RSAF tunjukkan keupayaan siap beroperasi di sidang Trump-Kim: PM Lee
RSAF menyahut cabaran sidang kemuncak Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dan membuktikan kepada dunia bahawa ia sentiasa siap beroperasi, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Perbarisan RSAF50 pada Sabtu (1 Sep).
SINGAPURA: Angkatan Tentera Udara Singapura (RSAF) menyahut cabaran sidang kemuncak Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dan membuktikan kepada dunia bahawa ia sentiasa siap beroperasi, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Perbarisan RSAF50 pada Sabtu (1 Sep).
Berucap di Pangkalan Udara Tengah, PM Lee selaku tetamu terhormat di acara tersebut, mengambil contoh sidang kemuncak itu sebagai salah satu "acara luar biasa" yang memerlukan para pegawai RSAF menyahut seruan untuk berkhidmat kepada negara dalam masa yang singkat.
"RSAF menunjukkan kepada dunia semasa sidang puncak itu bahawa anda sentiasa siap beroperasi," kata PM Lee. "Anda ditugaskan untuk mempertahankan ruang udara kita dengan membentuk 'kubah' pelindung di Singapura.
"Anda mengerahkan lebih 20 pesawat untuk terbang di ruang udara kita atau bersedia untuk berlepas, pada bila-bila masa; lebih 10 sistem pertahanan udara di darat yang siap mengawal, dan kenderaan udara tanpa pemandu bersiap sedia. Ini adalah operasi sebenar, bukan suatu latihan. "
Encik Lee berkata para pegawai hanya mempunyai dua minggu untuk bersiap sedia bagi acara bersejarah itu dan ramai terpaksa membatalkan rancangan untuk bercuti dan tempahan percutian mereka.
"Namun anda berjaya menyahut cabaran, dan menunjukkan Singapura dan dunia keupayaan dan dedikasi anda," kata PM Lee.
Dalam ucapannya, PM Lee juga menekankan "tugas terus-menerus dan tidak berkesudahan" untuk memastikan peralatan, teknologi dan sistem Singapura terus dikemaskini.
Beliau berkata, sedang RSAF berkembang, ia juga perlu menyesuaikan kemudahan yang sedia ada dan terus mempertingkatkan peralatannya.
"Ia mesti dilaksanakan secara konsisten dan tegas, dengan sumber yang sewajarnya, dengan kesedaran terhadap keperluan pertahanan dan konteks antarabangsa," kata Encik Lee.
Acara perbarisan tersebut terdiri daripada kontinjen seramai 500 kakitangan dan pertunjukan udara yang melibatkan 20 pesawat, bersempena ulang tahun ke-50 RSAF.
Ia juga acara kemuncak sambutan Jubli Emas RSAF tahun ini, yang bermula pada bulan Februari di Pertunjukan Udara Singapura.
Acara lain yang diadakan awal tahun ini termasuk pertunjukan langsung, pameran statik dan pameran interaktif di lima lokasi berbeza di seluruh negara serta pameran udara terbesar tahun ini di RSAF50@Marina Barrage.
Pertunjukan pesawat F-15SG yang bertemakan RSAF50 berwarna biru memukau hampir 1,400 tetamu, termasuk Menteri Pertahanan Ng Eng Hen dan Panglima Tentera Udara Mejar Jeneral (MG) Mervyn Tan.
Sebagai sebahagian daripada sambutan hari ini, PM Lee juga merasmikan mural peringatan RSAF 50 di galeri selepas perbarisan.
Mural tersebut akan dipamerkan secara tetap di Muzium Tentera Udara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.