Skip to main content

Singapura

Ruang pameran di luar kedai HDB ditawarkan untuk disewa meski langgar peraturan

Anggaran Waktu Membaca:
Ruang pameran di luar kedai HDB ditawarkan untuk disewa meski langgar peraturan
Kotak kuning tempat kedai pamerkan barang. (Gambar: Mediacorp)
Diterbitkan : 10 Mar 2026 02:38PM Dikemas Kini : 10 Mar 2026 02:39PM
  • Ruang pameran luar kedai HDB di Singapura disewakan secara tidak sah melalui Carousell dan Facebook, walaupun peraturan HDB melarangnya.
  • Penjual menggunakan ruang tersebut untuk menjual barangan pelbagai, dengan sewa diuruskan melalui ejen atau kumpulan WhatsApp dan pembayaran dibuat secara langsung.
  • Majlis bandar diberi kuasa untuk menguatkuasakan peraturan, termasuk membatalkan permit tanpa notis jika berlaku pelanggaran.
  • Sim Ann menegaskan ruang ini hanya untuk menyokong operasi kedai, dan aktiviti komersial tidak terkawal boleh menimbulkan masalah seperti bunyi bising dan persaingan tidak adil.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Kawasan pameran di luar kedai HDB, yang biasanya dikenali sebagai kotak kuning atau merah, diiklankan untuk disewa di platform seperti Carousell dan Facebook, walaupun perbuatan itu tidak dibenarkan di bawah peraturan HDB.

Ruang berkenaan, yang sekecil 2 meter persegi, merupakan ruang tambahan bagi operasi kedai sedia ada. Namun, Mediacorp menemui sekurang-kurangnya 10 tawaran sewa di Carousell dan lebih 20 tawaran sewa di Facebook yang menawarkan ruang berkenaan untuk sewa jangka pendek pada kadar antara S$30 hingga S$180 sehari.

Beberapa tawaran dikaitkan dengan kedai seperti salun rambut, kedai teh boba dan kedai pajak gadai. Pengiklan memberitahu Mediacorp bahawa kelulusan daripada majlis bandar sama ada tidak diperlukan atau tidak akan menjadi masalah, dengan beberapa pembayaran sewa diatur secara langsung melalui PayNow atau wang tunai.

SEWA TANGAN ATAS TANGAN

Apabila Mediacorp meninjau kawasan seperti Kovan dan Ang Mo Kio, penjual didapati menggunakan ruang luar itu untuk menjual barangan yang tidak berkaitan termasuk aksesori, pokok berpasu, cadar dan hiasan rumah.

Seorang penjual berkata beliau sudah menyewa ruang sedemikian selama lebih 20 tahun dan mendapati ia "sangat selesa", manakala seorang lagi berkata harga sewa telah meningkat dua kali ganda dalam tempoh lima tahun yang lalu. Sewa tersebut dikendalikan melalui ejen atau kumpulan sembang WhatsApp.

Di bawah peraturan HDB, perniagaan yang tiada kaitan tidak dibenarkan di ruang berkenaan, dan beberapa borang permohonan majlis bandar dengan jelas menyatakan bahawa ruang tersebut tidak boleh dipindah milik, diagihkan atau disewakan semula.

MAJLIS PERBANDARAN BOLEH KUAT KUASA PERATURAN

HDB merujuk Mediacorp kepada ucapan parlimen pada Mac 2023 oleh Menteri Negara Kanan bagi Pembangunan Negara ketika itu, Sim Ann, yang berkata bahawa ruang pameran luar itu khususnya bertujuan menyokong operasi kedai itu sendiri sambil memastikan keselamatan awam dan kekemasan.

Beliau menyatakan bahawa majlis bandar diberi kuasa untuk mengurus dan menguatkuasakan peraturan, termasuk bertindak terhadap pengguna ruang secara tidak wajar. Majlis Bandaran Marine Parade-Braddell Heights berkata tindakan penguatkuasaan, antara lain, termasuk membatalkan permit tanpa notis dan menghalang penggunaan ruang tersebut pada masa hadapan.

Walaupun HDB akur bahawa peruncit sementara boleh menambah kerancakan sesebuah kawasan, Cik Sim Ann berkata aktiviti komersial yang tidak terkawal boleh menyebabkan bunyi bising, kesesakan dan persaingan yang tidak adil bagi pemilik kedai tempatan.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita