RSAF pamer helikopter baru H225M, boleh terbang jarak lebih jauh
Helikopter H225M gantikan Super Puma yang berkhidmat sejak 1983.

Helikopter H22FM RSAF (Gambar: CNA/Calvin Oh)
SINGAPURA: Dari segi rupa bentuknya, helikopter H225M mungkin tampak sama dengan helikopter Super Puma. Namun, helikopter baru Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) itu boleh terbang jarak lebih jauh dengan keupayaan muatan yang lebih baik.
Dihasilkan pembikin pesawat Eropah, Airbus, H225M boleh digunakan bagi gerakan mencari dan menyelamat (SAR), pemindahan aeroperubatan, selain bagi bantuan kemanusiaan dan bencana.
Para wartawan diberi peluang melihat lebih dekat lagi helikopter baru tersebut di Pangkalan Udara Sembawang pada Rabu (15 Dis).
"Helikopter H225M mempunyai keupayaan dan fleksibiti yang diperlukan RSAF untuk memenuhi keperluan operasi secara lebih berkesan," menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada Rabu (15 Dis).
Ia mampu membawa muatan sehingga 30 kakitangan, 11 alat pengusung dengan sokongan perubatan atau kargo yang beratnya sehingga 4,750 kilogram.
Ia juga mempunyai keupayaan untuk terbang sejauh 740 kilometer sebelum perlu diisi semula minyak iaitu 20 peratus jarak lebih jauh daripada Super Puma yang sudah berkhidmat sejak 1983.
MINDEF mengumumkan pembelian H225M bagi menggantikan Super Puma yang sudah usang pada November 2016.
Penghantarannya yang dijadualkan pada hujung tahun lalu ditangguhkan ke awal 2021 akibat pandemik COVID-19.
Helikopter baru itu sebahagian daripada kumpulan helikopter di bawah Markas Penyertaan RSAF. Ia boleh mengangkut askar, menggugurkan bekalan atau memberikan pertahanan udara dan operasi keselamatan kelautan.
Defence News melaporkan pada Mac bahawa sekitar 30 helikopter H225M akan secara beransur-ansur menggantikan helikopter Super Puma.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.