Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ruang sementara bagi jemaah Masjid Darul Makmur di Sekolah Menengah Northview mungkin dibuka untuk solat Jumaat seawal 5 Mei

Anggaran Waktu Membaca:
Ruang sementara bagi jemaah Masjid Darul Makmur di Sekolah Menengah Northview mungkin dibuka untuk solat Jumaat seawal 5 Mei

Gambar fail: Nurhelmy Hakim

BERITAmediacorp: Ruang solat sementara di Sekolah Menengah Northview mungkin dibuka seawal 5 Mei atau 12 Mei untuk solat Jumaat semasa penutupan Masjid Darul Makmur untuk kerja naik taraf.

Demikian menurut Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Makmur, Izuan M Rais kepada BERITAmediacorp.

Dalam satu catatan di media sosial pada Rabu (26 Apr), Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim mengumumkan bahawa Masjid Darul Makmur diberikan kelulusan secara prinsip untuk menggunakan bekas tapak Sekolah Menengah Northview sebagai dewan solat sementara untuk dua tahun akan datang.

Dewan solat sementara itu akan digunakan bagi solat Jumaat dan solat Hari Raya dalam tempoh tersebut.

"Sebaik sahaja SLA memuktamadkan perjanjian penyewaan dan selepas kami menguruskan insurans, kami boleh mengadakan solat," jelas Encik Izuan.

Penguasa Tanah Singapura (SLA) sedang bekerjasama dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) berkenaan perjanjian penyewaan.

Persiapan kini sedang dilakukan oleh pihak masjid untuk solat Jumaat yang bakal diadakan di bekas dewan Sekolah Menengah Northview mulai bulan hadapan.

"Untuk persiapan kami sudah sediakan tikar dan sejadah untuk dibawa ke sana. Kami akan sediakan kemudahan berwuduk, paip, sistem pembesar suara dan kami juga aturkan pembersihan tempat di sekolah," kata Encik Izuan.

Ruang sementara di sekolah itu yang boleh menampung 300 jemaah hanya dibuka untuk solat Jumaat dan tidak dibuka pada hari-hari lain.

Encik Izuan memberitahu BERITAmediacorp bahawa ruang kecil akan disediakan di Masjid Darul Makmur untuk solat secara individu setiap hari dari 6.00 pagi hingga 8.30 malam, sedang kerja peningkatan dilakukan. Ruang ini boleh menampung sekitar 20 hingga 50 jemaah dalam satu-satu masa.

"Sungguhpun begitu ruang yang diperuntukkan di dalam masjid ini hanya akan dibuka dalam masa sekitar dua minggu apabila keselamatan jemaah sudah dapat dipastikan memandangkan peralatan-peralatan berat sedang dibawa masuk ke dalam pekarangan masjid," kata Encik Izuan.

Ruang itu juga akan berubah-ubah bergantung kepada kerja-kerja naik taraf yang sedang dilakukan.

Dalam catatannya, Dr Faishal juga berkata bahawa para pemimpin akar umbi Nee Soon telah bersetuju untuk menaja separuh daripada kos sewa bulanan tapak itu untuk tempoh dua tahun sehingga kerja naik taraf masjid selesai.

Dalam hal ini, Encik Izuan berharap para jemaah dapat terus menyokong Masjid Darul Makmur dalam usahanya mengumpul lagi S$6 juta hingga S$7 juta untuk tempoh dua tahun akan datang.

Beliau menjelaskan, pihak masjid dengan sokongan penasihat akar umbi akan memastikan program dan ceramah masjid masih diteruskan di kawasan akar umbi itu, misalnya di bawah blok atau kelab masyarakat bagi memenuhi keperluan keagamaan para jemaah.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan