Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

RSAF pamerkan pesawat MRTT yang hantar bantuan kemanusiaan buat penduduk Gaza, di Pertunjukan Udara 2024

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pertunjukan Udara Singapura 2024, bakal membuka tirainya esok (20 Feb) hingga 25 Februari ini di Pusat Pameran Changi.

Acara yang diadakan setiap dua tahun itu juga bakal menampilkan beberapa aset terbaharu Angkatan Tentera Udara Negara (RSAF).

Antaranya adalah jet-jet pejuang yang berupaya terbang selaju lebih 200 kilometer sejam serta melakukan pusingan penuh 360 darjah.

Turut dipamerkan adalah sistem-sistem peluru berpandu yang canggih.
Antara tarikan utama kali ini ialah persembahan udaranya.

Tahun ini, segmen itu bakal menampilkan lapan acara terbang lalu yang melibatkan enam angkatan udara serta dua syarikat komersil.
Selain dapat menyaksikan aset dan juruterbang ini beraksi, para pengunjung juga berpeluang masuk ke ruang kokpit dan pesawat.

Ia termasuk Pesawat Muatan Pelbagai Peranan (A330 MRTT) yang diterbangkan ke Mesir untuk menghantar bekalan bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza November lalu.
"Kami menjalankan pelbagai misi dan ini termasuk menghantar peralatan dan pegawai ke merata dunia. Baru-baru ini kami menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza untuk menghantarkan bekalan bantuan seperti keperluan perubatan, makanan dan menapis air kepada penduduk di Gaza," kata Pegawai Komandan Squadron 112 dan Juruterbang MRTT, Leftenan Kolonel Tan Yi Kai.

Menurutnya, salah satu kelebihan MRTT adalah kelajuan dan muatan yang boleh diangkat aset itu dalam satu-satu masa.

"Salah satu kelebihan utama MRTT adalah keberkesanannya dari segi lapangan dan dari segi kapasiti, ia boleh membawa muatan lebih jauh dan pantas. Bagaimana ia membantu dalam misi adalah, saya tidak perlu risau tentang jumlah bahan api yang saya gunakan untuk misi saya sendiri kerana saya boleh menyumbang lebih kepada menghantarkan barangan bantuan kepada mereka yang memerlukan," jelas LTC Tan.
(Gambar: Fatyn Afiqah) Pegawai Komandan Squadron 112 dan Juruterbang MRTT, Leftenan Kolonel Tan Yi Kai.

Menurut Leftenan Kolonel Tan, mereka juga hadapi cabaran termasuk masa yang singkat untuk menjalankan misi itu.

"Misi ini dijalankan semasa tempoh bantuan kemanusiaan di mana ia harus dijalankan dengan pantas kerana kami harus merancang dan melaksanakan misi dalam masa beberapa hari."

"Jadi sebuah pasukan yang melibatkan hampir 40 orang dari pelbagai agensi dan unit. Salah satu pengalaman utama saya adalah saya rasa, meski kami belum pernah bekerjasama, kami ada misi yang jelas dan matlamat yang sama untuk menghantarkan bantuan tepat pada masanya," kongsi LTC Tan.

Beliau juga berasa bangga dan berbesar hati dapat menyampaikan sebahagian usaha rakyat Singapura dan pihak NGO untuk menghantar bekalan bantuan kemanusiaan buat penduduk Gaza.

"Saya rasa sangat gembira dan berbesar hari dapat menyumbang kepada usaha dari rakyat Singapura dan para NGO yang terlibat dalam menghantarkan bekalan bantuan kemanusiaan dengan cekap kepada penduduk yang memerlukan di kawasan Gaza," ujar LTC Tan.

(Gambar: Fatyn Afiqah)
Tahun ini juga, orang ramai boleh menyaksikan persembahan udara itu melalui penstriman secara langsung di laman Facebook Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Sumber : BERITA Mediacorp//fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan