Skip to main content

Singapura

Ruang pejabat baharu di Bishan seluas 200,000 meter persegi; setara Paya Lebar Central

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Jun 2025 01:46PM Dikemas Kini : 27 Jun 2025 12:55AM
SINGAPURA: Pelan untuk membangunkan Bishan menjadi hab perniagaan baharu akan menyaksikan ruang pejabat baharu sekitar 200,000 meter persegi di kawasan itu, kata Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat pada Khamis (26 Jun).

Ia setara dengan Paya Lebar Central, yang buat masa ini merangkumi ruang pejabat yang merangkumi seluruh pembangunan guna campur Paya Lebar Quarter dan SingPost Centre.

Dalam video yang dimuat naik ke Facebook, Encik Chee juga berkata bahawa kerja-kerja binaan bagi pusat penjaja baharu yang disepadukan dengan pusat pertukaran bas yang dinaik taraf dan sebuah poliklinik di pusat bandar Bishan akan bermula dalam penggal pemerintah sekarang dan mengambil masa selama beberapa tahun untuk disiapkan.

Pelan untuk menyegarkan pusat bandar Bishan diumumkan dalam Draf Pelan Induk 2025 Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Rabu (25 Jun).

Pelan pembangunan semula untuk kawasan itu adalah sebahagian daripada strategi untuk mewujudkan kawasan ekonomi di luar pusat bandar dan mendekatkan tempat kerja dengan kediaman penduduk.

Untuk memulakan pembangunan hab perniagaan baharu itu, agensi-agensi pemerintah terpilih sedang menimbangkan kemungkinan untuk menempatkan semula pejabat mereka di pusat bandar Bishan, kata URA.

Pelan-pelan lain untuk kawasan itu termasuk menukar Bishan Place - yang terletak bersebelahan pusat beli-belah Junction 8 dan pusat pertukaran bas - menjadi pusat beli-belah baharu, dan menambah baik ketersambungan untuk penduduk, kata Encik Chee, yang merupakan Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh.

Sebagai contoh, para penduduk akan dapat berbasikal ke ruang rekreasi yang bakal dibina seperti di Koridor Utara-Selatan dan Sungai Kallang melalui laluan berbasikal yang baharu.

Terdapat juga rancangan untuk laluan berjalan kaki dan berbasikal di sepanjang pembangunan di Bishan Road yang akan dihubungkan dengan Taman Bishan-Ang Mo Kio, kata Encik Chee.

Draf pelan induk ialah pelan guna tanah berkanun yang menggariskan keutamaan pembangunan Singapura dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang. Ia disemak setiap lima tahun.

Edisi terbaharu itu juga termasuk pelan untuk kawasan kejiranan baharu di kawasan-kawasan seperti Newton, Paterson, Dover-Medway di Dover Road, bekas tapak lumba kuda Singapura di Kranji, serta Pangkalan Udara Paya Lebar dan kawasan Limbungan Kapal Sembawang.
Bersama-sama dengan pembangunan perumahan yang diumumkan sebelum ini di Bukit Timah Turf City dan Mount Pleasant, sekurang-kurangnya 80,000 rumah awam dan privet baharu dijangka dibina di lebih 10 kawasan kejiranan baharu di seluruh Singapura dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita