni ditawarkan kadar sewa sekurang-kurangnya 20 peratus lebih rendah berbanding ruang serupa di daerah pusat Singapura.

Agensi itu juga sedang cuba melaksanakan pajakan yang lebih fleksibel dan model harga alternatif.

“Kami menyewakan pada kadar yang menguntungkan untuk semua penggiat seni. Kami mahu harga rendah kerana kami mahu orang ramai kekal, menghasilkan karya seni mereka dan berkomunikasi dengan artis lain. Kami berharap mereka mendapat inspirasi,” kata Encik Goh.

“Bagi penggiat seni yang tidak mampu menyewa ruang, kami boleh menimbangkan pelbagai jenis pertukaran.

"Contohnya, mereka boleh membantu kami menghasilkan karya seni untuk acara akan datang sebagai pertukaran bagi menggunakan ruang untuk berkarya.”

Bagi menyokong kewangan lokasi tersebut, agensi itu akan menyewakan sebahagian premis untuk acara korporat.

Ia juga akan menganjurkan persembahan, pameran dan konsert berbayar.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita