Skip to main content

Singapura

Ruang menunggu 50% lebih besar, lorong pelepasan imigresen automatik antara ciri baharu terminal baharu HarbourFront

Anggaran Waktu Membaca:
Ruang menunggu 50% lebih besar, lorong pelepasan imigresen automatik antara ciri baharu terminal baharu HarbourFront

Ruang menunggu penumpang di Terminal baharu diperbesar kira-kira 50 peratus. (Gambar: Batrisyia Kamal Baharim)

Diterbitkan : 05 Jul 2026 10:24AM Dikemas Kini : 05 Jul 2026 10:26AM
SINGAPURA: Terminal baharu Pusat Kapal Persiaran Singapura (SCC) di Harbourfront yang akan memulakan operasi secara separa pada Selasa ini (7 Jul) akan menawarkan kemudahan-kemudahan baharu dan perancangan ruang yang ditambah baik.

Perubahan itu bagi mempertingkatkan perjalanan para penumpang serta memperbaiki pengalaman perjalanan.

Misalnya, ruang menunggu para penumpang akan dibesarkan sebanyak sekitar 50 peratus.

Selain itu, teknologi-teknologi baharu seperti pencetakan sendiri pas masuk dan tag bagasi juga akan diperkenalkan.

SEBANYAK 25 KIOS LAYAN DIRI UNTUK MEMPERCEPAT PROSES MENAIKI FERI

Di terminal yang lama, para penumpang yang sudah membeli tiket secara online masih perlu beratur di kaunter pengendali untuk mendapatkan pas masuk sebelum mendaftar bagasi secara manual.

Namun, di terminal baharu, mereka boleh mencetak sendiri pas masuk dan tag bagasi.
Related article image
25 kiosk daftar masuk layan diri akan disediakan bagi mempercepatkan proses menaiki feri. (Gambar: Batrisyia Kamal Baharim)
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Kapal Persiaran Singapura (SCC), Jacqueline Tan, terminal baharu itu dibangunkan bagi memenuhi perubahan keperluan dan jangkaan penumpang masa kini.

Semasa pratonton media terminal baharu itu baru-baru ini, Cik Tan berkata: "Penumpang hari ini, di seluruh dunia, mengharapkan pengalaman perjalanan yang lebih baik. Itulah antara faktor utama yang diambil kira dalam mereka bentuk susun atur dan reka bentuk terminal ini.”

Bagi memenuhi jangkaan tersebut, terminal baharu itu dilengkapi dengan 25 kiosk daftar masuk layan diri, enam kios serahan bagasi dan enam pintu masuk automatik.

Selain itu, 46 lorong pelepasan imigresen automatik menggunakan biometrik wajah seperti yang digunakan di pusat Pemeriksaan Woodlands dan Lapangan Terbang Changi juga akan digunakan di terminal baharu itu.

“Ini dapat mengurangkan kerumitan dalam proses perjalanan dan kami berharap ia memberikan pengalaman yang lebih menyenangkan sejak permulaan perjalanan lagi,” jelas Cik Tan.
Related article image
46 lorong pelepasan imigresen automatik menggunakan biometrik wajah turut disediakan di Terminal baharu tersebut. (Gambar: Batrisyia Kamal Baharim)

ALIRAN PERJALANAN PENUMPANG DIPERHALUSI

Pendekatan yang sama turut diterapkan pada reka bentuk aliran perjalanan penumpang.

Mengambil kira maklum balas daripada penumpang dan rakan kerjasama lain, semua proses termasuk daftar masuk, serahan bagasi dan kaunter pengendali feri kini ditempatkan pada aras yang sama.

Menurut Cik Tan, ia agar perjalanan penumpang menjadi lebih lancar dan keseluruhan proses lebih mudah diikuti.

Ia berbeza dengan terminal sedia ada yang memerlukan penumpang bergerak antara tingkat untuk melengkapkan urusan tersebut.

Bagi mengurangkan kesesakan terutama pada waktu sibuk, ruang menunggu juga diperluaskan sekitar 50 peratus lebih berbanding terminal sedia ada.

Menurut Cik Tan, ruang tambahan itu sebagai persediaan menghadapi keperluan pada masa hadapan.

Terminal baharu seluas 14,300 meter persegi itu turut menempatkan, ruang ibadah pelbagai akemudahan mesra kerusi roda serta lebih 10 premis makanan dan minuman.

"Pembangunan terminal baharu ini memberi peluang kepada kami bukan sahaja untuk menambah baik aliran penumpang, malah meningkatkan keseluruhan pengalaman perjalanan mereka,” tambahnya lagi.

Related article image
Ruang VIP turut disediakan untuk para penumpang. (Gambar: Batrisyia Kamal Baharim)
KERAHAN KAKITANGAN MENJELANG PEMBUKAAN SEPENUHNYA TERMINAL BAHARU

SCC menyatakan bahawa pengendali Batam Fast Ferry akan mula beroperasi dari terminal baharu itu mulai 7 Julai.

Pengendali feri yang lain termasuk Horizon Fast Ferry, Majestic Fast Ferry, Sindo Ferry dan Indo Falcon Shipping & Travel serta operasi kapal persiaran pula akan mengendalikan operasi mereka mulai 15 Julai.

Terminal lama di Pusat HarbourFront menghentikan operasinya sepenuhnya pada 27 Julai.

Sementara itu, SCC akan mengerahkan kaki tangan di terminal bangunan lama bagi memastikan para penumpang menuju ke terminal yang betul untuk memulakan perjalanan mereka.

Menjelang pembukaan terminal itu, SCC telah menjalankan beberapa fasa ujian sejak 6 Mac bagi memastikan sistem, proses operasi serta aliran perjalanan penumpang berfungsi dengan lancar.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita