RSN lancar kapal selam kedua dan ketiga kelas Invincible di Jerman
KIEL, Jerman: Dua lagi kapal selam baru Singapura dilancarkan pada Selasa (13 Dis) di Kiel, utara Jerman.
Kapal-kapal selam kelas Invincible itu diberi nama Impeccable dan Illustrious, dan merupakan kapal kedua dan ketiga daripada empat kapal selam khas jenis 218SG yang dibina ThyssenKrupp Marine Systems (TKMS) untuk Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Kapal selam pertama Invincible dilancarkan pada 2019 dalam majlis yang turut diadakan di limbungan TKMS di Kiel.
Upacara pelancaran hari ini dirasmikan Perdana Menteri Lee Hsien Loong, dan turut dihadiri Canselor Jerman, Olof Scholz.
Pelancaran dua kapal selam itu pula dilakukan isteri PM Lee, Cik Ho Ching.
Majlis itu turut disaksikan oleh Menteri Pertahanan Ng Eng Hen, Menteri Ehwal Luar Negeri Vivian Balakrishnan dan ketua-ketua pertahanan dari Singapura dan Jerman.
Dalam ucapannya, Encik Lee yakin hubungan Singapura dengan Jerman akan terus semakin kukuh.
Beliau mengalu-alukan hubungan ketenteraan dua hala yang lebih baik.
PM Lee berkata sebagai sebuah negara maritim, Singapura amat bergantung kepada pergerakan bebas barangan dan bahan menerusi jalan laut untuk kemakmuran dan penakatannya.
Tentera Laut Singapura (RSN), tambah PM Lee, mempunyai misi amat penting bagi memastikan Laluan Perkapalan di perairannya terus terbuka.
Kehadiran kapal-kapal selam itu meningkatkan keupayaan RSN untuk menjalankan misi tersebut.
Encik Lee juga mengucapkan terima kasih kepada TKMS dan Tentera Laut Jerman atas sokongan dan perkongsian kepakaran mereka, sambil menekankan hubungan pertahanan yang semakin meningkat antara kedua-dua negara.
"Kerjasama kami dalam keupayaan strategik ini menggariskan perkongsian mendalam dan kepercayaan antara tentera laut kami dan industri pertahanan kami," kata Encik Lee.
CIRI UNIK KAPAL SELAM KELAS INVINCIBLE
Dibuat khas, sesuai dengan suhu perairan Singapura yang lebih panas dan cetek, dua kapal selam baru itu boleh bergerak lebih pantas, lebih senyap dan mempunyai kuasa serangan lebih hebat.
Ia menandakan detik penting dalam usaha memodenkan pasukan kapal selam Singapura.
Dua kapal selam baru itu akan dihantar ke Singapura mulai tahun depan selepas menjalani beberapa siri ujian di laut.
Kapal selam keempat masih dibina.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.