Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ruang kerja bersama tawar konsep unik penuhi keperluan berbeza pekerja

Cik Hidayah Ros, 32 tahun perlu sentiasa mengimbangi masa sebagai usahawan sebuah syarikat kreatif dan ibu kepada dua orang anaknya berusia tiga dan enam tahun.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Cik Hidayah Ros, 32 tahun perlu sentiasa mengimbangi masa sebagai usahawan sebuah syarikat kreatif dan ibu kepada dua orang anaknya berusia tiga dan enam tahun.

Lantaran itu, beliau memanfaatkan ruang kerja bersama Trehaus yang menawarkan khidmat tajaka bagi ibu bapa yang bekerja sepertinya.

Di situ, beliau dapat mengawasi anak bongsu lelakinya yang berusia tiga tahun itu pada bila-bila masa.

"Sementara saya melakukan kerja saya, anak saya dapat berada di ruang sekolah dan dia tidak jauh daripada saya dan di dalam jagaan baik guru-guru di sini," kata Cik Hidayah kepada wartawan Syawal Yusoff.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Beliau mula menghantar anak-anaknya ke situ sejak enam tahun lalu.

"Masa itu saya sedang mencari ruang untuk menghantar anak saya seperti ruang bermain untuk anak saya. Di situ saya dapat tahu Trehaus mempunyai ruang di mana ia bukan sahaja untuk kanak-kanak tetapi ibu bapa pun dapat berada di ruang yang sama kerana mereka mempunyai khidmat 'hotdesking'.

"Saya rasa ia sangat sesuai untuk seorang ibu yang dapat bekerja secara fleksibel. Ini kerana kadang-kadang di rumah kita mungkin tidak dapat fokus yang kita inginkan," ujarnya.

Cik Hidayah juga dapat menjimatkan masa kerana tidak perlu menghantar anaknya ke tajaka lain.

MENJIMATKAN BAGI USAHAWAN KECIL-KECILAN

Sebagai usahawan perniagaan kecil, juga lebih berpatutan bagi beliau untuk menyewa ruang bersama.

"Saya tidak mempunyai pejabat sendiri ataupun ruang di mana saya boleh menjalankan perniagaan saya. Ia membantu juga orang-orang seperti saya iaitu pemilik perniagaan kecil yang mungkin tidak perlukan seluruh pejabat untuk diri saya sendiri, saya hanya perlukan kemudahan yang bagus untuk saya bekerja dan mungkin bertemu dengan klien.

"Di sini ia sangat kondusif kerana ia lengkap (dengan kemudahan). Ada kafe di sini dan juga bilik-bilik mesyuarat dan juga 'pods' di mana anda boleh menjawab panggilan atau mesyuarat online dengan para klien dan sebagainya," jelas Cik Hidayah.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Ruang kerja bersama di tingkat tujuh Funan itu adalah satu-satunya di Singapura yang menawarkan khidmat sedemikian.

Sejak dibuka pada 2016, ia menarik kira-kira 60 pelanggan setiap hari yang terdiri daripada individu daripada pelbagai latar belakang.

"Ibu, bapa, mereka yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan, firma-firma membangun atau kerja-kerja 'gig' yang dilakukan, penerbitan, pekerja bebas, penulisan. Saya juga mengenali ibu-ibu dengan kelulusan 'PhD' yang menjalankan bimbingan dan bapa-bapa yang mahu dekat dengan anak-anak mereka," kata pengasas bersama, Trehaus, Cik Elizabeth Wu.

Beliau menambah: "Ada juga perniagaan mengait, kreatif, perundingan. Sebilangannya mempunyai kelonggaran dan (mereka) boleh bekerja di mana-mana."

Menurut Cik Wu, syarikatnya juga menganjurkan acara yang lebih dikhususkan buat golongan ibu bapa.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Kami banyak menyokong masyarakat ibu bapa di sini. Ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke tajaka di sini, ada yang bekerja di sini, kami tawarkan ceramah, bengkel, latihan, perkongsian, dan juga bimbingan serta membina rangkaian. Sekiranya kami menganjurkan acara bersama usahawan-usahawan tempatan, mereka membawa produk-produk kanak-kanak, bahan pendidikan kanak-kanak serta panduan untuk menyokong ibu bapa.

"Ramai di antara kita yang mengimbangi kerjaya, keluarga tidak menjadi keutamaan. Tiada huraian yang lebih baik daripada integrasi kerjaya dan kehidupan," kata Cik Wu.

Tambahnya, sudah ada rancangan untuk memperkenalkan konsep serupa di peringkat antarabangsa.

Ia akan membuka cawangan di Jakarta, Indonesia menjelang suku ketiga tahun ini.

BEKERJA SAMBIL SELAMATKAN KUCING

Untuk harga serendah S$10 sejam pula, anda boleh bekerja sambil ditemani kucing-kucing dalam ruang kerja bersama Meownistry of Meow.

Tidak seperti kafe kucing biasa, tiada masa terhad yang ditetapkan untuk bermain dengan kucing-kucing tersebut.

Ada 16 ekor kucing di ruang dua tingkat di Jalan Klapa itu, kesemuanya kucing-kucing yang diselamatkan.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Saya tempatkan kucing-kucing untuk diselamatkan di sini jadi orang ramai boleh menggunakan tempat ini untuk bekerja dan juga wadah untuk melepaskan tekanan sedikit di tempat yang ada kucing-kucing. Jika mereka rasakan ada kucing-kucing yang sesuai dengan mereka, mereka boleh selamatkan daripada sini juga," kata pengasas bersamanya, Cik Xindy Jiang.

Mula dibuka pada Mei 2023, Meownistry of Meow dikunjungi seramai 20 hingga 30 pelanggan sehari.

Selain pekerja, ia turut menarik para pelajar institut pengajian tinggi.
 (Gambar: Syawal Yusoff)

Menurut Cik Jiang, masa paling sibuk ialah semasa musim cuti sekolah.

"Gangguan pasti berlaku apabila ada yang bermain dengan kucing-kucing. Jadi kami ada bilik yang boleh digunakan, menjawab panggilan privet dan adakan mesyuarat jika mereka perlukan tempat dengan kurang gangguan," ujarnya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Pengurus akaun dalam bidang pemasaran Cik Valene Eng bekerja di situ dua hingga tiga kali sebulan kerana ia membantu merangsang daya kreativitinya.

"Bekerja di sekitaran yang berlainan seperti di sini sangat membantu menyegarkan semula dan melapangkan minda. Di situlah idea-idea baharu dan inspirasi datang yang penting dalam bidang kerjaya saya," kata Cik Eng, yang juga seorang pencinta kucing.

Selain bilik privet bagi kumpulan lebih besar, tempat itu juga menawarkan ruang-ruang hiburan lengkap dengan permainan dan set karaoke yang boleh disewa untuk berehat dan bersantai.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan