RRG tolak fahaman Ustaz Abdul Somad; gesa Muslim tepis nilai bertentangan ajaran Islam
Sekumpulan ulama dan pendidik Islam di Singapura menyeru umat Islam supaya menolak individu seperti pendakwah Indonesia Abdul Somad Batubara, yang menurut mereka memiliki dan menyebarkan pandangan yang "bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan universal kemanusiaan, belas ihsan dan kasih sayang tanpa syarat kepada orang lain".

(Gambar: @ustadzabdulsomad_official/Instagram)
SINGAPURA: Sekumpulan ulama dan pendidik Islam di Singapura menyeru umat Islam supaya menolak individu seperti pendakwah Indonesia Abdul Somad Batubara, yang menurut mereka memiliki dan menyebarkan pandangan yang "bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan universal kemanusiaan, belas ihsan dan kasih sayang tanpa syarat kepada orang lain".
Dalam catatan Facebook pada Selasa (24 Mei), Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) memberi respons terhadap isu berhubung Abdul Somad dengan "penuh rasa malu dan kesal", sambil menyeru umat Islam supaya menolak pendakwah atau sesiapa pun yang berpandangan sedemkian kerana "umat Islam menyokong kebenaran, tidak mengira apa pun sumbernya dan mereka menolak kepalsuan, walau dari mana pun asal usulnya".
Kumpulan relawan itu terdiri daripada ulama Islam dan guru-guru agama di Singapura, dengan tujuan untuk mengatasi salah faham ideologi oleh individu-individu radikal menerusi kaunseling.
Pendakwah Indonesia, Somad, 44 tahun tidak dibenarkan masuk ke Singapura pada 16 Mei. Dia kemudian mendakwa di media sosial bahawa dia ditahan dalam sebuah bilik tahanan imigresen seluas 1 meter kali 2 meter sebelum "diusir" dari Singapura.
Sejak itu, beberapa pengikutnya mengancam secara terbuka di media sosial untuk menyerang Singapura secara fizikal, dengan salah seorang daripada mereka menyeru agar ia dilaksanakan serupa dengan serangan 9/11 di New York pada 2001.
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam berkata pada Isnin (23 Mei) bahawa pihak berkuasa sudah dimaklumkan mengenai ajaran Abdul Somad selama beberapa waktu dan menegaskan bahawa keputusan pihak berkuasa untuk melarang kemasukan Abdul Somad tidak ditujukan kepada sebarang individu, agama atau kerakyatan.
"Saya sudah beberapa kali mengatakannya - kami mengambil pendekatan sifar toleransi dan pendekatan adil terhadap sebarang bentuk ucapan berbaur kebencian dan ideologi yang memecahbelahkan," kata Encik Shanmugam. "Pendirian kami tertakluk secara adil kepada semua orang."
Pada Selasa (24 Mei), RRG menyatakan, bahawa ceramah Abdul Somad yang menyamakan antara perang jihad dengan pengeboman nekad, menunjukkan ketidakfahaman tentang prinsip dan adat perang yang diizinkan oleh Islam.
"Dengan merendah-rendahkan cara atau tempat ibadat agama lain, dia melanggar prinsip asas hubungan antara agama dan dialog dalam Islam - iaitu sikap saling menghormati," menurut RRG dalam catatan Facebooknya.
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyatakan pada minggu lalu bahawa Abdul Somad dihalang masuk kerana dia "diketahui menyampaikan ajaran yang bersifat pelampau dan mengasingkan antara kaum", dan ini tidak boleh diterima dalam masyarakat Singapura yang berbilang kaum dan agama".
Duta Indonesia ke Singapura, Encik Suryo Pratomo juga menjelaskan bahawa pendakwah berusia 44 tahun itu tidak diusir pulang.
RRG menyatakan pada Selasa bahawa ia menyokong pendirian pemerintah Singapura bahawa pandangan bersifat memecahbelahkan dan menyokong dasar segregasi tidak mempunyai tempat dalam negara ini.
Hubungan antara agama dijalin atas persamaan dan menghayati perbezaan, tegas RRG.
"Kami menganggap kehidupan harmoni dan bersatu padu dalam sebuah masyarakat berbilang budaya sebagai bahagian penting untuk menjalani kehidupan di Singapura. Mari kita kekalkan kestabilan ini dan jangan biarkan sebarang kenyataan yang memeahbelahkan menjadi hambatan kepada usaha memelihara keharmoniaan agama dan kemanusiaan," menurut RRG.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.