Ruang baru kerjasama empat badan bantu diri dibuka di Yishun
Vibrance @ Yishun menawarkan program pendidikan serta pembangunan bagi semua penduduk
SINGAPURA: Satu ruang kerjasama yang dipimpin empat badan bantu diri Singapura dibuka di Yishun buat pertama kalinya awal hari ini (5 Ogos).
Dinamakan Vibrance @ Yishun, pusat baru itu merupakan hasil kerjasama Yayasan MENDAKI (MENDAKI), Pembangunan Masyarakat Cina (CDAC), Persatuan Masyarakat India Singapura (SINDA), Persatuan Serani (EA).
Pusat baru itu menawarkan program pendidikan serta pembangunan bagi semua penduduk.
2,700 SUDAH MANFAATKAN PROGRAM PEMBANGUNAN
Pada usia empat tahun, Harsha sudah mahir mengira.
Ia hasil daripada sebuah program yang dihadirinya setiap Ahad sejak sebulan lalu, bersama kakaknya, Harleen, lima tahun.
Program itu antara pelbagai inisiatif pendidikan dan pembangunan yang ditawarkan di pusat baru di Yishun itu.
Vibrance @ Yishun buat julung-julung kalinya menggabungkan program-program dari empat badan bantu diri di bawah satu bumbung.
Ia juga menempatkan kemudahan seperti perpustakaan, makmal komputer serta bilik-bilik darjah.
Lebih 230 kegiatan sudahpun dijalankan di pusat tersebut sejak ia beroperasi pada Januari 2018, memberi khidmat kepada sekitar 2,700 orang.
Keluarga-keluarga memerlukan juga menerima subsidi sehingga 100 peratus bagi program-programnya.
"Masyarakat di Yishun dan juga di daerah sekelilingnya, di Woodlands ataupun di Sembawang boleh datang ke pusat ini untuk berbagai-bagai program, bukan sahaja oleh MENDAKI tetapi juga oleh CDAC, SINDA dan Persatuan Serani. Semuanya akan diberikan khidmat yang sama dan akan diberi sokongan yang lebih menggunakan program-program yang selalunya tidak ada di MENDAKI tetapi di sini dapat digunakan bersama," kongsi CEO Yayasan MENDAKI Rahayu Buang.
Menteri Pendidikan Ong Ye Kung, yang turut hadir di majlis pelancaran berkata, sekiranya pusat tersebut terbukti berjaya, terdapat rancangan untuk memperkenalkan lebih banyak lagi pusat sedemikian di kawasan-kawasan lain Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.