Skip to main content

Singapura

RTS Link akan tingkatkan ketersambungan S'pura-Johor, kukuhkan lagi hubungan: Iswaran

Encik Iswaran menjadi tuan rumah kepada Sultan Johor di tapak terminal Woodlands North, di mana kerja-kerja binaan sudahpun dimulakan pada Mac 2021.

Anggaran Waktu Membaca:
RTS Link akan tingkatkan ketersambungan S'pura-Johor, kukuhkan lagi hubungan: Iswaran

Menteri Pengangkutan S Iswaran (tiga dari kiri) dan Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar (empat dari kiri). (Gambar: Facebook/S Iswaran)

Diterbitkan : 21 Jul 2022 04:42PM Dikemas Kini : 21 Jul 2022 04:56PM
SINGAPURA: Sistem Kereta Api Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura akan meningkatkan ketersambungan antara kedua-dua pihak dan mengukuhkan lagi hubungan, menurut Menteri Pengangkutan S Iswaran pada Khamis (21 Jul) selepas lawatannya ke tapak terminal Woodlands North.

Encik Iswaran menjadi tuan rumah kepada Sultan Johor di tapak terminal itu, di mana kerja-kerja binaan sudahpun dimulakan pada Mac 2021.

Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar diiringi Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dan para pegawai negeri yang lain.

RTS Link adalah khidmat kereta api ulang-alik sepanjang 4 kilometer antara terminal Singapura di stesen Woodlands North dengan terminal Malaysia di stesen Bukit Chagar di Johor Bahru.

Apabila ia mula beroperasi pada hujung 2026, khidmat itu dijangka boleh menampung sehingga 10,000 penumpang setiap jam bagi setiap hala. Masa perjalanan antara kedua-dua stesen adalah sekitar lima minit, menurut Kementerian Pengangkutan Singapura dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam kenyataan bersamanya.

Semasa lawatannya pada Khamis, Sultan Ibrahim menyaksikan proses menghapuskan batu-bata menggunakan kaedah letupan terkawal dan diberi taklimat mengenai kerja-kerja marin memantakkan cerucuk gerudi, yang akan menjadi asas bagi binaan jejambat RTS Link.

Jejambat itu merentasi Selat Johor pada ketinggian sekitar 25 meter dan menghubungkan terowong-terowong bawah tanah ke stesen Woodlands North RTS Link.

"Saya menyampaikan cenderamata yang memaparkan ciri-ciri seni bina jejambat itu, yang melambangkan persahabatan antara kedua-dua pihak, dan yang mana Yang Di-Pertuan Agong turut membuat rekaannya sekali," tulis Encik Iswaran dalam catatannya di Facebook.

"Apabila perkhidmatannya dibuka pada hujung 2026, RTS Link akan meningkatkan keterhubungan antara Singapura dengan Johor dan mengukuhkan lagi hubungan kami."

Sultan itu berada di Singapura minggu ini bagi lawatan rasmi atas undangan Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Beliau juga diiringi isterinya, Raja Zarith Sofiah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail dan isteri Che' Puan Besar Khaleeda, Encik Onn Hafiz Ghazi dan para pegawai negeri yang lain.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita