Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

RSN sertai latihan maritim sulung ASEAN-Rusia

Sebuah kapal perang Tentera Laut Republik Singapura (RSN) sedang mengambil bahagian dalam latihan maritim sulung antara Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dengan Rusia, yang diadakan dari Rabu (1 Dis) hingga Jumaat.

Anggaran Waktu Membaca:
RSN sertai latihan maritim sulung ASEAN-Rusia

Anggota RSN melambai-lambai kepada para wakil daripada negara-negara yang mengambil bahagian dalam Latihan Maritim ASEAN-Russia. (Gambar: MINDEF)

Diterbitkan : 03 Dec 2021 12:04AM Dikemas Kini : 03 Dec 2021 12:07AM

SINGAPURA: Sebuah kapal perang Tentera Laut Republik Singapura (RSN) sedang mengambil bahagian dalam latihan maritim sulung antara Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dengan Rusia, yang diadakan dari Rabu (1 Dis) hingga Jumaat.

Latihan itu dijalankan di perairan luar Sabang, Indonesia, dan melibatkan lapan kapal serta pemerhati dari negara-negara anggota ASEAN dan Rusia, menurut Kementerian Pertahanan Singapura (MINDEF) pada Khamis (2 Dis).

Kapal-kapal tersebut adalah dari Brunei, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Rusia, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Semasa fasa latihan di laut itu, kapal peluru berpandu kelas Victory RSN, RSS Vigour, menyertai kapal-kapal lain dalam menjalani latihan perhubungan serta pengemudian, latihan mencari dan menyelamat serta latihan keselamatan maritim.

Sebagai sebahagian daripada latihan keselamatan maritim, kapal-kapal itu menjejaki pergerakan kapal berkepentingan dalam satu latihan simulasi. Mereka menggunakan makluman daripada pegawai perhubungan antarabangsa ASEAN yang dikerahkan ke Pusat Gabungan Maklumat (IFC).

Pusat tersebut - yang membantu negara-negara berkongsi maklumat keselamatan maritim - menggunakan sistem berasaskan web mengikut masa nyata, yang dihasilkan bagi kerjasama pantas.

Latihan itu diakhiri dengan acara belayar lalu, melibatkan semua kapal yang mengambil bahagian.

MINDEF menyatakan latihan itu dijalankan selaras dengan Kod Tatalaku Pertemuan yang Tidak Dirancang di Laut (CUES), satu "langkah membina keyakinan" yang merangkumi prosedur keselamatan, perancangan perhubungan dan arahan pengemudian untuk menggalakkan keselamatan maritim.

Kod tatalaku itu diluluskan tentera laut ADMM-Plus pada 2017 di bawah Kumpulan Kerja mengenai Keselamatan Maritim Pakar-pakar ADMM-Plus yang dipengerusikan bersama oleh Singapura dengan Korea Selatan.

ADMM-Plus adalah sebuah wadah bagi ASEAN dan lapan negara rakan kerja - Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat (AS) untuk mengukuhkan keselamatan dan kerjasama pertahanan di rantau ini.

"Penyertaan Singapura dalam latihan itu menegaskan lagi sokongan kita terhadap ADMM-Plus serta komitmen untuk menegakkan pembangunan keselamatan serantau yang terbuka dan inklusif," menurut MINDEF.

Latihan itu dijalankan selepas Sidang Puncak ASEAN-Rusia keempat pada Oktober lalu. Di sidang puncak itu, Rusia dan negara-negara anggota ASEAN mengesahkan lagi komitmennya untuk memastikan "keamanan dan keselamatan maritim, kebebasan lintas udara dan naivgasi serta perdagangan tanpa halangan".

Ini termasuk menggalak prinsip tahan diri, tidak menggunakan kekerasan atau mengancam untuk menggunakan kekerasan serta menghuraikan pertelingkahan melalui cara aman, sejajar dengan prinsip perundangan antarabangsa yang diiktiraf secara universal, menurut kenyataan bersama negara-negara tersebut. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan