RSAF anjurkan latihan kerahan terbuka
Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) mengadakan latihan kerahan terbuka hari ini (12 Disember). Lebih 90 peratus anggota, termasuk askar sepenuh masa dan kerahan dari lima squadron, melaporkan diri dalam masa tiga jam.
SINGAPURA: Angkatan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) mengadakan latihan kerahan terbuka hari ini (12 Disember). Lebih 90 peratus anggota, termasuk askar sepenuh masa dan kerahan dari lima squadron, melaporkan diri dalam masa tiga jam.
Latihan hari ini adalah sebahagian daripada 20 hingga 30 latihan kerahan tenaga dan penggemblengan sumber yang diadakan oleh Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) setiap tahun.
Arahan kerahan dikeluarkan pada tengah hari tadi dan para askar melaporkan diri ke tiga pangkalan udara yang terlibat - Pangkalan Udara Paya Lebar, Changi dan Tengah.
Panglima Pasukan Pertahanan Leftenan-Jeneral Melvyn Ong juga melawat Pangkalan Udara Paya Lebar dan berinteraksi dengan anggota Kumpulan Jet Pejuang Markas Tempur Udara, termasuk kru udara dan darat yang mengendalikan pesawat-pesawat penggempur yang melindungi ruang udara dan kedaulatan Singapura.
Mereka menjalani latihan simulasi kecemasan dan mendapat perkembangan terbaru berhubung peranan masing-masing.
Menurut RSAF, sebagai sebuah negara kecil yang tidak nmempunyai jarak pertempuran yang strategik, adalah penting bagi Singapura untuk mempunyai angkatan udara yang cekap dan bersiap siaga sebagai garisan pertahanan pertama.
"F15SG adalah pesawat pelbagai fungsi yang mampu memintas pesawat pejuang musuh dan menyerang sasaran di darat dengan tepat dalam keadaan kritikal," kongsi Mejar(NS) Freddie Lim-Ng, seorang juruterbang jet pejuang F15SG.
"Kami juga boleh melaksanakan misi penting bukan ketenteraan, seperti pencerobohan pesawat awam, dan seperti anda lihat baru-baru ini apabila ada potensi ancaman bom, jet-jet kami dengan pantas bersedia untuk memintas."
"Pentingnya latihan kerahan ini adalah bagi memastikan bahawa proses sentiasa relevan dan kita dapat memberi respons secepat mungkin. Ia juga menunjukkan komitment askar-askar kita, baik anggota sepenuh masa dan juga askar kerahan kepada tujuan kami iaitu mempertahankan kepentingan negara," kata Mejar Dhinaa Kumar, seorang pegawai sistem pensenjataan F-15SG.
Dalam catatan di akaun Facebook beliau, Menteri Pertahanan Ng Eng Hen menyifatkan latihan kerahan hari ini sebagai berjaya.
Beliau turut memuji para anggota tentera terlibat, terutamanya anggota kerahan.
Dr Ng menambah, latihan-latihan sedemikian adalah penting untuk mengekalkan tahap kesediaan operasi SAF.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.