RSN perkukuh keupayaan dalam teknologi tanpa pemandu demi lindungi perairan SG

Menteri Negara Kanan Pertahanan Zaqy Mohamad (kanan) belayar menaiki Bot Tempur Combatant Craft Large (CCL) Unit Penyelam Tentera Laut sewaktu lawatannya ke Pangkalan Tentera Laut Changi RSN pada 15 Mac 2023. (Gambar: MINDEF)
Encik Zaqy Mohamad melawat Pangkalan Tentera Laut Changi (CNB) RSN pada Rabu (15 Mac) di mana beliau diberi taklimat tentang bagaimana RSN sedang memperkukuhkan keupayaannya untuk melindungi perairan Singapura dan menjamin keselamatan laluan perhubungan laut negara daripada pelbagai ancaman keselamatan maritim.
Sebagai sebahagian daripada lawatan itu, Encik Zaqy diberi kemas kini mengenai kemajuan dalam transformasi RSN terutama sekali dalam bidang teknologi dan sistem tanpa pemandu.
Beliau juga belayar menaiki Bot Tempur Combatant Craft Large (CCL) Unit Penyelam Tentera Laut dan menyaksikan demonstrasi bagaimana operasi keselamatan maritim dijalankan oleh Kapal Permukaan Tanpa Pemandu (USV) Keselamatan Maritim.
Pada masa sama, Encik Zaqy berinteraksi dengan anggota kerahan RSN termasuk Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF) dari Skuadron USV yang terlibat dalam pengendalian operasi keupayaan sedemikian.
"Teknologi tanpa pemandu akan menjadi sebahagian besar daripada SAF pada masa hadapan dan Tentera Laut sudah bekerjasama dengan komuniti pertahanan lebih luas untuk membangunkan sistem tanpa pemandu asli yang direka untuk persekitaran operasi dan keperluan kami yang unik," kata Encik Zaqy.
"Saya juga gembira untuk mengetahui bahawa RSN sudah melakukan beberapa inisiatif untuk memaksimumkan pengerahan NSF dan NSmen (Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara). RSN dengan sengaja mereka sistem yang bersifat intuitif supaya ia dapat dikendalikan dengan mudah oleh para NSF dan NSmen.
"Ini akan menyediakan saluran baru, lebih bermakna serta menarik bagi NSF dan NSmen untuk menyumbang kepada pertahanan maritim kita," kata Encik Zaqy.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.