Ruang lebih kecil di tempat baru dorong penyewa Tanjong Katong Complex tawar potongan harga
Ruang baru yang lebih kecil memaksa mereka menghabiskan sebanyak mungkin stok barangan sedia ada.
Tinjauan BERITAmediacorp pada Khamis (18 Mei) mendapati sekitar 50 peratus penyewa di Tanjong Katong Complex sudah mengosongkan premis itu.
Mereka mempunyai masa hingga 30 Jun ini untuk berpindah.
RUANG KEDAI BARU TERHAD
Fotohi Carpet Gallery antara penyewa veteran di Tanjong Katong Complex yang masih dibuka.
Pemiliknya, Encik Reza Fotohi, 57 tahun memberitahu BERITAmediacorp bahawa beliau ingin menjual sebanyak mungkin bekalan stok permaidani sedia ada dengan menawarkan potongan harga.
Jumlah keseluruhan permaidani di kedainya itu adalah sekitar 6,000 helai.
"Secara jujur, apabila saya melihat saiz kedai baru saya berbanding kedai saya sekarang, saya perlu menjual sekurang-kurangnya 80 peratus stok permaidani saya. Kami akan berpindah ke kedai yang lebih kecil. Kami tidak berjaya mendapat unit yang sesuai.
"Cabaran terbesar saya adalah menguruskan kedai baru saya dan bagaimana berpindah ke sana dengan lancar, pada masa yang tepat," kongsi Encik Reza kepada BERITAmediacorp.
TAWAR POTONGAN HARGA
Lantaran itu, beliau menawarkan diskaun sehingga 50 peratus.
Encik Reza berharap bahawa para pelanggannya akan berkongsi harga-harga istimewa yang mereka perolehi kepada rakan-rakan dan saudara-mara.
Ini dengan harapan, beliau dapat menjual sebanyak mungkin permaidani di kedainya.
Encik Reza berkata, beliau akan berpindah ke Guthrie Building di Changi Road.
Sebuah lagi perniagaan yang sudah lama bertapak di Tanjong Katong Complex adalah Siti Rugaiyah Collection.
Seperti Fotohi Carpet Gallery, gerai itu juga menawarkan harga promosi bagi baju-baju tradisional Melayu yang dijual.
Malah, diskaun yang diberikan di gerai tersebut amat besar iaitu sehingga 80 peratus.
"Saya pun sedang cari kedai jadi kalau tidak dapat, saya banyak barang yang kena simpan. Simpan pun memerlukan tempat. Saya kena cari stor. Jadi kalau saya boleh kurangkan, barang-barang di kedai saya, itu lebih baik," kata Encik Abu Bakar.
Oleh kerana beliau sudah berniaga di Tanjong Katong Complex lebih 30 tahun, Encik Abu Bakar akui terkilan kerana sudah berasa begitu sebati dengan tempat itu.
Encik Abu Bakar tidak dapat menahan sebak megenangkan tempat beliau mencari rezeki selama ini.
"Rasa sedih. Tempat ini dah lama saya berniaga kan. Macam kehilangan tempat," kata Encik Abu Bakar sambil menahan air matanya.
Sentimen serupa juga dikongsi oleh Encik Chew Tian Beng, seorang lagi peniaga veteran.
Encik Chew Tian Beng berkata: "Saya rasa di sini amat menyenangkan untuk para pelanggan Melayu. Semua pelanggan kami orang Melayu. Para pelanggan juga berasa amat sedih, amat sayang tempat ini."
Encik Chew menawarkan diskaun sehingga 50 peratus kerana ingin mengurangkan separuh daripada stok yang ada di kedainya ini.
Menurutnya, saiz kedai barunya di City Plaza jauh lebih kecil berbanding sekarang.
Rancangan menaik taraf Tanjong Katong Complex adalah sebahagian daripada pelan membina Jalur Budaya Melayu Geylang Serai dengan identiti kebudayaannya yang tersendiri.
Kerja naik taraf dijangka mengambil masa tiga tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.