RSN tingkat pemantauan setelah buaya dikesan dekat Pangkalan Tentera Laut Changi
Seekor buaya dilihat di perairan berhampiran Pangkalan Tentera Laut Changi dalam petikan skrin video pada 4 Feb 2026. (Imej: Facebook/RSN)
Dalam catatannya di Facebook pada lewat Rabu (4 Feb), RSN menyatakan Flotila ke-9 telah dimaklumkan tentang buaya itu di perairan berhampiran pangkalan tersebut dan haiwan itu "berlegar-legar seketika sebelum kembali ke Selat Singapura".
"Pasukan-pasukan di pangkalan kami juga telah meningkatkan pemantauan, dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa yang relevan," tambah RSN. "Sila terus berwaspada jika anda berada di sekitar kawasan pantai."
Ini berlaku lima hari selepas aduan pertama tentang kehadiran seekor buaya di sekitar perairan Sentosa baru-baru ini, walaupun masih belum jelas sama ada ia adalah buaya yang sama.
Aktiviti-aktiviti air seperti berenang dan berkayak telah digantung buat sementara waktu di Pantai Siloso, Palawan dan Tanjong sebagai langkah berjaga-jaga menyusuli penemuan buaya itu, yang menimbulkan kebimbangan dan keprihatinan dalam kalangan pengunjung pada hujung minggu lalu.
Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) dan Lembaga Taman Negara (NParks) menyatakan bahawa mereka telah dimaklumkan tentang haiwan itu pada Sabtu lalu.
Ini merupakan laporan pertama tentang kehadiran buaya di perairan Sentosa setakat ini, dan reptilia itu dilaporkan muncul sekali lagi pada Ahad di perairan Marina South Pier.
Penguasa Tanah Singapura (SLA) pada Ahad turut menasihati orang ramai, dalam satu catatan di Facebook, untuk mengelakkan aktiviti air di St John's (Pulau Sekijang Bendera), Seringat, Lazarus (Pulau Sekijang Pelepah) dan Kusu (Pulau Tembakul) sehingga diberitahu kelak.
Pada 2023, seekor buaya air masin sepanjang hampir 3m telah ditakai atas sebab keselamatan awam. Ia telah dilihat di pantai Marina East Drive dan kemudiannya ditemui berhampiran Taman East Coast.
Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara ketika itu, Tan Kiat How, berkata buaya itu telah dinilai sebagai menimbulkan "risiko yang ketara" terhadap keselamatan awam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.