Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Ruang' dilancar bagi cari generasi baru penggiat seni & galak kepelbagaian seni

Anggaran Waktu Membaca:
'Ruang' dilancar bagi cari generasi baru penggiat seni & galak kepelbagaian seni

Para penulis Ruang. (Gambar: Variasi Performing Arts)

BERITAmediacorp: Para penggiat seni muda kini mempunyai wadah baru bagi mengasah bakat masing-masing di samping berkarya menerusi satu projek baru yang dilancarkan pada Khamis (8 Sep).

Diberi nama 'Ruang', projek itu dianjurkan oleh kumpulan Variasi Performing Arts dan The Arts House Limited.

Ia diadakan sempena Bulan Bahasa tahun ini.

BAKAT MUDA DIPERLUKAN UNTUK LESTARIKAN PUSAKA WARISAN

Antara tujuan projek itu termasuk menarik bakat-bakat muda yang gemar berkarya seperti menulis skrip, mengarah, mengarang lirik-lirik lagu dan sebagainya.

--
Usaha itu dianggap penting oleh para penganjur untuk melestarikan pusaka seni Melayu.

Presiden dan pengarah artistik Variasi, Encik Raja Hamzah Raja Zulkifli berkongsi dengan BERITAmediacorp bahawa projek Ruang itu juga adalah peluang bagi para penggiat seni memaparkan idea dan daya kreatif serta berkongsi pengalaman masing-masing.

"Kami sebenarnya mengajak ramai penulis-penulis tempatan yang mempunyai latar belakang berbeza untuk mereka menghasilkan karya-karya yang berbunyi lirik lagu, puisi, monolog, teater dan mungkin filem pendek dan dari situ sebenarnya kami dapat menerapkan dari segi konteks kemasyarakatan, isu-isu sosial dan juga pengalaman yang mereka melalui dahulu atau kini ataupun dari segi pemantauan mereka tentang keadaan sekeliling masyarakat," ujar Encik Raja.

Penerbit Ruang, Encik Hisyam Salimnor pula berharap inisiatif tersebut dapat memberi keyakinan kepada para penggiat seni muda untuk berkarya di samping memahami tatasusila sebagai penulis, dalam apa saja kategori termasuk penulisan lirik lagu, cerpen, pementasan, televisyen, radio dan sebagainya.

MANFAATKAN WADAH UNTUK SEMARAKKAN LAGI ARENA SENI

Di majlis pelancaran projek itu, tetamu kehormat, Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Undang-undang Rahayu Mahzam, juga menyeru para penggiat seni di luar sana untuk memanfaatkan platform yang ada bagi menyemarakkan lagi arena seni tempatan.

Cik Rahayu berkata: "Ia adalah satu acara yang amat bermakna dan adalah satu peluang untuk kita mempamerkan bakat-bakat baru dan mengasah bakat dengan memberi peluang kepada mereka bertemu dengan mereka yang lebih mampan dan memberi mereka ilmu dan motivasi untuk terus berkarya dalam arena ini.

"Saya juga lihat ini adalah satu cara yang menarik untuk menggabungkan pelbagai media dan menerusi seni ini kita dapat memperkukuhkan identiti masyarakat kita dan memperkayakan lagi dengan kerencaman dan kepelbagaian seni dalam Ruang ini."

Lantaran ini, beliau berharap menerusi projek Ruang, ia dapat memberi motivasi kepada golongan muda agar dapat terus berkarya, mengasah bakat mereka dan terus mengembangkan seni dalam masyarakat.

Di acara pelancaran itu juga, Cik Rahayu Mahzam menyampaikan dua anugerah iaitu Anugerah Pujian Variasi kepada Encik Andi Md Zulkepli dan Encik Muhammad Kidzer Salim.

Encik Andi bermula berkarya dengan kumpulan Variasi sejak 2014 lagi. Beliau telah menerbitkan beberapa projek seni dan program masyarakat seperti AKAR dan Projek Tiga. Encik Kidzer pula merupakan seorang penggiat dikir barat dan pernah menghasilkan beberapa karya untuk Variasi termasuk lagu tema bagi program bual bicara Borak Seni.

Ruang akan diadakan sehingga esok (10 Sep) di Arts House.

Ruang akan dijadikan sebagai acara tahunan di bawah pelan kerja lima tahun kumpulan Variasi.

Sumber : BERITA Mediacorp/na

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa