Skip to main content

Singapura

RSAF gantung latihan F-16 susuli insiden jet terhempas di Pangkalan Udara Tengah

Anggaran Waktu Membaca:
RSAF gantung latihan F-16 susuli insiden jet terhempas di Pangkalan Udara Tengah

Jet F-16 RSAF dan Pangkalan Udara Tengah. (Gambar fail: AFP/Paul Crock dan CNA/Raydza Rahman)

SINGAPURA: Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) menggantung latihan bagi armada F-16 miliknya buat sementara waktu.

Ini dilakukan "sebagai langkah berjaga-jaga" selepas salah satu jet angkatan itu terhempas di Pangkalan Udara Tengah tidak lama selepas berlepas pada tengah hari Rabu (8 Mei).

Latihan akan digantung sehingga siasatan menunjukkan ia selamat untuk kembali diadakan, menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada lewat Rabu (8 Mei).

Awal dari itu, kementerian tersebut menyatakan bahawa jet terbabit mengalami "satu isu" semasa berlepas pada sekitar 12.35 tengah hari.

Juruterbang terbabit, yang segera keluar dari jet sebelum ia terhempas, tidak mengalami sebarang kecederaan parah.

"Beliau boleh bergerak, dalam keadaan sedar dan boleh bercakap. Namun sebagai langkah berjaga-jaga, (beliau) akan berada di hospital untuk dipantau," tulis Menteri Pertahanan Ng Eng Hen menerusi satu catatan Facebook.

Dalam satu kemas kini pada lewat Rabu, MINDEF menambah bahawa juruterbang berkenaan sudah menjalani pemeriksaan penuh perubatan, yang tidak mendedahkan sebarang kecederaan serius.

"Anggota perkhidmatan itu merupakan seorang juruterbang berpengalaman yang sudah mencatat lebih 2,000 jam penerbangan dengan jet F-16," menurut MINDEF.

"Menurut juruterbang, beliau berdepan beberapa isu dalam mengawal jet sebaik sahaja berlepas dari landasan Pangkalan Udara Tengah bagi latihan penerbangan rutin."

Siasatan terperinci sedang dijalankan, tambah MINDEF.

Insiden sebegini sememangnya jarang berlaku dalam RSAF.

Terakhir kali salah satu jet pejuangnya terhempas adalah 20 tahun lalu.

Pada Mei 2004, F-16C RSAF terhempas semasa satu misi latihan yang dijalankan pada waktu malam di Arizona, Amerika. Seorang juruterbang berusia 25 tahun yang awalnya dilapor hilang, meninggal dunia.

Satu lembaga siasatan mendapati juruterbang itu tidak sedarkan diri disebabkan graviti atau disorientasi ruang, yang menyebabkan beliau gagal mengawal jet daripada kedudukan terbalik.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita