RSN manfaatkan 2 sistem baharu latih jurutera kapal selam jamin proses lebih selamat dan cekap
Angkatan Tentera Laut Republik Singapura (RSN) memanfaatkan dua sistem baharu untuk melatih para kakitangan serta jurutera kapal selam bagi menjamin proses yang lebih selamat dan cekap.
Ia sebahagian daripada usaha RSN untuk melengkapi kaedah latihannya dengan inovasi baharu, sejak pemerolehan pertama kapal-kapal selamnya pada 1995.
Kapal selam kelas 'Invincible' terbaharu RSN mempamerkan peningkatan yang cukup tinggi.
Ia lebih mudah untuk dikendali, berupaya untuk kekal lebih lama di dalam laut, serta kapasiti lebih tinggi bagi senjata dan muatan.
"Kami menciptakan sistem pengurusan tempur tempatan dengan automasi maju dan keupayaan untuk tingkatkan kesedaran situasi serta sokongan bagi membuat keputusan untuk para pengendali.
"Ini akan membolehkan Angkatan Laut untuk mengemudi dengan lebih baik kapal-kapal selam kami di perairan Singapura yang sesak dan cetek," kata Pengurus Program, Sistem Tentera Laut, DSTA, Neo Ya Kai.
Hakikatnya, ia bukan sekadar membina kapal selam yang lebih baik.
Sama penting adalah usaha untuk melatih anak kapal agar dapat memanfaatkan potensi penuh kapal.
Lantas, Angkatan Laut Singapura akan memanfaatkan dua sistem latihan baharu bagi kakitangan kapal selam serta para jurutera.
Antaranya, Sistem Tatacara Maya yang merupakan 100 peratus replika kapal selam terbaru RSN - termasuk kesemua 12 juta bahagiannya.
Ini bermakna, lebih ramai anak kapal boleh menjalani latihan pada bila-bila masa menerusi wadah maya itu tanpa perlu menjejakkan kaki ke dalam kapal selam yang sebenar.
Namun, latihan sebegitu bukan mudah, terutama bagi mereka yang terbiasa mengendalikan kapal selam lebih lama.
Selain itu, terdapat juga sistem latihan penyenggaraan yang menyediakan pengalaman secara langsung kepada para jurutera untuk memahami cara menyelenggara dan merawat peralatan di dalam kapal selam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.